kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Jumlah pelajar pengaruhi kemampuan

Satu soal selidik dilakukan The Teaching and Learning International Survey (TALIS) pada 2013 mendapati sebahagian besar guru di seluruh dunia berdepan pelbagai konflik yang boleh mengakibatkan kemerosotan mutu pendidikan.

Kaji selidik antarabangsa mengenai pengajaran dan pembelajaran dianggotai 34 badan kuasa itu mendapati kemorosotan berlaku disebabkan beberapa faktor, sekali gus menjadikan pencapaian guru di negara tertentu berada di bawah standard ditetapkan.

Situasi itu juga secara tidak langsung boleh mempengaruhi cara pengajaran dan pembelajaran guru untuk jangka panjang yang dikhuatiri boleh memudaratkan pencapaian pelajar serta sistem pendidikan sedia ada.

SOKONGAN masyarakat penting bagi menjamin kelancaran pekerjaan guru manakala gangguan boleh menjatuhkan motivasi golongan itu. - Gambar hiasan

Melalui kaji selidik itu, TALIS merumuskan kepincangan berkenaan bukan saja boleh menjejaskan profesionalisme golongan terbabit, malah mewujudkan kebimbangan dalam beberapa aspek penting yang boleh menjejaskan pencapaian secara keseluruhan.

TALIS mendapati akibat kemelesetan ekonomi dan sokongan kewangan, me­nyebabkan 38 peratus guru di sekolah tidak mempunyai kelayakan yang baik untuk menjadi guru yang bagus.

Situasi itu juga secara langsung akan menjejaskan pencapaian guru dalam usaha memberi proses pembelajaran dan pengajaran mengikut piawaian ditetapkan terutama kepada pelajar yang berkeperluan khas.

Pada masa sama, jumlah pelajar yang ramai dalam kelas juga menyebabkan proses pengajaran dan pembelajaran guru agak merosot.

Menurut TALIS, jumlah paling sesuai adalah 17 hingga 24 orang. Namun di kebanyakan negara, jumlah ditetapkan sudah melebihi kadar sepatutnya.

“Rasionalnya, jumlah pelajar boleh mempengaruhi kemampuan guru dalam mengawal selia perjalanan proses pendidikan.



KAJI selidik TALIS mendapati guru di Malaysia, Abu Dhabi dan Korea masih menghargai pekerjaan mereka serta mampu memberikan komitmen tinggi ketika bertugas. - Gambar hiasan

“Finland, Iceland, Denmark dan Poland contohnya, mempunyai jumlah pelajar di bawah 20 orang dalam satu kelas manakala Jepun, Mexico dan Chile melebihi 30 orang,” katanya.

Lebih mengejutkan, apabila TALIS mendapati kurang sepertiga jumlah guru di seluruh dunia tidak begitu menghargai profesion mereka.

“Ini satu kejutan yang sangat membimbangkan kerana guru adalah profesion diperlukan di seluruh dunia.

“Apabila ada guru yang tidak menghargai profesion mereka, akan wujud kepincangan dan kesukaran, bukan saja dalam proses pengajaran dan pembelajaran, malah akan menjejaskan perjalanan sistem sedia ada.

“Bagaimanapun, TALIS mendapati 88 peratus guru di Malaysia, Singapura, Abu Dhabi dan Korea masih menghargai kerjaya mereka manakala empat peratus guru di Republik Slovak dan lima peratus di Perancis serta Sweden paling menghargai profesion ini,” katanya.

Masyarakat, menurut TALIS, meletakkan kejayaan sistem pendidikan sedia ada berdasarkan pencapaian Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA), selain beberapa lagi faktor yang diambil kira seperti penggajian guru, pe­nyertaan golongan profesional dan akademik di sekolah serta kesungguhan guru dalam mengadakan kerjasama dengan sekolah dan masyarakat.

Berdasarkan kaji selidik itu, secara puratanya guru bekerja 38 jam seminggu, tapi Jepun mendahului dengan 50 jam manakala di bawah 30 jam di Chile dan Itali.



TALIS mendapati kurang sepertiga guru di seluruh dunia tidak begitu menghargai profesion mereka. - Gambar hiasan

Manakala secara purata juga, guru mengajar 19 jam seminggu di dalam kelas di seluruh dunia kecuali 27 jam di Amerika Syarikat dan 15 jam di Norway.

Menurut TALIS, jumlah guru yang berjaya menamat­kan pengajian dalam bidang pendidikan juga tinggi, namun kegagalan menjadi guru yang baik berlaku kerana kerapuhan kandungan semasa pengajian memberi kesan kepada pencapaian mereka.

“TALIS mendapati hanya sebilangan kecil memperoleh latihan mencukupi dalam kandungan pengajian, pedagogi dan latihan pengkhususan.

“Sebahagian besar guru pula masih kurang memperoleh pendedahan, sekali gus menjadikan keadaan rumit apabila mereka memasuki alam pekerjaan.

“Respons guru kepada TALIS mengatakan, mereka berupaya memberikan komitmen lebih baik andai kata diberi pelbagai pendedahan berbentuk profesional serta penghargaan setimpal,” katanya.

Tags: guru, pelajar
Subscribe

Posts from This Journal “guru” Tag

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments