kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Impak PPPM bukan sekelip mata

Malaysia berada di landas­an yang betul dalam me­lakukan transformasi sis­tem pendidikan melalui pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 bagi melengkapkan persiapan untuk bersaing dengan negara termaju di dunia.

Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Mary Yap Kain Ching berkata, adalah mustahil untuk melihat impak pelaksanaan PPPM pada masa ini sedangkan program tranformasi pendidikan tersebut baharu diperke­nalkan tahun 2013.

Menurutnya, perkara itu turut diakui oleh seorang Panel Penilai Bebas Antarabangsa PPPM, Michael Fullan yang memberi tempoh sekurang-kurangnya lima tahun untuk melihat hasil yang cemerlang terhadap prestasi pelajar menerusi pelaksanaan PPPM.

“Pada masa ini, memang perkara biasa kita masih tidak melihat perubahan pelaksanaan PPPM, bukan sahaja dirasai oleh Malaysia malah berlaku di seluruh dunia yang baharu menggunakan program transformasi pendidikan dalam strategik pengajaran di se­kolah-sekolah,” katanya ketika di­temui Utusan Malaysia baru-baru ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai hasil Kajian Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) dalam Sains dan Matematik mendapati Malaysia berada di kedudukan ke-52, lebih rendah da­ripada Thailand dan Vietnam.

Keadaan itu digunakan oleh pi­hak tertentu yang mendakwa masih terdapat kelemahan dalam sistem pendidikan negara dan mahu kerajaan melakukan kajian segera untuk memperbaikinya.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, menurut Mary Yap, tidak ada keperluan untuk mengkaji sistem pendidikan sedia ada sebaliknya semua pihak ha­nya perlu menunggu hasil pelaksanaan PPPM dalam tempoh lima tahun lagi.

“Sekarang kita tidak mungkin dapat melihat kesannya cuma sekarang kita sudah dapat mengenal pasti beberapa kesan misalnya dari Gelombang Satu iaitu dalam merapatkan jurang antara sekolah bandar dan luar bandar, termasuk aspek akademik serta fizikal termasuk perkembangan digital.

“Malah, jika kita lihat dari aspek pencapaian akademik, kita dapati pencapaian sekolah luar bandar pada masa ini sudah banyak me­nunjukkan perubahan dan pencapaian setanding dengan sekolah di bandar.

“Misalnya, kita lihat pencapaian sekolah luar bandar iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Lubai dekat Limbang, Sarawak yang mana sekolah ini terletak dalam hutan tetapi perkembangan dan pencapaian sekolah ini amat mengkagumkan setanding sekolah dalam bandar,” katanya.

Mary Yap berkata, perkembangan yang berlaku di sekolah tersebut boleh dianggap salah satu proses tranformasi sedang berlaku dalam sistem pendidikan negara pada masa ini dalam aspek merapatkan jurang pencapaian antara sekolah luar bandar dan sekolah bandar.

“Sebahagian besar murid SK Ulu Lubai merupakan anak Orang Asli namun mereka pada hari ini sudah banyak menunjukkan perubahan cemerlang terhadap pencapaian akademik, mereka menunjukkan semangat untuk menguasai pengetahuan terma­suk ibu bapa mereka.

“Ibu bapa mereka sendiri bersama melakukan perubahan infrastruktur di sekolah, menyum­bang sendiri keringat mereka sen­diri mencukupkan keperluan se­kolah, bila saya tanya mereka apa yang mereka perlukan di sekolah, mereka hanya minta buku, minta dibawa lebih banyak buku untuk bacaan anak-anak mereka,” katanya.

Beliau menambah, perkara itu dibuktikan apabila pemenang pertandingan Nilam peringkat Sarawak yang dimenangi pertama kali pertama oleh anak Orang Asli yang berjaya mencapai 3000 bacaan buku.

“Secara kita tidak sedar, pencapaian ini semuanya hasil atau impak pelaksanaan PPPM, dan perubahan akan berlaku peringkat demi peringkat dan menjadi meluas sehingga mencakupi semua Gelombang yang kita sasarkan pada PPPM,” katanya.

Perubahan itu, kata beliau, termasuk keputusan Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) dan Trend Pendidikan Matematik dan Sains Antarabangsa (TIMSS) yang mana perubahan mendadak tidak mungkin dapat dilihat pada peringkat tersebut.

Katanya, memetik kata-kata Michael Fullan, perubahan yang berlaku mengambil masa untuk melihat impak pelaksanaan PPPM yang mana turut memerlukan penyesuaian guru dan pelajar namun sekurang-kurangnya Malaysia te­lah mengambil langkah sewajarnya untuk membuat perubahan terhadap sistem pendidikan negara ke peringkat lebih baik. - Utusan Malaysia Rencana Pendidikan 8 Jun 2015

Tags: blueprint, pppm
Subscribe

Posts from This Journal “pppm” Tag

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments