kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Universiti perlu lahir 
siswazah berkualiti tinggi

KUALA LUMPUR 9 Jun – Kesemua universiti awam dan swasta perlu fokus kepada bidang pengajian yang menjadi teras penubuhan agar dapat melahirkan graduan yang mampu menguasai ilmu pengetahuan dengan baik seterusnya menjadi pekerja berkemahiran tinggi.

Presiden Open University Malaysia (OUM), Prof. Emeritus Tan Sri Anuwar Ali berkata, langkah itu secara tidak langsung dapat membantu Kementerian Pendidikan menjayakan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) 2015 – 2025 iaitu hubungan dengan industri termasuklah reka bentuk dan penyampaian kurikulum, penyelidikan serta pembangunan.

Katanya, jika kesemua universiti tempatan tidak mempunyai fokus bidang pengajian, ia akan menjejaskan kualiti sektor pendidikan ke­rana proses pengajaran dan pem­belajaran kurang mantap berikutan hanya terdapat kira-kira 25 peratus tenaga pengajar di negara ini memiliki ijazah Doktor Falsafah (PhD).

“Kita bimbang apabila melihat trend dan perkembangan beberapa universiti baharu di negara ini yang berlumba-lumba menawarkan pelbagai program pengajian sehingga gedung ilmu itu tidak lagi fokus dalam melahirkan graduan yang berkualiti iaitu memiliki kemahiran komunikasi serta kecekapan dalam bidang masing-masing.

“Sebagai contoh, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang sepatutnya fokus dalam bidang Pengajian Maritim dan Sains Marin, kini turut menawarkan banyak program kemahiran lain yang bukan kepakaran mereka.

“Keadaan yang sama turut berlaku di Universiti Utara Malaysia (UUM) yang sepatutnya fokus dalam bidang pengurusan,” katanya dalam sidang akhbar selepas berucap dalam Program Bicara Ketua Pegawai Eksekutif bertajuk Cemerlang Dalam Pendidikan Tinggi: Kepentingan Kualiti dan Inovasi di sini hari ini.

Tambah beliau, kerajaan perlu membendung keadaan itu dengan mewujudkan kesedaran terhadap pihak pengurusan universiti agar mereka mengenal pasti terlebih dahulu perkhidmatan termasuk kemudahan dan tenaga pakar yang dimiliki sebelum merancang untuk melaksanakan program pengajian baharu.

Dalam perkemba­ngan lain, Anuwar memberitahu, OUM yang telah memiliki 35 kampus di seluruh negara merancang membuka lapan cawangan baharu di Pontian, Johor; Manjung dan Tanjung Malim, Perak; Kuala Krai, Kelantan; Temerloh, Pahang; Klang dan Banting, Selangor serta Lahad Datu, Sabah pada tahun depan.

Katanya, pada tahun ini OUM meletakkan sasaran pengambilan pelajar baharu seramai 9,000 orang dalam setiap bidang pengajian bagi menyelaraskan pelaksanaan agenda pembelajaran sepanjang hayat secara berpusat. - Utusan Malaysia Rencana Pendidikan 19 Jun 2015

Tags: kualiti, universiti
Subscribe

Posts from This Journal “universiti” Tag

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments