kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

PTPTN wajar rangka peraturan wajib potong gaji

ISU peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) culas bukan perkara baharu dan ia sudah lama berlaku. Namun, pendedahan akhbar ini iaitu seramai 33,552 kakitangan kerajaan pelbagai peringkat masih belum atau tidak pernah membayar langsung pinjaman pendidikan PTPTN mereka, amat mengejutkan.

Entah apa yang tidak kena di sini, kerana sebahagian daripada golongan terbabit dipercayai berada dalam gred 48, 51 dan 52 yang meraih gaji termasuk elaun antara RM6,500 hingga RM7,000 sebulan tetapi tidak pernah membayar hutang PTPTN mereka.

Apakah ini teladan yang boleh dicontohi pelajar? Andai pegawai ini berkhidmat di agensi yang memberi pinjaman kewangan kepada orang ramai, bagaimana dia menasihatkan pelanggan untuk memastikan setiap pinjaman wang kerajaan itu perlu dilangsaikan dalam tempoh tertentu?

Mungkin pihak PTPTN belum begitu tegas dalam usaha memungut balik pinjaman. Hanya November lalu, ia mengumumkan langkah menyenaraikan nama 173,985 peminjam yang gagal membayar balik pinjaman berjumlah RM1.23 bilion sejak lebih 11 tahun lalu, ke dalam Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) mulai 1 Januari tahun ini.

Itu satu kemajuan dan langkah baik kerana selepas pengumuman itu, 18,253 peminjam tegar PTPTN tampil menyerah diri bagi mengelak rekod buruk mereka yang ingkar membayar pinjaman dipaparkan dalam CCRIS.

CCRIS kendalian Bank Negara Malaysia (BNM) adalah rekod yang akan dirujuk semua institusi kewangan tempatan dalam proses semakan mereka terhadap pelanggan yang mahu membuat pinjaman, bagi menentukan kelayakan dan kemampuan individu tertentu membayar balik pinjaman.



KAKITANGAN PTPTN membantu peminjam yang hadir di kaunter pejabat PTPTN Perak
di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Ipoh. - Foto Muhaizan Yahya

Rasanya tindakan itu belum mencukupi, kerana ia sesuatu yang sudah berlaku. Pihak berkuasa atau PTPTN perlu merangka sesuatu mekanisme pencegahan atau tindakan awalan sebelum ia berlaku.

Apa yang patut dilakukan oleh pihak pengurusan PTPTN ialah merangka peraturan baru yang mewajibkan semua peminjam membayar balik pinjaman secara ansuran sebaik mendapat kerja selepas menamatkan pengajian, sama ada dalam sektor perkhidmatan awam atau swasta.

Wajibkan peminjam untuk menandatangani perjanjian atau surat kebenaran memotong gaji untuk dikuatkuasakan sebaik mendapat kerja - sama seperti caruman untuk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Majikan yang gagal mencarum untuk pekerja menjadi kesalahan dari segi undang-undang. Tidak salah mekanisme yang sama dilaksanakan untuk peminjam PTPTN. Hanya menerusi undang-undang akan menyelesaikan masalah culas bayar ini.

Adalah tidak adil untuk orang lain yang memerlukan wang pinjaman PTPTN, tetapi ada pihak tidak mahu membayarnya. Adat orang meminjam, mesti membayar balik. Beli kereta, kalau tak bayar, kereta boleh ditarik. Bank boleh sita rumah jika pembelinya gagal membayar.

Usaha menangani peminjam PTPTN yang culas ini juga memerlukan komitmen politik, bukan membuat kenyataan politik berbentuk 'populist' untuk meraih populariti dalam kalangan pelajar. Ini bukan soal mencari populariti, ini soal mencari penyelesaian.
Tags: pendidikan, ptpn
Subscribe

Posts from This Journal “ptpn” Tag

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments