kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Riak siber dalam Facebook

TIDAK. Saya belum memutuskan untuk menamatkan akaun Facebook saya. Semalam ada rasa mahu berbuat demikian. Kelmarin pun ada. Tetapi hari ini, saya tahan dulu. Saya mahu merrepak perihal Facebook di sini.

Kenapa saya tidak merrepak di Facebook sahaja? Kan, ramai buat begitu. Maaf, ia tiada dalam Rancangan Malaysia Ke-11. Saya mengamalkan penyiaran pernyataan yang benar-benar saya rasa perlu sahaja. Maklumlah, saya bukan Generasi Y atau millenials. Terlalu asyik mahu kedapatan di alam siber, tidak menepati manifestasi privasi yang lebih mahal dari nilai sekantong emas.

Tidak juga saya mencemburui kenalan dalam Facebook yang masuk kategori prolifik. Selang sejam mesti ada yang diutusnya. Kalau bukan berbentuk perutusan pun, dia akan kongsi segala benda dari berita sahih hinggalah kepada jelmaan puntianak di Terowong Menora.

Ramai yang menekan butang LIKE. Kalau dapat berpuluh-puluh itu, terasa diri sangat popular. Ada ulasan lagi bagus. Boleh bersoal jawab, berpantun seloka sampai letih. Peduli apa kalau orang naik hairan, kalau sudah selang sejam mengutus di Facebook, bila masa dia buat kerja azalinya? Eh...saya tidak cemburu. Hairan sahaja. Tidak ajak berdebat pun.

Kalau tidak cemburu, apakah meluat? Bab ini saya berhati-hati. Perkataan "meluat" terlalu kuat kerana ia penuh konotasi benci dan bosan. Seandainya sudah mencapai tahap tersebut, bermakna saya sudah "gibab dan fedap" serta tidak mahu lagi "kipidap".

Berikut saya huraikan tujuh faktor mengapa timbul perasaan tidak senang saya dengan kandungan Facebook sekarang:

1. #riaksiber

Ini adalah hashtag yang kononnya menghalalkan sesiapa sahaja untuk menunjuk-nunjuk, riak dan takbur dalam Facebook. Bersama gambar lawatan ke Stadium Old Trafford, keterangan gambar ditulis #riaksiber. Kau ada?

Satu lagi semacam trend di Facebook ialah pergi Mekah pun boleh ambil selfie dalam Masjidil Haram. Banyak-banyak tempat, di Tanah Suci juga dibuatnya selfie. Apa salah? Ini cara dakwah mengajak awak turut sama ke sana. Sekarang diam.

2. Semakin banyak berita ditulis wartawan tidak bertauliah

Saya ini makan gaji sebagai wartawan. Ikut borang permohonan visa, kerjaya saya dikategorikan profesional media. Antara prinsip yang dipegang ialah kalau tiada kesahihan, jangan laporkan. Tetapi di Facebook, segala benda dilaporkan oleh wartawan bebas ini yang hanya menjunjung prinsip "kebebasan bersuara" tetapi menolak keperluan periksa kesahihan.

Kasihan melihat rakan-rakan yang terpengaruh, menempel berita dari wartawan bebas tersebut dan kemudian mengulas panjang-lebar. Walhal, ia palsu.

3. Ramai pakar agama yang bertaraf mi segera

Kita kongsi berita ahli sukan negara menang pingat emas. Di sebalik mengulas kemenangan yang sukar itu, mereka lebih cenderung jadi ustazah, ustaz Facebook. Bagus niat mahu memberi kesedaran. Tetapi buatlah tanpa mengakibatkan agama kita dimomokkan dek pendirian ekstrem mereka.

4. Sebilangan penulis blog yang diikuti, terlalu partisan

Sejak beberapa tahun ini, saya jadikan Facebook sebagai pusat sehenti untuk mendapatkan berita atau ulasan penulis blog. Sejak awal tahun ini, mereka bagaikan sudah hilang kompas. Sepatutnya kompas tunjuk utara. Tetapi makin kronik pula ke timur, ke barat. Kasihan.

5. Platform mudah sesiapa sahaja mengulas tentang agama orang lain

Apa sahaja berkaitan Islam, dijadikan berita oleh portal berita bukan kerajaan yang ada juga ditulis oleh wartawan mereka yang beragama Islam. Masalahnya mereka lebih cenderung mengutarakan sudut kontroversi, negatif dan liberal tentang Islam.

Memang ada dalam kalangan umat Islam di Malaysia yang liberal. Tidak kisah. Itu hal dia dan amalannya. Cuma kesan buruk ialah mereka ini mendorong bukan Islam untuk pantas mengulas hal Islam dalam cara kurang manis.

6. Rasa jengkel melihat individu tertentu berbahasa pasar

Ada sebilangan pemilik akaun Facebook merupakan nama besar di negara ini sama ada dalam disiplin kerjaya mereka atau pendirian politik mereka. Saya ikuti mereka. Tidak salah bercambah idea walaupun tidak semestinya setuju. Yang tidak sedap bila mereka berbahasa pasar dengan mencarut sembrono. Normal sangat.

7. Ketagih publisiti dengan menyiarkan pernyataan kontroversi, kononnya dialah paling liberal dan pintar.

Golongan ini tidak sama seperti orang di atas. Mereka belum popular dan belum cukup besar. Namun mereka mempunyai sasaran untuk mencapainya. Bagaimana? Dengan menyiar apa sahaja dan bantai sesuka hati. Kasihan juga.

Jadi bilakah agaknya saya akan menutup akaun Facebook? Belum hari ini. Esok pun belum tentu. Biarlah. Yang menyerupai tujuh faktor di atas, kita buat tidak nampak saja. - Johardy Ibrahim Utusan Malaysia Rencana 14 Jun 2015 12:58 AM

Tags: facebook, ict, media
Subscribe

Posts from This Journal “facebook” Tag

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments