kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Wajib lulus BI: Bersediakah kita?

NIAT dan tujuan kerajaan menerusi Kementerian Pendidikan mewajibkan lulus mata pelajaran Bahasa Inggeris (BI) adalah baik dan berpandangan jauh. Ini selari dengan dasar untuk memperkasakan bahasa Inggeris sebagai persediaan menjadi sebuah negara maju menjelang 2020.

Langkah itu juga sejajar dengan cita-cita menjadikan Pendidikan Bertaraf Dunia serta melahirkan generasi Melayu-Islam Ulul Albab yang mempunyai ciri-ciri “Quranik, Ijtihadik, Ensiklopedik” untuk dikeluarkan daripada kepompong “katak di bawah tempurung” dan dapat berfikir secara glokal serta dapat melonjakkan diri atau syarikat menggunakan strategi lautan biru secara berkesan.

Persoalannya, berasaskan kajian dan data, adakah murid-murid dan sekolah sekarang mampu untuk melaksanakan dasar lulus BI, penulisan serta pertuturan dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tersebut.

Dan adakah kita mempunyai persediaan untuk mereka yang gagal memperoleh sijil kerana gagal BI setelah belajar selama lebih 11 tahun, juga lebih separuh daripada umur mereka?

Tanpa sijil SPM, hampir semua pintu pekerjaan walaupun sebagai kerani atau pembantu di pejabat kerajaan akan tertutup. Malah peluang menyambung pelajaran di matrikulasi dan universiti juga terjejas.

Penulis berpendapat dalam sedekad dua terakhir ini, perkembangan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar kita semakin menurun. Fenomena ini terjadi kerana pendekatan sekarang tidak dapat melonjakkan prestasi pelajar untuk menguasai bahasa kedua atau ketiga terutama dari segi kefasihan bertutur.

Tidakkah ganjil rasanya, setelah 11 tahun, 13 tahun malah sesetengah pemegang ijazah doktor falsafah (Ph.D) pun setelah menuntut 20 tahun masih tidak dapat berhujah dengan fasih dan petah dalam bahasa Inggeris.

Oleh itu, penulis mencadangkan agar ditangguhkan setahun dua lagi pelaksanaan dasar untuk mewajibkan lulus BI pada 2016. Kerajaan perlulah melaksanakan kajian dan mendapatkan data-data jangkaan atau projection dapatan daripada sekolah-sekolah atau Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) terutama bagi kawasan luar bandar dan pedalaman kerana kita tidak mahu pelajar ini teraniaya.

Antara jalan pintas untuk menguasai sesuatu bahasa adalah dengan menggunakan pendekatan Aural-Oral Linguistics dan Dr. Gattegno’s Silent Way yang diguna pakai di pusat latihan American Peace Corps di University of Hawaii.

Keberkesanannya amat ketara kerana kajian menunjukkan kebanyakan sekolah di Filipina menggunakan apa yang dibawa oleh American Peace Corps yang telah dilatih di University of Hawaii.

Sekarang kita dapati, pembantu rumah dari Filipina kebanyakannya lebih fasih dan yakin untuk bertutur dalam bahasa Inggeris daripada graduan kita.

Akhir sekali, penulis mencadangkan untuk melonjakkan penguasaan bahasa Inggeris, berilah penekanan kepada bahasa pertuturan sebagai pelengkap kepada proses pembelajaran bahasa sekarang.

Apabila seseorang boleh bertutur, berbincang dan berhujah secara spontan dengan tatabahasa, kosa kata dan sebutan (stresses, inflections, junctures and intonations) yang betul dengan kederasan 95–140 perkataan seminit, maka untuk menguasai bahasa penulisan seperti menulis esei atau laporan yang hanya memerlukan kederasan 15–22 perkataan seminit akan menjadi lebih mudah. - Prof Fauzy Halim Utusan Malaysia Rencana 6 Jun 2015

Tags: bahasa
Subscribe

Posts from This Journal “bahasa” Tag

  • Bahasa

    Bahasa berfungsi sebagai pintu masuk ke dalam minda, kata ahli psikologi. Oleh itu, tidak menghairankan bahawa cara kita bercakap dapat…

  • Kuasai bahasa ibunda

    Celik atau kenal huruf ( literasi) ditakrifkan sebagai kemampuan membaca dan menulis dalam bahasa. (Kamus Dewan) Literasi sering dilihat sebagai…

  • DBP tidak ada kuasa, Pertahan bahasa kebangsaan, Bahasa Melayu semakin terpinggir

    Bahasa Melayu semakin terpinggir BAGI penduduk asal dalam kebanyakan tempat di Kuala Lumpur terutama di pinggir bandar, pasti mengetahui sejarah…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments