kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Penguasaan lemah bahasa Melayu jejas penerimaan

DARI semasa ke semasa kepemimpinan kerajaan atau pegawai tingginya menyampaikan amanat kepada seluruh rakyat Malaysia. Amanat ini menggunakan bahasa Melayu kerana inilah bahasa kebangsaan kita.

Amanat tersebut menyentuh pelbagai bidang dari program Rancangan Malaysia hinggalah ucapan peristiwa menyambut sesuatu perayaan.

Namun persoalan yang sering timbul adalah sejauh mana amanat itu dapat difahami oleh semua atau sejumlah besar penduduk negara ini? Ini kerana kebanyakan masyarakat kita tidak menguasai bahasa Melayu dengan baik, lebih-lebih lagi apabila sesuatu amanat itu disampaikan dalam laras bahasa Melayu tinggi.

Menyampaikan amanat dalam laras bahasa tinggi seharusnya tidak menjadi masalah. Jika kita menoleh keadaan di Thailand dan Indonesia yang menerapkan sistem pendidikan kebangsaan tunggal, tiada masalah bagi Perdana Menteri atau Presidennya berucap dalam bahasa kebangsaan mereka, dan ucapan itu difahami oleh rakyatnya.

Ini kerana sistem pendidikan kebangsaan tunggal membolehkan semua rakyat memahami dan menguasai bahasa kebangsaan dengan baik.

Situasinya agak berbeza dengan Malaysia. Kita membenarkan setiap bangsa utama di negara ini memilih sistem pendidikan yang berbeza-beza untuk anak-anak mereka.

Jadi, kebanyakan orang Melayu menghantar anak ke sekolah kebangsaan. Orang Cina menghantar anak ke sekolah jenis kebangsaan Cina. Orang India menghantar anak ke sekolah jenis kebangsaan Tamil.

Sungguhpun terdapat anak-anak Cina dan India belajar di sekolah kebangsaan atau anak-anak Melayu dan India bersekolah Cina, jumlahnya masih kecil.

Jumlahnya belum memberi impak ketara terhadap perubahan sistem pendidikan itu dan penguasaan bahasa kedua mereka.

Kurang penguasaan

Pendidikan vernakular juga menyediakan pengajian peringkat tinggi, terutamanya dalam sistem pendidikan Cina negara ini. Situasi ini menjauhkan mereka dari penggunaan dan pemahaman bahasa Melayu.

Di samping itu, tersedia pula bahan-bahan cetak, stesen televisyen dan sebagainya dalam bahasa mereka. Mereka yang mendewasa dari sistem pendidikan vernakular ini tidak boleh dipersalahkan, kerana perlembagaan dan keputusan politik sejak awal kemerdekaan telah membenarkannya.

Namun, kesan negatif yang timbul adalah sistem penyampaian tidak menemui sasarannya kerana sebagai penerima maklumat, kebanyakan mereka tidak menguasai bahasa Melayu dengan baik.

Akibatnya, amanat penting yang disampaikan dalam bahasa Melayu hanya difahami oleh orang Melayu, serta sedikit Cina dan sedikit India yang menguasai bahasa Melayu dengan baik.

Majoriti bukan Melayu tidak memahami apa yang disampaikan. Hal ini turut diburukkan lagi dengan penggunaan teknologi komunikasi moden, termasuk media sosial, yang menyebabkan 'siaran langsung' amanat penting itu tidak ditonton.

Situasi keterbatasan penyebaran maklumat ini cuba diatasi dengan cara menterjemahkan amanat penting itu ke dalam bahasa Cina dan Tamil, yang diterbitkan dalam akhbar-akhbar vernakular pada hari berikutnya, atau beberapa hari kemudian.

Kaedah ini membantu penyebaran maklumat, tetapi bukanlah maklumat asal dalam bahasa Melayu yang menjadi bahasa kebangsaan semua warga negara Malaysia.

Perkataan sukar difahami

Situasi itu juga mendorong pihak kerajaan memberi tumpuan kepada penyampaian maklumat dengan cara yang mudah difahami oleh orang ramai.

Penjelasan yang rumit serta menggunakan jargon atau perkataan yang terlalu teknikal dan sukar difahami akan mengekang minat orang ramai untuk menerima maklumat atau menggunakan perkhidmatan yang disediakan.

Laman web atau portal rasmi kementerian dan agensi sektor awam merupakan gerbang kepada sumber maklumat dan perkhidmatan. Bahasa Melayu digunakan. Bahasa Inggeris juga disertakan.

Penggunaan dwibahasa ini dengan sendirinya menunjukkan wujudnya kelompok masyarakat yang lemah penguasaan bahasa Melayu mereka.

Sungguhpun dwibahasa Melayu dan Inggeris digunakan, tetapi masih terdapat juga rakyat kita yang tidak memahami kedua-dua bahasa ini dengan baik.

Situasi ini menunjukkan betapa sukarnya menyebarkan maklumat penting dengan cepat kepada sebanyak mungkin anggota masyarakat majmuk Malaysia.

Dalam konteks linguistik, disintegrasi yang dibenarkan melalui sistem pendidikan berbeza telah turut menyebabkan kendala penerimaan maklumat secara meluas dan pantas melalui bahasa Melayu.

Gejala ini wajar diatasi melalui pelbagai dasar baharu terhadap pendidikan dan bahasa kebangsaan, demi integrasi dan kesejahteraan nasional.
Anwar Ridhwan Berita Harian Kolumnis 9 Jun 2015
Tags: bahasa, melayu
Subscribe

Posts from This Journal “bahasa” Tag

  • Bahasa

    Bahasa berfungsi sebagai pintu masuk ke dalam minda, kata ahli psikologi. Oleh itu, tidak menghairankan bahawa cara kita bercakap dapat…

  • Kuasai bahasa ibunda

    Celik atau kenal huruf ( literasi) ditakrifkan sebagai kemampuan membaca dan menulis dalam bahasa. (Kamus Dewan) Literasi sering dilihat sebagai…

  • DBP tidak ada kuasa, Pertahan bahasa kebangsaan, Bahasa Melayu semakin terpinggir

    Bahasa Melayu semakin terpinggir BAGI penduduk asal dalam kebanyakan tempat di Kuala Lumpur terutama di pinggir bandar, pasti mengetahui sejarah…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments