kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Transformasi tidak terjejas

SATU daripada hasrat utama Pe­lan Pembangunan Pen­didikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 adalah untuk be­rada dalam kelompok se­per­tiga teratas di peringkat dunia terutama dalam Program Penilaian Mu­rid Antarabangsa (PISA) oleh Per­tubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD).

PISA adalah program pentaksiran pelajar berusia 15 dan 16 tahun di peringkat antarabangsa dalam literasi sains, matematik dan bacaan yang dianjurkan oleh OECD setiap tiga tahun sekali sejak tahun 2000. Malaysia mula mengambil bahagian pada tahun 2009.

Keputusan PISA 2012 yang dikeluarkan pada Disember 2013, Malaysia memperoleh skor 422 dan dikategorikan melepasi kelompok pertama (420 ke atas) sebagai “modern functional literacy”, iaitu sudah mencapai tahap keperluan asas dalam perkembangan ekonomi global.

Sungguhpun begitu, masih terdapat pihak yang berterusan meremehkan program transformasi pendidikan dan menjadikan kedudukan negara dalam PISA 2012 sebagai gambaran sebenar mengenai sistem pendidikan Malaysia yang didakwa menurun dan boleh menjejaskan matlamatnya sebagai hab pendidikan serantau.

Hakikatnya, PISA 2012 menggunakan data sebelum pelaksanaan PPPM yang bermula pada 2013. Dan, sebab itulah, Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh menyelar tindakan segelintir pihak yang terus memberi reaksi negatif terhadap tahap pendidikan negara, sesuatu yang tidak adil.

Sebagai negara yang berusaha melangkaui tahap membangun, Malaysia sudah mengenal pasti beberapa punca kelemahan dan mengambil langkah untuk melonjakkan pencapaiannya.

Menurut Idris, Kementerian Pendidikan memberi jaminan tahap pencapaian pelajar akan meningkat dalam PISA 2015 apabila laporannya dikeluarkan pada 2016. Peningkatan ini dipacu oleh program penambahbaikan yang dilaksanakan sejak 2013 sebagaimana yang terkandung dalam PPPM iaitu orientasi kurikulum, proses pengajaran dan pembelajaran serta ujian pentaksiran berasaskan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT).

KBAT dijangka dapat membantu pelajar berhadapan dengan persekitaran yang baharu, tidak lagi bergantung kepada bentuk peperiksaan aneka pilihan dan menghafal semata-mata, ia melangkaui konsep penyelesaian masalah dan analisis sebelum membuat keputusan.

Elemen inilah sebenarnya yang dilakukan menerusi PISA yang sebelum ini tidak diberikan penekanan dalam sistem pendidikan di Malaysia. Itulah sebenarnya yang patut disokong oleh setiap orang yang inginkan pelajar Malaysia mampu bersaing di peringkat global dan tentunya proses ini memerlukan masa.

Sasaran Malaysia untuk berada di tahap sepertiga teratas, bukannya di tangga ketiga seperti dakwaan pihak yang memperlekeh PPPM, adalah pada tahun 2025, iaitu ketika PISA memasuki edisi kelapan, yang akan membabitkan pelajar berumur 15 dan 16 tahun pada 2024.

PPPM perlu diberikan masa untuk dilaksanakan dan dalam perjalanan itu, pencapaian pelajar dijangka meningkat secara signifikan, bukannya merombak sebagaimana didesak oleh sesetengah pihak yang hanya tahu mengkritik tetapi tidak memahami dengan jelas apa yang terkandung dalam PPPM.

Sebagai contoh, pihak yang mempersoalkan kedudukan Malaysia berbanding pencapaian pelajar Vietnam tentunya perlu memahami perbezaan persekitaran antara kedua negara.

Vietnam mempunyai kadar keciciran pelajar lebih tinggi berbanding Malaysia. Kebanyakan pelajar Vietnam yang meneruskan pendidikan menengah adalah dalam kalangan sosioekonomi pertengahan dan tinggi.

Kajian OECD turut menjelaskan bahawa status sosioekonomi keluarga pelajar mempunyai kaitan yang kuat dengan pencapaian pelajar dan situasi ini boleh diperhatikan mengenai pencapaian Singapura di tangga kedua dengan skor 573. Tambahan pula, Singapura tidak mempunyai sekolah luar bandar dan pedalaman, serta sistem pendidikannya tidak pelbagai seperti Malaysia.

Kepelbagaian orientasi pendidikan turut menyumbang kemerosotan pencapaian pelajar dalam PISA dan penilaian antarabangsa yang lain kerana masing-masing sistem berusaha untuk menjayakan kehendak kelompoknya sendiri sehingga mengetepikan kepentingan nasional.

Sebagai sebuah negara maju, Australia turut mengakui pencapaiannya tidaklah begitu memuaskan berbanding Finland dan Estonia. Australia memperoleh skor 504 berbanding Finland (519) dan Estonia (521).

Bahkan Estonia berada di tangga lebih baik berbanding Kanada (skor 518), Jerman (514), Denmark dan New Zealand iaitu 500. Ini membawa maksud, bahasa Inggeris bukanlah faktor yang menyumbang terhadap pencapaian sebenar pelajar dan menjadi ukuran tunggal tentang sistem pendidikan sesebuah negara.

Buktinya, bahasa pengantar di sekolah yang berada dalam kelompok 10 terbaik seperti di Shanghai-China, Chinese Taipei dan Macao-China ialah Mandarin manakala di Korea Selatan ialah bahasa kebangsaan mereka. Vietnam, Thailand, Jepun dan Jerman juga tidak menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar di sekolah tetapi negara-negara tersebut berjaya memperoleh skor lebih 500 mata berbanding United Kingdom (494) dan Amerika Syarikat (481).

Oleh itu, faktor yang wajar diberikan perhatian adalah sikap pelajar sendiri dalam memahami bahawa proses berfikir adalah tunjang kepada pencapaian sebenar sesuatu sistem pendidikan.

Disebabkan kelemahan itulah Malaysia berusaha untuk memperkenalkan proses berfikir sebagai teras sistem pendidikan baharu yang diperlukan dalam abad ke-21 seperti yang terkandung dalam PPPM 2013-2025.   - Azmy Mohamed Utusan Malaysia Rencana 2 Jun 2015

Tags: pppm, transformasi
Subscribe

Posts from This Journal “pppm” Tag

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments