kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Baik, buruk ringgit jatuh

APABILA kereta kita rosak, kita tentu mengeluh kerana sekurang-kurangnya beberapa ratus jika tidak pun beribu-ribu ringgit akan terbang untuk membaikinya.

Tetapi ketika kita sampai sahaja ke bengkel untuk membaikinya, taukeh bengkel tersenyum kerana kedatangan kita bermakna akan bertambah lagi pendapatannya untuk hari itu.

Itulah hakikatnya, apabila berlaku sesuatu perkara - ada yang akan bersedih dan ada yang gembira. Ada yang untung dan ada yang rugi.

Begitu juga yang berlaku dalam keadaan nilai ringgit yang rendah sekarang - ada yang meraih manfaat dan ada yang terkesan.

Justeru, tidak hairan mengapa Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz baru-baru ini dilaporkan berkata, beliau adalah antara yang paling gembira apabila nilai mata wang negara kita itu jatuh.

Mana tidaknya, sebagai menteri yang bertanggungjawab memajukan industri pelancongan, beliau tahu nilai ringgit yang rendah akan memberikan kelebihan kepada Malaysia untuk menarik lebih ramai pelancong.

Bagi pelancong luar, kos melancong di negara ini menjadi lebih murah. Begitu juga jika mereka mahu membeli-belah. Berikutan Malaysia juga giat mempromosikan pelancongan kesihatan, hospital swasta tempatan juga tentu menjadi tumpuan, terutama rakyat dari negara jiran untuk mendapatkan rawatan pakar.

Komen negatif di laman sosial Namun, kenyataan Nazri mendapat komen negatif di laman sosial, kononnya beliau tidak peka dengan masalah rakyat dan ada juga yang mengatakan beliau hanya pentingkan kementeriannya.

Sebenarnya mungkin yang memberikan komen sedemikian tidak begitu menyedari kepentingan dan sumbangan industri pelancongan kepada ekonomi negara.

Dianggarkan industri pelancongan kini menyumbang kira-kira 12.5 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara ini. Jika berdasarkan nilai KDNK tahun lalu, nilai sumbangan sektor itu kepada ekonomi negara ialah kira-kira RM104 bilion.

Dari segi pekerjaan pula, pada tahun 2012 industri itu menyediakan 2.1 juta pekerjaan atau 16.4 peratus daripada jumlah pekerjaan. Ia adalah sumbangan yang agak besar.

Justeru, kegembiraan Nazri itu sebenarnya akan dikongsi oleh berjuta-juta rakyat negara ini. Cuma sedar atau tidak sahaja!

Hakikatnya, nilai mata wang yang rendah turut memberikan kebaikan kepada negara kita. Barangan eksport negara kita akan menjadi lebih murah, manakala barangan import pula menjadi lebih mahal. Ini akan meningkatkan eksport dan mengurangkan import, sekali gus memberikan manfaat kepada syarikat tempatan dari segi peningkatan jualan.

Ini akan mendorong syarikat terutama yang berorientasikan eksport menambah pengeluaran yang akan mewujudkan pula peluang pekerjaan baharu.

Kesan penggandaan ini akan berterusan yang akhirnya meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara. Namun, seperti dinyatakan awal tadi, setiap perkara yang berlaku akan ada yang menerima kesan negatif. Begitulah juga dengan penurunan nilai ringgit ini.

Harga barangan import atau yang mengandungi komponen import yang tinggi akan meningkat dan ini memberikan kesan kepada syarikat terbabit dalam perniagaan sedemikian dan juga kadar inflasi.

Syarikat yang mempunyai hutang dalam mata wang asing juga akan menyaksikan kos pinjaman mereka naik. Namun, sebagai negara yang asas ekonominya adalah pelbagai, kesan buruk dan baik peningkatan nilai ringgit ini sudah tentu dapat diseimbangkan dan tidak begitu menjejaskan mutu kehidupan rakyat secara umumnya.
Saidon Idris Berita Harian Kolumnis 15 Jun 2015
Tags: ekonomi
Subscribe

Posts from This Journal “ekonomi” Tag

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments