?

Log in

No account? Create an account

Previous Entry | Next Entry

Pengkritik sebenarnya tak bebas

Saya bercakap daripada pengalaman, bukan daripada persepsi atau daripada buku. Saya menghabiskan 21 tahun sebagai seorang pegawai dalam Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan memegang pelbagai jawatan, termasuk Ketua Pendakwaan.

Saya menghabiskan 18 tahun dalam Badan Kehakiman, menjadikan sejumlah 39 tahun. Saya bersidang dalam semua mahkamah di negara ini dari Mahkamah Majistret, Mahkamah Sesyen, Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan kepada Mahkamah Persekutuan.

Saya juga mempengerusikan Mahkamah Khas dan bersidang sebagai Hakim Mahkamah Rayuan Syariah. Sebagai Hakim Mahkamah Rayuan, saya mendengar rayuan yang membabitkan Ketua Menteri mewakili Barisan Nasional (BN) di sebuah negeri.

Penghakiman majoriti yang saya tulis menyebabkan beliau hilang kelayakan untuk memegang jawatan itu. Sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan, saya mempengerusikan Mahkamah Persekutuan yang mendengar rayuan kes liwat pertama Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Penghakiman majoriti yang saya tulis melepas dan membebaskan beliau yang tidak disenangi oleh parti yang berkuasa dan kerajaan.

Sebagai Ketua Hakim Negara, saya mempengerusikan Mahkamah Khas yang mendengar tuntutan sivil terhadap bekas Yang di-Pertuan Agong dan Raja sebuah negeri yang sedang bertakhta.




Penghakiman sebulat suara mahkamah yang saya tulis memerintahkan baginda membayar AS$1,000,000 kepada plaintif. (Anda boleh membaca alasan penghakiman saya di laman web saya).

Ketepikan kesopanan, saya fikir saya boleh berkata saya adalah lebih layak untuk bercakap pengalaman daripada semua orang yang ada di dalam dewan ini, termasuk Datuk Mohamad Ariff Mohd Yusof.

Sepanjang 21 tahun saya berada dalam Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan, termasuk sebagai Ketua Pendakwaan, tidak ada sesiapa yang pernah mengganggu saya dalam membuat keputusan saya.

Apa yang berlaku kepada saya selepas saya menyebabkan Ketua Menteri BN hilang kelayakannya? Dalam keadaan biasa, saya dinaikkan pangkat sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan. Apa yang berlaku selepas kes yang membabitkan bekas Yang di-Pertuan Agong?

Pertama, baginda mematuhi perintah itu dan membayar. Tunjukkan kepada saya sebuah negara di mana perkara seperti ini berlaku.

Malah, Ratu England pun mengatasi undang-undang. Saya telah menghadiri Persidangan Hakim-Hakim Mahkamah Perlembagaan di Manila.

Seorang Hakim Mahkamah Perlembagaan dari negara jiran berkata: "Di negara saya menteri pun mengabaikan perintah mahkamah."

Malah, pada persidangan itu, ada seorang Ketua Hakim Mahkamah Perlembagaan di sebuah negara yang tidak mempunyai mahkamah - mahkamahnya dihapuskan oleh tentera dalam suatu rampasan kuasa.

Rakyat Malaysia perlu belajar untuk menghargai kedudukan dalam negara mereka sendiri. Apakah yang berlaku kepada saya selepas saya melepas dan membebaskan Anwar?

Saya akui, parti pemerintah tidak senang dengan saya. Saya adalah Hakim Mahkamah Persekutuan yang paling kanan. Jawatan Presiden Mahkamah Rayuan dan Hakim Besar (Malaya) adalah kosong. Ada percubaan untuk memintas saya.

Bagi saya itu perkara biasa. Ia berlaku di mana-mana di dunia ini.

Katakanlah saya mensabitkan Anwar dan Pakatan Rakyat berkuasa selepas itu, adakah tuan-tuan fikir kerajaan Pakatan Rakyat akan melantik saya menjadi Ketua Hakim Negara?

Tekaan anda adalah sama baik atau seburuk tekaan saya.

Jawatan Presiden Mahkamah Rayuan

Biar apa pun, selepas pita video V K Lingam didedahkan, diikuti oleh Suruhanjaya Siasatan, saya ditawarkan jawatan Presiden Mahkamah Rayuan dan sebulan kemudian, Ketua Hakim Negara dan tarikh pelantikan saya dikebelakangkan kepada tarikh pelantikan saya sebagai Presiden Mahkamah Rayuan.

Apabila saya bersara, saya dilantik sebagai pengerusi dan ahli pelbagai jawatankuasa dan suruhanjaya yang ditubuhkan oleh kerajaan.

Malah, dalam keadaan saya sekarang ini pun, pandangan saya masih diminta, sekali-sekala.

Dalam 39 tahun kerjaya saya, tidak pernah sekali pun saya menerima panggilan telefon atau nota daripada, dan tidak seorang pun mendekati saya bagi pihak pentadbiran, eksekutif atau ahli politik untuk mengarahkan, meminta, mencadangkan atau membayangkan bahawa saya patut membuat keputusan dalam sesuatu kes begitu atau begini.

Ya, adalah benar bahawa sebelum saya mendengar kes Anwar, ada seorang (bukan ahli politik) pernah berkata kepada saya: "Jika kamu melakukannya dengan betul, salah satu jawatan itu boleh menjadi milik kamu."

Saya menjawab: "Saya tidak tahu apa keputusan saya kelak. Tetapi saya bersedia untuk bersara sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan."

Selepas itu, saya berkata: "Jika ada sesiapa yang cuba untuk mempengaruhi saya, saya akan naik ke mahkamah, saya akan isytiharkan secara terbuka dan menarik diri."

Tidak ada sesiapa yang cuba untuk mempengaruhi saya selepas itu. Saya tidak tahu mengenai hakim lain. Semuanya bergantung kepada kita sendiri. Samalah seperti rasuah.

Saya akan ceritakan satu kisah benar. Ketika saya menjadi Hakim Mahkamah Tinggi di Pulau Pinang, saya membicarakan kes sivil membabitkan seorang ahli perniagaan Singapura keturunan Cina.

Dia datang ke mahkamah dengan rakannya dari Pulau Pinang. Jurubahasa Cina saya terdengar perbualan mereka. Ahli perniagaan Singapura itu bertanya rakannya dari Pulau Pinang: "Adakah kamu fikir hakim ini boleh disogok?"

Rakannya dari Pulau Pinang itu menjawab: "Yang ini, saya tidak fikir boleh."

Perhatikan, mereka membuat penilaian sendiri sama ada seseorang hakim boleh didekati atau tidak. Sekarang, saya merujuk kepada Datuk Mohamad Arif.

Saya tahu beliau pernah bertanding pilihan raya sebagai calon PAS dan kalah. Namun, saya mengesyorkan beliau untuk dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman dan ia dipersetujui kerajaan.

Adakah tuan-tuan fikir kerajaan Pakatan Rakyat akan melantik seorang UMNO yang menjadi calon BN dan kalah untuk menjadi seorang hakim? Tekaan anda adalah sama baik atau seburuk tekaan saya.

Datuk Arif telah disahkan sebagai hakim dan kemudian dinaikkan pangkat sebagai Hakim Mahkamah Rayuan.

Terus terang saya katakan, saya kecewa dengan beberapa penghakiman beliau. Saya hanya boleh berharap bahawa mahkamah yang lebih tinggi akan mengubah (reverse) penghakiman beliau. Itu sistem kita.

Sekarang, saya minta beliau memberitahu kita pengalamannya: sama ada mana-mana ahli politik atau sesiapa saja yang berkuasa ke atasnya atau yang mewakili pentadbiran pernah mengarahkan, mencadangkan atau membayangkan kepada beliau untuk membuat keputusan kes yang memihak kepada kerajaan atau sama ada beliau pernah menerima apa-apa ancaman, ugutan, amaran atau peringatan daripada mereka atau sama ada sesiapa yang berkuasa pernah cuba untuk campur tangan dalam membuat keputusan beliau.

Sampai kepada tuan-tuan dan puan-puan sekarang. Berapa orang daripada tuan-tuan dan puan-puan yang mempunyai pengalaman peribadi di mana tuan-tuan dan puan-puan kalah kes di mahkamah kerana hakim itu tidak bebas?

Berapa ramai daripada tuan-tuan dan puan-puan yang membaca penghakiman sesuatu kes kontroversi sebelum berkata mahkamah tidak bebas?

Saya yakin bahawa kebanyakan orang sudah pun membuat pendirian bagaimana keputusan kes itu patut dibuat tidak kira keterangan yang dikemukakan di mahkamah dan undang-undang yang terpakai.

Jika keputusan itu memihak kepada mereka, soal kebebasan badan kehakiman tidak timbul. Jika tidak dan jika pihak yang satu lagi adalah kerajaan, alasan yang paling mudah adalah bahawa mahkamah tidak bebas.

Ramai orang semata-mata bergantung kepada apa yang ditulis oleh akhbar online dan penulis blog.

Saya akan memberitahu satu pengalaman saya. Apabila saya ditawarkan jawatan pengerusi suatu jawatankuasa yang ditubuhkan oleh kerajaan, saya berkata, mereka perlu menghantar kereta untuk menjemput saya dari rumah saya ke mesyuarat dan menghantar saya balik.

Sebuah akhbar online melaporkan, "Beliau meminta sebuah kereta." (Untuk maklumat anda, saya membuat permintaan yang sama kepada UiTM untuk datang ke sini hari ini, bahkan saya juga meminta seorang pegawai untuk membantu saya. Adakah saya meminta sebuah kereta lagi dan juga seorang pembantu?)

Anwar kritik kebebasan kehakiman

Tidak ada sesiapa dalam sejarah perundangan Malaysia yang mempersoalkan kebebasan badan kehakiman lebih daripada Anwar Ibrahim, itu pun hanya apabila keputusan mahkamah tidak memihak kepadanya.

Di hadapan saya, pada hari pertama rayuan beliau didengar, beliau mahu saya menarik diri daripada membicarakan kesnya, mungkin kerana saya datang dari Permatang Tinggi Bakar Bata yang lebih dekat dengan Permatang Bertam, kampung Tun Abdullah Ahmad Badawi, Perdana Menteri ketika itu daripada Cherok Tok Kun, kampung beliau. (Peguamnya cuba memberikan beberapa sebab lain).

Apabila saya menolak permohonannya, beliau bangun dan mengkritik saya dan mendakwa bahawa mahkamah tidak bebas. Apabila, pada akhir kes itu, saya membebaskan beliau, beliau bangun dan berkata: "Terima kasih, Yang Arif. Semoga Allah memberkati Yang Arif."

Peguam beliau berdiri untuk membuat ucapan memuji saya. Saya mengarah mereka untuk duduk kerana saya tahu bahawa mereka tidak akan membuat ucapan yang sama jika penghakiman saya tidak memihak anak guam mereka.

Ketika beliau dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi dalam kes liwat kedua, beliau tidak berkata mahkamah tidak bebas. Tetapi apabila Mahkamah Persekutuan mensabitkan beliau, badan kehakiman tidak bebas semula.

Kesilapan Hakim Mahkamah Persekutuan yang mendengar kes itu ialah mereka keluar dari mahkamah memberi gambaran bahawa mereka lari.

Mereka sepatutnya meminta beliau menunjukkan sebab mengapa beliau tidak patut dihukum kerana menghina mahkamah di hadapan mahkamah.

Tuduh 'kreativiti kehakiman'

Selalunya, orang yang mengkritik kebebasan badan kehakiman itu sendiri tidak bebas. Bagi mereka mahkamah adalah 'bebas' apabila ia memberi keputusan yang memihak kepada mereka tetapi 'tidak bebas' apabila ia memberi keputusan yang tidak memihak kepada mereka, terutama jika pihak yang menang itu kerajaan?

Apabila mahkamah melentok ke belakang atau menulis semula undang-undang atas alasan membuat tafsiran, mereka memanggilnya 'kreativiti kehakiman.'

Jika mahkamah melakukan hal yang serupa untuk memihak kepada kerajaan (saya percaya ia tidak pernah berlaku di negara ini) saya pasti mereka akan berkata bahawa mahkamah telah melebihi bidang kuasanya! Kebebasan badan kehakiman bukan jalan sehala.

"Jika pengasingan kuasa hendak mempunyai apa-apa makna, ketiga-tiga cabang kerajaan perlu menghormati bidang kuasa masing-masing. Tidak ada gangguan, tidak ada perampasan kuasa patut berlaku di antara satu sama lain."


Itulah apa yang saya katakan dalam kes Karunairajah Rasiah v Punithambigai Ponniah (2004) 2 CLJ 321 (juga boleh didapati di laman web saya), Penghakiman Mahkamah Persekutuan. Pelantikan Hakim biasanya adalah prerogatif Perdana Menteri atau Presiden.

Di Malaysia, ada pula Majlis Raja-Raja yang bukan hanya 'rubber stamp' dan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman.

Saya pernah menjadi anggota Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman selama dua penggal selepas persaraan saya. Saya katakan bahawa tidak ada politik di sana. Benar, Perdana Menteri tidak terikat untuk mengikut syor suruhanjaya.

Tetapi, sepanjang tempoh saya menjadi ahli suruhanjaya itu, setakat yang saya ingat, tidak ada kes di mana Perdana Menteri menolak syor suruhanjaya. Ketika lawatan saya ke Mahkamah Rayuan Amerika Syarikat, saya bertanya sama ada Presiden pernah menolak nama yang dicadangkan oleh jawatankuasa yang serupa dengan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman kita.

Jawapannya adalah, "nama-nama itu telah diluluskan oleh Presiden sebelum mereka di bawa ke jawatankuasa itu." (Nampaknya Presiden Amerika Syarikat lebih bijak dalam hal ini.)

Jangan fikir bahawa hakim yang dipilih melalui pilihan raya adalah lebih baik.

Dalam lawatan sama, sebagai jawapan kepada soalan saya, kami diberitahu bahawa kebanyakan hakim yang telah disabitkan dengan kesalahan rasuah adalah hakim yang dipilih melalui pilihan raya.

Saya bertanya kepada hakim yang memberi taklimat kepada kami: "Jika tuan diberi tugas untuk menulis semula Perlembagaan Amerika Syarikat, adakah tuan akan mengesyorkan bahawa hakim-hakim dipilih melalui pilihan raya?" Jawabnya: "Tidak sekali-kali."

Saya akhiri ucapan saya dengan apa yang Tun Mohd Suffian pernah kata kepada saya pada tahun 1970-an ketika saya menjadi Timbalan Pendaftar.

Katanya: "Kamu tahu Hamid, apabila Majlis Peguam berkata kita prokerajaan dan kerajaan kata kita antikerajaan, itu bermakna kita bebas." Isu ini bukan baharu.

Posts from This Journal by “mahkamah” Tag

  • Pindaan mantapkan Mahkamah Syariah

    Isu usul Rang Undang-undang (RUU) Persendirian Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah (Pindaan) 2016) meninggalkan impak yang…

  • Bicara tanpa fakta

    PROJEK ternakan lembu di bawah Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC) menjadi isu hangat ekoran pendedahan Laporan Ketua Audit Negara 2010 pada hujung tahun…

  • Pengasingan kuasa antara Persekutuan, negeri

    Asas pembentukan negara seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan menjadikan negara ini sebuah negara yang mempunyai identiti tersendiri.…

Latest Month

September 2019
S M T W T F S
1234567
891011121314
15161718192021
22232425262728
2930     

Tags

Powered by LiveJournal.com
Designed by Tiffany Chow