kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Melakukan apa yang betul

ORANG tua-tua ada berkata:“Buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali.”

Ungkapan ini mengingatkan kita akan perlunya kesederhanaan dalam melakukan apa yang dianggap ‘baik’, sambil mengelak sama sekali melakukan apa yang tidak baik, seperti yang ditakrifkan sebagai ‘jahat’.

Sebenarnya pengertian apa yang ‘baik’ itu kadang-kala mendatangkan masalah, kerana lebih cenderung kepada tafsiran subjektif, iaitu dari sudut pandangan orang yang berkenaan. Apa yang dianggap ‘baik’ mungkin hanya baik dari kaca mata, atau pandangan seseorang itu. Tetapi ‘tidak baik’ bagi seorang yang lain.

Bagaimanapun perkataan ‘betul’ mempunyai tafsiran sejagat. Apa yang betul akan dianggap betul pada amnya.

Dan tindakan atau perbuatan yang betul akan tetap dianggap betul dalam mana-mana budaya.

Pada masa masyarakat menekankan prinsip-prinsip seperti bertanggungjawab, beramanah, telus dan berwibawa, akan semakin kurang pentingnya istilah ‘baik’. Tidak kira sama ada dalam konteks peribadi seseorang, tingkah laku, atau perbuatan dan perlakuan.

Masyarakat semakin tidak memandang akan ‘betapa baiknya’ seseorang itu. Tetapi masyarakat semakin menitikberatkan sama ada seseorang itu ‘betul atau tidak’.

Dalam era ramainya muncul konsultan imej, serta pereka watak, amat mudah diketengahkan individu-individu yang pada luarannya manusia yang nampak begitu ‘baik’. Iaitu dalam pelbagai erti kata. Dari segi dipandang sebagai baik hati, kuat pegangan agama, baik seperti kain dilipat, dan memijak semut pasti semut tidak akan mati.

Maka dapat dikelabui mata manusia lain dengan imej ‘baik’ seseorang itu. Dan adakalanya tertipu manusia kerana semata-mata melihat apa yang baik yang ditonjolkan dan dipamerkan. Dan orang-orang ‘baik’ seperti itu kerapkali disokong dan disanjung. Dan imej ‘baik’ mereka biasanya memudahkan terhasilnya apa-apa tujuan dan matlamat yang tersirat.

Orang yang nampak ‘baik’ biasanya diberi markah lebih tinggi daripada mereka yang nampak tidak begitu baik yang kadang-kadang diketepikan.

Lumrah manusia ialah lebih mementingkan luaran dan kulit daripada isi serta dalaman. Lebih terpengaruh dengan kata-kata dari mulut, daripada apa yang tersirat di dalam hati. Penilaian atas seseorang itu dibuat semata-mata berasaskan apa yang zahir, dan yang kelihatan. Maka manusia lumrah terpedaya!

Budaya kita sewajarnya perlu beralih daripada semata-mata menumpu kepada apa yang dianggap secara subjektif sebagai ‘baik’, kepada apa yang sebenarnya ‘betul’ iaitu betul daripada ukuran apa jua sekali pun.

Tidak kira betapa baik seseorang itu, yang sepatutnya menjadi asas penilaian ialah sama ada dia betul atau tidak. Manusia tidak terlepas daripada melakukan kesilapan. Itulah dikatakan manusia.

Orang yang betul akan betul motivasi dan dorongannya, sungguhpun dalam melakukan sesuatu akan ada membuat kesilapan. Apabila ada kesilapan, dia akan memperbetulkannya. Dia akan membuat pembetulan. Supaya yang silap itu akan menjadi betul.

Kerapkali orang yang dilihat sebagai baik, mungkin juga disalah anggap sebagai ‘tidak mungkin melakukan kesilapan’. Kerana dianggap dia orang yang baik.

Dalam menghadapi apa-apa kekusutan dan masalah, wajarlah kita menitikberatkan untuk melakukan apa yang betul.

Bukan membuat semata-mata apa yang nampak ‘baik’.

Persoalannya ialah: “Baik dari kaca mata siapa?” “Baik untuk siapa?”

Wajar dilakukan apa yang betul...

Yang betul itu memerlukan pertimbangan yang rasional, tanpa kepentingan tertentu, dan dengan berhasrat memperoleh hasil yang betul dan setepat mungkin.

Yang betul memerlukan niat yang juga betul kerana niat yang betul akan pasti merupakan niat yang juga baik. Dalam erti kata bukan niat yang jahat.

Memang buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali.

Bila melakukan yang betul pasti akan diredai.

Yang betul tetap betul.

Tan Sri Rafidah Aziz pernah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen selama 35 tahun, menteri selama 28 tahun dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO selama 38 tahun. Beliau kini ialah Profesor Adjung di Kolej Perniagaan Universiti Utara Malaysia (UUM) selain menjadi Pengerusi AirAsiaX, Megasteel dan Pinewood Iskandar Malaysia Studio. Utusan Malaysia Rencana 01 Jun 2015

Subscribe
  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments