kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Ada yang faham, 
buat-buat tak faham

BARU-BARU ini penulis terserempak dengan seorang ahli Yang Berhormat (YB) Dewan Undangan Negeri Kelantan dari Pas. Penulis dan isteri makan semeja dengannya di majlis kenduri sempena perkahwinan anak seorang kawan. Setelah berborak seketika, penulis melontar kata-kata: “Eloklah kalau ada cadangan hendak berbaik-baik...”.

Ternyata YB itu dapat menangkap maksud penulis. Secara spontan beliau menjawab: “Bayar dulu royalti RM20 bilion bolehlah hendak berbaik”. Penulis terdiam. Perbualan kami mengenai isu itu terhenti lantaran ada tetamu baharu datang menumpang di meja kami.

Perbualan kami ringkas, tetapi cukup bagi penulis membuat penilaian tersendiri. Jika demikianlah sikap yang ada pada seorang YB, patutlah rakyat Kelantan yang majoritinya masih menyokong Pas tidak menghargai segala sumbangan dan bantuan Kerajaan Persekutuan ke negeri itu saban tahun.

YB itu sepatutnya faham bahawa isu royalti sudah diserahkan kepada satu jawatankuasa khas untuk mengkaji, menilai dan meneliti segenap aspek termasuk perundangan bagi mencari rumusan dan ketetapan terbaik. Kerajaan Negeri Kelantan sendiri mempunyai wakil di dalam jawatankuasa itu.

Kalangan ahli-ahli jawatankuasa juga terdiri daripada mereka yang berkredibiliti tinggi. Jadi, kenapa harus menyoal tentang royalti yang gambarannya seolah-olah Kerajaan Persekutuan enggan membayar kepada Kerajaan Negeri Kelantan? Tidak terhitung berapa banyak jawapan yang telah diberi tetapi itulah tohmahan dan dakwaan yang tetap bersarang di minda rakyat Kelantan terhadap Kerajaan Persekutuan.

Rakyat ‘diheret’ untuk mempercayai bahawa dalam isu ini Kerajaan Persekutuan kononnya bersikap zalim dan sengaja menganiaya Kelantan. Pada hal, isu pembayaran royalti minyak kepada Kerajaan Negeri Kelantan ini tetap tertakluk kepada peraturan dan perundangan Persekutuan yang ada.

Maka terus tertampallah di kenderaan dan tempat-tempat strategik huruf ‘R’ sebagai simbol tuntutan ‘Royalti’ untuk Kerajaan Negeri Kelantan. Tidak cukup dengan itu, terselit juga sesekali sindiran sinis mengenai ‘royalti’ ini di kuliah-kuliah agama di masjid atau surau. Atau juga di majlis-majlis tertentu.

Dari sikap yang ditunjukkan oleh YB tadi fahamlah umum kenapa isu tuntutan royalti ini masih berlegar dalam kalangan rakyat Kelantan. Pertama, memang ada yang tidak faham. Kedua, ada pihak yang faham tetapi ‘buat-buat tidak faham’ dan ketiga, ada pihak yang faham tetapi tidak cuba ‘memberi kefahaman’ kepada ‘yang tidak faham’.

Manifestasi ‘faham dan tidak faham’ mengenai isu royalti minyak ini berjangkit kepada persepsi umum rakyat Kelantan seolah-olah tidak ada sebarang bantuan dan sumbangan Kerajaan Persekutuan untuk rakyat Kelantan. Dan kedengaranlah terus-terusan ungkapan klise ‘Kelantan dianak-tirikan”.

Propaganda ‘menafikan’ sumbangan dan bantuan Kerajaan Persekutuan ke Kelantan melalui YB-YB Pas ini jelas berlaku. Ada kala mereka mengakui dan berterima kasih semasa berucap di Dewan Undangan Negeri atau Parlimen tetapi bernada sebaliknya apabila berhadapan dengan rakyat di kampung.

Ada Ahli Parlimen Pas yang tidak ambil peduli pun masalah rakyat semasa musim banjir besar beberapa bulan lalu, tetapi dengan lantang di Parlimen menyalahkan Kerajaan Persekutuan kerana kononnya lambat menghulur bantuan perumahan kepada rakyat kawasan beliau. Nampak sangat bersandiwara.

Sepatutnya apa yang baik diterima secara baik. Islam juga menganjurkan begitu. Bimbang jika asyik menafikan yang benar dan ‘mengada-adakan’ fakta yang tidak tetap boleh dianggap munafik. Sudah tentu dosanya besar. Jika tidak kerana semata-mata untuk ‘bermain politik’, wakil-wakil rakyat Pas malah boleh menceritakan kepada rakyat Kelantan bahawa boleh dikatakan banyak projek pembangunan yang terdapat di negeri itu sejak di bawah pemerintahan Pas sehingga kini adalah hasil sumbangan kerajaan Persekutuan.

Wakil Rakyat (BN) Tanah Merah, Datuk Ikmal Hisham Abdul Aziz baru-baru ini menyebut di Parlimen, Kerajaan Persekutuan telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM1.5 bilion kepada Kelantan sejak 2011 hingga tahun lalu. Malah jumlah peruntukan melalui Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) itu tertinggi berbanding enam negeri lain.

Menurut beliau, apabila Syarikat Air Kelantan Sdn.Bhd. (AKSB) memohon peruntukan RM36 juta untuk membaiki loji dan projek-projek lain baru-baru ini, Kerajaan Persekutuan telah meluluskan permohonan itu.

Kerajaan Negeri Ke­lantan bernasib baik kerana tidak ada rakyat negeri itu bangkit menyoal ke mana perginya kutipan hasil pembalakan dan penerokaan tanah di kawasan hulu yang dilakukan secara berleluasa setiap tahun.

Sama juga dengan bernasib baiknya Kerajaan Negeri Kelantan kerana rakyat negeri itu tidak bangkit mempersoalkan ke mana perginya kutipan derma untuk dana pembinaan lebuh raya rakyat Kota Bharu-Kuala Krai yang dikumpul tidak lama dahulu.

Cuma ada juga sesekali orang menanya, ”bila stadium di Bukit Merbau akan siap?”. Sementara ada pula yang mencelah, “tidak apa kalau terpaksa ke Stadium Bukit Jalil pun sebab kita boleh naik kereta api laju”. Semua sindiran sinis itu lahir gara-gara pihak kerajaan negeri telah berjanji untuk membina beberapa projek termasuk seperti disebutkan, tetapi sehingga sekarang masih belum menampakkan ‘kerangka binaan’.

Sementara itu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed yang juga merupakan ‘Menteri bagi hal ehwal Kelantan’ menyifatkan, pelaksanaan tiga projek mega untuk Kelantan dalam RMK-11 membuktikan negeri itu tidak pernah dipinggirkan dalam saluran bantuan pembangunan oleh Kerajaan Persekutuan.

Beliau yakin pembinaan Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai, pembesaran Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra dan projek tebatan banjir di Sungai Galas dan Lebir, Kuala Krai memberi manfaat besar kepada rakyat Kelantan.

Menariknya, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob turut mengalu-alukan sumbangan Kerajaan Persekutuan kepada Kelantan. Secara objektif dan terbuka, beliau mengakui RMK-11 bersifat inklusif dan menyeluruh. Dan keyakinannya, RMK-11 menjadi pemangkin kepada pencapaian Malaysia berstatus negara maju.

Ahmad optimis, menerusi RMK-11, sasaran yang ingin dicapai negara akan menjadi kenyataan. Beliau melihat perancangan yang direncanakan kerajaan di bawah kepemimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak berpandangan jauh dan berorientasikan konteks masa depan.

Rakyat Kelantan yang berada di luar patut bersyukur terutama dengan terbinanya nanti Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai dan pembesaran Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra. Setidak-tidaknya perjalanan pulang mereka pada musim-musim cuti dan perayaan akan lebih mudah dan selesa.

Sebenarnya apa lagi yang diharapkan oleh rakyat Kelantan selain daripada terus menikmati kehidupan makmur, sejahtera sambil berusaha mencari kesenangan di dunia dan beribadat untuk kesejahteraan di akhirat?

Faktor yang sering ‘mengganggu’ perpaduan dan kedamaian sesama sendiri adalah penerapan fahaman politik yang taksub dan keterlaluan. Masih ramai yang ‘terbelenggu’ dengan keyakinan bahawa hanya Pas satu-satunya parti yang mendokong Islam dan parti selain daripada itu adalah ‘sekular’ (tidak Islamik).

Kenapa tidak, para pendokong parti-parti politik khususnya yang berpaksikan perjuangan untuk bangsa Melayu dan Islam ‘berlapang dada’ untuk saling bekerjasama dan berganding bahu demi memajukan ummah dalam erti kata yang jujur dan ikhlas. Apa salah untuk tidak diperhitungkan sangat soal kepentingan politik kepartian terutama dalam suasana yang semakin mencabar ini. Hakikatnya, kehidupan mencari rahmat dan keberkatan.

Semoga suasana baharu dalam kepemimpinan Pas sekarang akan turut menerbitkan harapan baharu dalam erti kata mencari titik kesepaduan khususnya dengan UMNO demi kepentingan ummah dan negara. - Datuk Sayuti Mokhtar adalah Felo Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia. Utusan Malaysia Rencana 16 Jun 2015

Tags: politik
Subscribe

Posts from This Journal “politik” Tag

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments