kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Tadau Kaamatan satukan rakyat

SELEPAS dilancarkan di Tambunan pada 1 Mei lalu, Tadau Kaamatan yang kemuncaknya disambut masyarakat Kadazandusun dan Murut (KDM) di Sabah pada 30 dan 31 Mei, sekali lagi memeriahkan Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) di Penampang.

Disambut sebagai tanda kesyukuran hasil padi, ramai menantikan ketibaannya kerana tarikan acara yang diatur, khususnya Unduk Ngadau atau Ratu Kaamatan selain Sugandoi atau pertandingan lagu Kadazandusun dan persembahan tarian serta kesenian tradisi etnik KDM.

Hongkod Koisaan yang bermaksud Pusat Kesatuan adalah kompleks budaya milik KDCA yang dijadikan lokasi tetap sambutan penutupan Kaamatan sejak dibuka pada tahun 1989, menarik ribuan pengunjung dan pelancong dari jauh atau dekat.

KETUA Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman menuai padi sebagai simbolik
pelancaran Pesta Kaamatan Peringkat Kebangsaan di Dewan Masyarakat Kiulu, baru-baru ini.
- Foto Lano Lan

Pengisian yang menarik, ditambah unsur komersial sebagai produk tarikan pelancong selain landasan untuk pelbagai syarikat korporat mengiklankan produk dan perkhidmatan, menjadikan sambutan Kaamatan lebih meriah dan penuh berwarna warni.
ANTARA aksi peserta pada pertandingan Unduk Ngadau Kaamatan peringkat bandar raya
Kota Kinabalu. - Foto Malai Rosmah Tuah

Perayaan berunsur budaya etnik

Kaamatan adalah satu-satunya perayaan berunsur budaya etnik disambut besar-besaran bermula dengan pelancaran peringkat negeri pada 1 Mei, disusuli sambutan peringkat kampung dan daerah dengan kemuncaknya pada 30 dan 31 Mei di Hongkod Koisaan, KDCA.

Hari ini, sambutan Kaamatan lebih tertumpu kepada pesta kebudayaan yang memaparkan kesenian dan tradisi masyarakat KDM serta etnik lain di Sabah selain majlis keramaian bersifat hiburan dan komersial.

Setiap tahun, pelbagai persembahan budaya dan kesenian tradisi yang dipilih daripada kira-kira 40 subetnik KDM diketengahkan kepada pengunjung Hongkod Koisaan termasuk yang jarang atau tidak pernah ditonjolkan dalam mana-mana sambutan keramaian.

Seperti biasa, sambutan Kaamatan tidak lengkap tanpa simbolik 'mengetam' padi dan Magavau atau tarian Bobolian sebagai tanda pembukaan sambutan yang dibuat mengikut tradisi masyarakat Kadazandusun dan diubah suai mengikut kesesuaian semasa.

Setiausaha Kerja KDCA, Dr Benedict Topin, berkata Kaamatan membawa makna besar dalam budaya tradisi masyarakat KDM yang dikaitkan dengan penanaman padi dan aktiviti bercucuk tanam sebagai sumber ekonomi utama masyarakat itu.

Beliau yang juga ahli antropologi berkata, Kaamatan berasal daripada kata dasar 'omot' atau 'mongomot' dalam bahasa Kadazandusun yang bermaksud menuai padi dengan alat tertentu seperti 'linggaman' atau 'katam'.

Selain Kaamatan, satu lagi istilah digunakan bagi merujuk perkara sama iaitu Kokotuan berasal daripada kata dasar 'kotu' dalam bahasa Kadazandusun yang bermaksud memetik menggunakan tangan.

"Sebelum istilah Kaamatan wujud, sambutan keramaian selepas menuai padi dikenali sebagai 'moginakan' yang bermaksud kenduri dan ia biasanya disambut ahli keluarga atau penduduk kampung selepas ritual semangat padi dikendalikan oleh Bobolian atau bomoh Kadazandusun.

"Memandangkan moginakan adalah istilah biasa, maka usaha diambil untuk mencari istilah lebih tepat bagi merujuk kepada pesta selepas menuai padi dan akhirnya lahirlah istilah Kaamatan yang digunakan sejak lebih setengah abad lalu.

"Bagaimanapun ada juga masyarakat Kadazandusun menyebut 'Kokotuan' untuk merujuk perkara sama, tetapi KDCA hanya menggunakan istilah Kaamatan dan penggunaannya turut diiktiraf oleh kerajaan negeri sejak tahun 1985," katanya.

Sejajar pengiktirafan itu, ungkapan Kotobian Tadau Tagayo atau Tagazo Do Kaamatan yang bermaksud Selamat Hari Besar Kaamatan dijadikan sebutan lazim bagi menzahirkan ucapan selamat kepada masyarakat KDM setiap kali menjelang Kaamatan.

Legenda Kadazandusun
Satu lagi ungkapan boleh digunakan ialah 'Kopisunduan Do Kaamatan' yang merujuk kepada tanda hormat dan penghargaan kepada legenda Kadazandusun yang mengaitkan pengorbanan seorang gadis dipanggil Huminodun dan semangat padi.

Sebelum kewujudan istilah Kaamatan atau Kokotuan, keramaian yang dikaitkan dengan kenduri selepas menuai padi itu turut dikenali dengan beberapa ungkapan seperti 'Posoitan Do Linggaman' dan 'Kapampanan Do Mongomot' yang menandakan selesainya kerja menuai padi.

Tahun ini genap 55 tahun Kaamatan disambut secara rasmi pada peringkat negeri iaitu sejak tahun 1960, apabila pihak kolonial British mengiktirafnya sebagai satu perayaan rasmi sebelum diteruskan kerajaan yang mengambil alih pemerintahan Sabah selepas merdeka pada tahun 1963.

Kini Kaamatan bukan saja perayaan khusus untuk masyarakat KDM, malah dianggap sambutan penting yang dimeriahkan bersama masyarakat pelbagai kaum di Sabah hingga menjadikannya perayaan perpaduan yang berjaya menyatukan rakyat.

Dari segi ekonomi, Kaamatan dilihat sebagai sambutan yang berjaya menarik kedatangan pelancong dan dianggap produk penting pelancongan, sejajar usaha kerajaan menjadikan sektor pelancongan sebagai antara penyumbang utama kepada pendapatan negeri.
Tags: etnik, kaamatan
Subscribe

Posts from This Journal “etnik” Tag

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments