kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Dalam benci ada sayang

MELAYU kini dalam ke­­rugian besar. Bo­leh dianggap juga Me­la­yu kini paling lemah dalam sejarah perjuangannya selepas merdeka.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kini digugat dan disuruh meletakkan jawatan. Beliau ditohmah dan diperli oleh pelbagai pihak dengan cara yang paling hina. Seolah-olah Melayu sudah hilang punca, hilang budaya dan hilang budi pekerti yang menjadikan Melayu itu tinggi di mata dunia pada satu masa dahulu.

Tukang hentam utama Perdana Menteri ialah Tun Dr. Mahathir Mohamad, bekas mentor hampir semua menteri yang ada sekarang, termasuk penulis. Beliau telah memerintah negara selama 22 tahun.

Tidak pernah seseorang Perdana Menteri di tanah air kita diserang hendap oleh media dan di majlis-majlis yang diatur oleh pelbagai pihak seperti yang dilakukan di akhir-akhir ini.

Yang menyokong Najib secara terbuka di negeri-negeri yang dilawatinya puluh ribuan. Yang menyokong Tun Dr. Mahathir (Tun M) dengan sorak-sorai juga ramai. Facebook, Twitter dan saluran media sosial lain penuh dengan sebaran sengit masing-masing. Ada pihak yang menyatakan bilangan yang kritis melebihi sejuta.

Perdana Menteri dikritik dan dicerca atas pelbagai isu: dari isu cukai barang dan perkhidmaran (GST), kes Altantuya hinggalah ke 1Malaysia Development Berhad (1MDB). Kritikan Tun M terang dan jelas. Beliau mahu Najib berundur. Menurut beliau, Najib sudah dihakimkan sebagai pemimpin yang bersalah. Bolehkah pendapat Tun M ini dianggap benar dan lazim?

Asas kenyataan Tun M tertumpu kepada 1MDB dan GST walaupun isu-isu lain diasaknya juga. Tun M nampak beria-ia benar bertindak lebih daripada pembangkang.

Pembangkang kini bertepuk di bukit nan tinggi berterima kasih kerana negarawan ulung sendiri yang melanyak Presiden UMNO dan Perdana Menteri, dua jawatan yang dulunya disandang Tun M dengan sokongan yang tak berbelah bagi, sekalipun Team A dan Team B bertarung dalam dua pilihan raya menentangnya. Team B dulu bertarung atas soal keMelayuan, Raja Melayu, bahasa Melayu dan isu-isu kenegaraan susulan kesan Perhimpunan Agung UMNO April 1987.

Dulu bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi juga teruk `dibelasah’ oleh Tun M. Tapi kali ini Najib lebih teruk lagi menerima hentaman beliau.

Perak dipakai, suasa dibela. Gerak dah sampai masa dah tiba bagi pemimpin Melayu menilai langkah-langkah sorak-sorai ini. Kes 1MDB kini di tangan Jabatan Audit Negara, entiti yang semestinya dihormati laporannya yang bakal dikeluarkan tidak lama lagi. Apakah negarawan seperti Tun M tidak boleh menunggu keputusan siasatan itu?

Walau apapun yang dikatakan oleh pihak-pihak ketiga tentang penyelewengan, salahguna kuasa, korupsi dan sebagainya berkaitan 1MDB, perbuatan menghakimkan seseorang di khalayak bahawa beliau sudah bersalah justeru diputuskan supaya meletakkan jawatan adalah bercanggah dengan prinsip bicara dahulu kemudian bertindak.

Dalam hal ini keluhuran undang-undang atau rule of law atau hak asasi kemanusiaan sudah diketepikan. Pukulan yang dihentakkan terhadap Najib langsung tidak mencerminkan hemah dan kewibawaan. Semacam sudah dirasuk sesuatu.

Benar, Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri pertama terpaksa melepaskan jawatannya selepas surat terbuka Tun M mengenai pentadbirannya tersebar luas pada 1970. Benar juga bahawa Tun Abdullah Ahmad Badawi meletakkan jawatan susulan pukulan teruk yang dibagi oleh Tun M. Kini pukulan itu mengena pada Najib pula. Bapa beliau Tun Abdul Razak diakui Tun M sebagai idolanya dan pemimpin yang memberi peluang kepadanya untuk jadi pemimpin besar negara. Memang ramai yang menyokong, bersorak-sorai dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap Najib. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.

Tampak jelas, matlamat Tun M ialah hendak menggantikan Najib dengan orang lain. Siapa yang dirancangkannya tidak diketahui. Tetapi yang mudarat kini ialah cara Melayu berjuang sudah menyimpang dari asas dan dasar. Tampak kita tidak lagi kisah tentang apa akan jadi kepada pimpinan UMNO dan ketua kerajaan. Kenapa Tun M tidak terus sahaja menempelak Najib di kamar khas dengan disaksikan Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan ketiga-tiga Naib Presiden? Boleh berdebat habis-habisan. Selesai itu, boleh berjabat tangan dan beri nasihat sebagai seorang bapa kepada anaknya.

Jangan buat hebahan kepada dunia yang kita Melayu tidak mengerti ereng dan gendeng, budi bahasa dan kewibawaan bangsa. Menghukum seseorang sebagai bersalah tanpa proses keadilan amat menyimpang dan salah.

Membaca tulisan ini mungkin ramai pihak akan menghina penulis dengan pelbagai cara dan pukulan. Tak mengapa, yang lebih penting kini ialah menyatukan Melayu dalam politik perdana. Biarkan Audit Negara buat kerjanya cepat dan perakukan apa yang wajar dilakukan. Siapa yang menyeleweng mereka tanggung padahnya.

Kes-kes serpihan Altantuya, Sirul di Australia dan saman bapa Altantuya, biar Peguam Negara hadapi. GST, teruskan huraian yang lebih jelas, perelok sistem pengurusannya. Bantuan Rakyat 1Malaysia (BRIM), buat perimbangan semula jika perlu. Gunting baju ikut badan.

Di arena politik, cari jalan bagaimana Pas yang 100% Melayu berkongsi kuasa dengan UMNO untuk masa depan. Pada 1974, Tun Razak, apabila didapatinya Perikatan atau penerimaan terhadap Kapal Layar sudah mulai lesu, beliau wujudkan Barisan Nasional (BN).

Parti Keadilan Rakyat (PKR) juga boleh dipilih antah daripada berasnya – buat opsyen berunding. Apa salahnya jika diwujudkan semacam United Muslim Organisation bersama Pas? Beri Datuk Seri Abdul Hadi Awang peluang bersama dalam kerajaan dengan beberapa orang pemimpinnya. Kalau Allahyarham Tan Sri Mohd. Asri Muda boleh bersama walaupun satu penggal, kenapa Abdul Hadi tak boleh fikirkan ikut nas Waktasimu bihablillah?

Pada Tun M kita tabik. Cium tangan beliau pun tidak mengapa kerana kita banyak terhutang budi pada beliau. Beliau obor dan negarawan ulung Malaysia. Tapi pada masa sama rakyat perlu beri Najib selesaikan tugasan manifesto PRU-13 dua tahun dahulu.

Beliau ada cuma dua tahun lebih untuk menyelesaikan sumpah dan janjinya. Tidak boleh suruh beliau berhenti separuh jalan.

Tidak ada kesilapan yang tidak boleh ditebus asalkan orang Melayu terus mewarnai perjuangan melalui politik perdana bangsa dan negara. Penulis amat menyakini Perdana Menteri boleh menukar dasar dan kompas untuk penghasilan baharu.

Kuatkan norma dan penguatkuasaan undang-undang. Lakukan program berjimat; tunjuk bahawa pimpinan atasan juga boleh hidup sederhana; wujudkan tabung khazanah negara atau sovereign fund dengan gigih; buktikan kepada rakan bukan Bumiputera kita ikhlas berkongsi kuasa tetapi kuasa yang teratas kenalah Melayu -Bumiputera.

Apa yang hak kepada Melayu jangan malu melaksanakannya. Budaya dan warisan Melayu yang disebut di bawah Per. 160 Perlembagaan Persekutuan – beri pembelaan. Jelmakan budaya Melayu seperti dalam Fasal 3(5) Perlembagaan UMNO. Asuh Melayu berbudi secara berterusan kerana Melayu sudah ramai yang tidak kenal apa itu budi. Kekitaan dalam kerajaan apatah lagi dalam parti mesti berterusan.

Tak payah ada pihak ketiga hendak temukan Tun M dengan Najib. Semua pemimpin, asak supaya Tun M ‘makan teh’(istilah Kedah) berdua saja dengan Najib. Luahkan perasaan. Biar sampai tegang leher atau hentam meja. Kemudian bila selesai ikrar kerjasama, sayang-menyayangi. Jangan kena tempias pantun Melayu:

Dalam bayang nampak loyang

Dalam loyang ada sekoci

Sayang-sayang seribu sayang

Dalam sayang jangan benci

- Tan Sri Rais Yatim Penasihat Kerajaan dalam Hal Ehwal Sosial dan Kebudayaan. Utusan Malaysia Rencana 15 Jun 2015

Tags: benci, politik
Subscribe

Posts from This Journal “politik” Tag

  • Perlukah Menyuruh Mereka Meletak Jawatan?

    Maka dengan ini ‘sila letak jawatan’ merupakan catatan di media. Kegagalan para Menteri (termasuk Menteri Kanan) , ahli Parlimen yang…

  • Keserasian Pasukan Negara?

    Pasukan Harimau Malaya kini sedang bersiap sedia untuk kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang baki pusingan keduanya akan disambung di…

  • Keserasian dalam pasukan bola, politik

    Pasukan Hari Malaya kini sedang bersiap sedia ke Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang baki pusingan keduanya akan disambung di Dubai,…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments