kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Cabaran mengurus masa

KEHIDUPAN penuntut pada masa kini memang agak sibuk. Dengan kuliah, kemudian diberi tugasan, perlu mengendalikan program, study group dan banyak lagi.

Pada malamnya pula, mereka akan menelaah pelajaran dan jika semuanya selesai, ada sebahagian penuntut akan menonton televisyen buat seketika. Mungkin ingin merehatkan otak walau sekejap.

Bila melihatkan situasi sebegini, rasa kasihan mula timbul. Kadang-kadang agak tertekan juga melihat para penuntut. Tetapi nak buat macam mana, demi ilmu, semuanya perlukan pengorbanan.

Dalam kekalutan sebegini, pengurusan masa yang betul amat diperlukan. Gunakan masa yang ada dengan sebaik-baiknya. Paling penting, jangan melengah-lengahkan kerja. Berlengah itu pencuri masa.

Penceramah dan juru bimbing profesional, Fadzli Yusof sendiri berkata, apabila penuntut bijak urus masa, setiap hasil kerja akan menjadi bagus, penuntut juga sentiasa produktif, kurang tertekan, sering gembira dan punyai banyak masa untuk aktiviti lebih bermakna.

Sebaliknya, jika siswa-siswi itu gagal menguruskan masa dengan bijak, mereka akan menjadi tidak produktif, sering stres, menjadi cemas dan bimbang, gusar serta mudah marah.


Betapa berharganya masa!

Cepat sungguh masa berlalu. Tanpa disedari, kita sudah pun menjengah bulan Jun 2015. Bagi mereka yang bergelar penuntut, masa begitu penting buat mereka. Jika tidak bijak menggunakan masa, alamatnya mereka akan gagal menyiapkan apa-apa tugasan pada waktu yang ditetapkan.

Penuntut dan masa memang tidak dapat dipisahkan. Kalau boleh, mereka impi bahagikan masa dengan begitu baik. Apa jua perkara bermanfaat diberi tumpuan manakala hal yang membuang masa dibuang ke tepi.

Terdapat pelbagai cara yang boleh dilakukan dalam perkara yang membabitkan masa. Antaranya, penuntut tersebut boleh membahagi-bahagikan aktiviti harian mengikut kategori.

Tetapkan keutamaan apabila siswa-siswi membahagikan aktiviti mengikut kategori. Contohnya: Menyiapkan tugasan adalah keutamaan; melakukan senaman adalah keutamaan; bersiar-siar di pusat beli-belah bukan keutamaan dan sebagainya.

Tetapkan aktiviti berdasarkan keutamaan dan apa yang diperlukan.

Gunakan diari. Diari atau jadual waktu dapat membantu seseorang melakukan tugasan dan mencapai matlamat yang ditetapkan. Ia juga turut membantu untuk merancang aktiviti harian berdasarkan apa yang mesti dibereskan.


Urus masa

Penulis sempat menemu bual seorang penceramah dan juru bimbing profesional, Fadzli Yusof berkenaan isu pengurusan masa dalam kalangan penuntut di universiti.

Katanya, selain belajar, penuntut juga mempunyai tugasan hidup yang lain seperti sebagai seorang anak, abang, adik, kawan, pemimpin pelajar dan banyak lagi.

Mereka juga mempunyai tanggungjawab terhadap diri sendiri. Peruntukkanlah masa dan komitmen dengan baik agar ia sentiasa seimbang.

"Saya percaya ramai di kalangan siswa kita mempunyai jadual waktu. Tetapi malang sekali, jadual waktu hanya tinggal sebagai sekeping kertas yang tidak berguna. Ia tidak benar-benar ‘menjadualkan’ urusan masa seharian seseorang.

Justeru, amat wajar bagi mereka untuk mencari seseorang yang pakar dalam mendapatkan nasihat bagaimana membuat jadual waktu dengan baik," katanya.

Fadzli yang merupakan pengasas NLP Malaysia Centre (www.nlpmalaysia.net) berkata, penuntut seharusnya menyusun tugasan kerja mengikut keutamaan. Kerja yang tidak berapa penting dikemudiankan. Sempurnakan yang paling utama dahulu.

Belajar bagaimana untuk menentukan prioriti dan menyusun jadual tugasan yang cekap dan berkesan.

Mengetahui akan tabiat tidur untuk diri juga amat penting. Kata Fadzli, jika penuntut tidak menyusun masanya dengan betul, tidak mustahil ia akan merugikan.

"Peruntukkan masa untuk tidur. Jangan sesekali biarkan badan terseksa dengan kepenatan akibat kekurangan tidur. Tetapi dalam masa yang sama jangan pula lebih tidur.

Ia juga cukup memenatkan. Sebab itu, penuntut perlu mengenali tabiat tidur sendiri - supaya boleh merancang waktu tidur yang terbaik," ujarnya.


Usah malu

"Saya dapati ramai kalangan siswa kita gemar menyembunyikan jadual kebanggaan masing-masing. Perasaan malu dan segan makin menebal jika jadualnya dilihat orang. Kenapa pula? Bukankah ia menunjukkan bahawa anda seorang yang tersusun dan terancang?

"Bila mereka menampal jadual waktu di tempat terbuka (maksud saya, di dalam bilik), secara automatik, rakan-rakan juga boleh menjadi tenaga pendesak kepada mereka untuk mematuhi jadual waktu; jika tidak, kawan-kawan yang lain akan memandang rendah terhadap anda," kata Fadzli.

Sepanjang sesi temu bual, Fadzli cukup gemar memberi falsafah dan perumpamaan. Menurutnya, penuntut tidak seharusnya mendukung biawak hidup. 'Biawak-biawak' dalam alam pembelajaran adalah siswa siswi yang pemalas, dan hanya tahu menyuruh orang lain dengan pelbagai alasan.

"Kalau mereka malas membuat kerja rumah, mereka akan ‘meminta tolong’ daripada kawan di sekeliling mereka.

Walhal mereka sahaja hendak memperalatkan anda. Jika kerja itu memang tanggungjawab anda, tidak mengapa. Tetapi kalau terpaksa melakukannya hanya semata-mata kerana sifatnya yang pemalas, baik jauhkan diri daripadanya. Jangan sesekali ‘mendukung’ mereka ini, kerana ia hanya akan menyusahkan," jelasnya.

Menurut Fadzli, siapa kata masa tidak boleh dipagari? Ia boleh dipagari oleh diri sendiri dan jangan biarkan ia dicuri oleh orang.

"Masa kita boleh dicuri oleh mereka yang tidak mempunyai disiplin masa. Salah satu cara untuk ‘memagari’ masa ialah dengan menetapkan masa yang tepat dan tidak biasa didengar. Contohnya, menetapkan perbincangan kumpulan pada pukul 3.32 petang, atau janji temu pada 8.13 malam.

Satu lagi cara untuk ‘mengetatkan sekuriti’ masa ialah dengan menyatakan kepada mereka tabiat menepati masa dan jadual masa anda yang ketat.

"Kemudiannya, penuntut itu sendiri boleh mencuba untuk takutkan orang lain. Dalam bilik disediakan penanda tombol yang berbunyi Jangan Ganggu atau Don’t Disturb. Atau mungkin pernah melihat satu papan tanda di pejabat seperti Jurujual tidak dibenarkan masuk atau Hanya untuk kakitangan sahaja.

Atau mungkin anda melihat bilik rakan-rakan anda di asrama yang diletakkan tanda pintu Sedang belajar, Jangan ganggu selepas 11 pm, Jika ada apa-apa masalah, sila telefon saja, dan banyak lagi contoh kata-kata yang lain," ujarnya.

Bagi penuntut yang memang tidak suka membazir masa, mereka boleh terus berdiri bila ada kaki borak datang. Misalnya, tiba-tiba ada seorang rakan yang memang terkenal sebagai kaki borak. Jangan membuang masa lagi, bangun, menyapanya dengan mesra.

Tanyalah jika ada perkara mustahak. Jika tiada, ucap terima kasih dan terus berjalan ke tempat lain. Siswa berkenaan boleh ke mana-mana yang di rasa sesuai sebelum kembali ke tempat asal. Yang penting, jangan biarkan dia ‘melekat’ di tempat anda.



Dalam pada itu, Fadzli berharap, para penuntut dapat berfikir seperti ahli politik.

"Ahli politik menyusun prioriti dengan berhati-hati, agar mereka tidak membazirkan masa kepada perkara yang tidak memberikan kredit kepada mereka.

Jika seorang ahli politik menerima sepuluh panggilan telefon dalam satu masa, mereka tidak akan bertanya “Yang mana dulu?” tetapi mereka akan bertanya “Yang mana paling berkuasa?” atau “Yang mana paling membantu?” atau “Yang mana paling merbahaya?”.

"Dalam konteks pendidikan, anda boleh membezakan yang manakah ulang kaji yang paling penting; subjek mana yang masih lemah? subjek mana yang paling hampir dengan ujian? Apa yang anda fikirkan ialah; yang mana paling memberikan faedah untuk diri sendiri," katanya.


Masa amat terhad

Presiden Majlis Perwakilan Pelajar UniSZA, Muhamad Anas Misbahudin mengakui yang masanya cukup terbatas berbanding penuntut lain. Ini kerana, ada empat komitmen yang perlu diberi fokus dan tumpuan berbanding dua komitmen dalam kalangan siswa biasa.

"Akademik; masa bersosial; sebagai Presiden dan sebagai Pengerusi Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) sesi 2014/2015, adalah komitmen yang harus saya agihkan masa dengan sebaik mungkin.

"Walaupun kadang kala masa yang ada tidak mencukupi, namun saya tidak menganggapnya sebagai satu beban sebaliknya ia adalah tanggungjawab yang harus di laksana sebaik mungkin," kata Anas.

Untuk tidak menjadikan rutin harian menjadi kalut, beliau telah menyediakan sebuah diari dan segala urusan yang berkaitan akan dicatat agar masa yang ada dapat difokuskan pada perkara berfaedah.

"Waktu belajar, mesyuarat, menyiapkan tugasan dan banyak lagi, semuanya dicatat dalam diari. Setakat ini semuanya berjalan lancar cuma jika ada hal kecemasan, masa saya akan tersasar namun ia masih lagi dalam kawalan.

"Berkenaan waktu tidur, ia sememangnya tidak menentu. Jika banyak kerja perlu diselesaikan, saya akan tidur lambat. Namun begitu, saya tetap akan pastikan, keesokannya saya bangun awal dan melakukan tugas mengikut jadual," ujarnya.

Nasihat Anas kepada siswa, uruslah masa dengan baik kerana masa ibarat seperti mata pedang yang tajam, jika kita tidak memotongnya maka ia akan memotong kita. Dari itu pergunakanlah masa sebaik-baiknya dalam kehidupan seharian. Setiap kerja yang dilakukan di muka bumi ini merupakan satu ibadah.
Tags: masa
Subscribe

Posts from This Journal “masa” Tag

  • Orang tidak tepati masa wajar dibenci

    SEJURUS muncul di pintu, dua pegawai yang sedang berbual kelihatan terkejut. “Awak seorang America!” kata pegawai A sambil menghulur…

  • Masa emas keluarga

    SETIAP manusia diberikan 24 jam sehari. Tiada seorang pun yang mendapat kurang sesaat ataupun lebih sesaat dalam hidupnya. Sama ada masa yang…

  • Benarkah kita meluangkan masa untuk anak-anak?

    SELALU sahaja kita mendengar rungutan yang anak tidak dapat berenggang dengan telefon pintar dan gajet elektronik. Di dada akhbar pula, tersiar…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments