kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Mengaktifkan Laluan Sutera abad ke-21

APABILA menyebut mengenai Laluan Sutera, perkara pertama yang tergambar dalam ingatan ialah laluan darat yang menghubungkan Eropah, Afrika dan Asia sehingga ke negeri China, digunakan oleh pedagang pada zaman dahulu.

Umumnya Laluan Sutera itu bukanlah jalan atau lebuh raya dalam erti kata yang sebenar, tetapi adalah laluan pedagang yang bertukar-tukar barang dan berjual beli antara benua terbabit.

Pada masa sama, tidak ramai yang mengetahui atau mungkin bercakap mengenai Laluan Sutera maritim sedangkan perdagangan pada zaman dahulu dengan pedagang China sebahagian besarnya melalui laluan maritim.

China mengambil inisiatif wujudkan laluan dagang global

Laluan Sutera Moden yang menghubungkan Asia dan Eropah.

Pengembara Islam, Ibnu Batuta dari Maghribi yang merantau sejauh 120,000 kilometer merentasi 44 negara, tiba di Quanzhou, China pada 1346 dan dalam catatannya menyebut masyarakat Cina mempunyai tamadun dan kebudayaan yang tinggi selain mengendalikan pelabuhan terbesar yang pernah dilihatnya.

Ini memperlihatkan betapa pedagang China pada ketika itu menguasai jalan perdagangan maritim di rantau Asia Tenggara untuk ke seluruh dunia memasarkan hasil dagangan.

Perdagangan dengan China ketika itu sebahagiannya tertumpu kepada kain sutera dan barangan porselin atau tembikar yang mendapat permintaan tinggi di seluruh dunia.

Kini dalam abad ke-21, gergasi ekonomi di dunia, China sedang mengambil inisiatif untuk mengaktifkan semula laluan-laluan sutera darat dan maritim yang mahu dikenali sebagai satu jalur dan satu laluan (one belt one road).

Merancang untuk membina dan menyambungkan landasan kereta api ke negara-negara Asia Timur, China juga sedang berusaha keras untuk menarik lebih banyak negara jirannya meningkatkan infrastruktur pelabuhan masing-masing untuk misi Laluan Sutera maritimnya.




MERCUTANDA & Masjid tua Xi An gabungan seni bina Islam-China yang di bina pada kurun ketujuh semasa kegemilangan Dinasti Tang (618-907). Kota purba ini merupakan permulaan Laluan Sutera di antara China dengan negara Arab dan senantiasa menjadi tumpuan pelancong di sini.Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Yun Razak dijangka tiba esok untuk lawatan rasmi meraikan hubungan Malaysia China ke 40 Tahun. Beliau bakal merasmikan gerai promosi barangan makanan Malaysia di jalan BienYu Men serta menziarahi kawasan masjid.-BERNAMA

Dari China, laluan ini menjangkau ke seluruh dunia sehingga ke Eropah, Afrika, Negara-negara Arab melalui Asia Tenggara. Idea bagi pembangunan satu jalur dan satu laluan ekonomi ini diilhamkan oleh Presiden China, Xi Jinping pada 2013 yang menganggapnya simbol saling mempercayai, perpaduan dan kerjasama bagi menghasilkan situasi menang-menang untuk semua.

Untuk itu, China menganggap negara-negara Asia Tenggara boleh menjadi pintu masuk kepada laluan maritim ini selain berkongsi faedah dan kemakmuran ekonomi daripada apa yang dirancangnya.

China juga mengumumkan penubuhan Asian Infrastructure Investment Bank (AIIB) pada bulan November 2014, dengan dana berjumlah AS$40 bilion khusus untuk negara-negara yang menyokong usaha meningkatkan infrastruktur masing-masing bagi membolehkan China disambungkan dengan negara terbabit dengan hasrat menjayakan matlamat satu jalur satu laluan ini.

Nadi kepada aktiviti perdagangan ini ialah pengwujudan sebuah bandar pelabuhan dan perindustrian ultra moden di Qianhai, Shenzhen, yang akan bergandingan dengan Hong Kong yang terletak di bahagian pulau di sebelahnya.

Kawasan ini akan menjadi pusat pertumbuhan baharu China menjelang tahun 2020 dan ia akan disambungkan ke seluruh dunia melalui jalan laut, udara dan darat.

Berlangsung di Shenzhen baru-baru ini, Yayasan Keamanan dan Pembangunan China (CFPD) telah menganjurkan majlis dialog ‘Rakan-rakan pada laluan Sutera’ yang antara lain untuk berkongsi pandangan terhadap cadangan ini.



MASYARAKAT di Kashgar , Xinjiang , China masihmengamalkan sistem perniagaan ala barter melibatkanhaiwan ternakan , pakaian dan barangan kraf .MISI SOLO LALUAN SUTERA , SITI NORIDAH AB RAHMAN ( ET )

Berucap pada majlis itu, Setiausaha Agung CFPD, Xu Zhensui berkata, China menawarkan Shenzhen untuk dijadikan ‘jendela’ perdagangan global abad akan datang.

Menurut beliau, sejarah membuktikan China adalah satu kuasa perdagangan dan bukan kuasa penjajah dan sehubungan itu lebih banyak bandar-bandar besar seharusnya menjadikan Shenzhen sebagai bandar kembar mereka.

Pada majlis yang sama, Presiden Institut Strategi dan Kepimpinan Asian (ASLI), Mirzan Mahathir pula berkata, pendekatan yang dilaksanakan oleh China boleh dianggap sebagai melaksanakan projek ‘memakmurkan jiran’ (Prosper-Thy-Neighbour).

“Untuk memastikan hasrat ini berjaya, rancangan ini perlulah difahami oleh semua negara jiran China untuk bersama-sama mendukung hasrat yang dirancang,” katanya sambil menambah dari sudut bisnes pula, negara yang mengambil bahagian perlu meraih faedah langsung umpamanya mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan mengurangkan sekatan perdagangan demi memastikan kelangsungan perdagangan bebas global.

Bekas Timbalan Perdana Menteri Thailand, Dr. Bhokin Bhalakula pula mencadangkan supaya rancangan ini dimasukkan dalam perbincangan dengan jiran China iaitu negara-negara ASEAN bagi mewujudkan kepercayaan yang boleh memacu semangat setiakawan dalam kalangan tetangganya.

Hanya dengan berbuat demikian, katanya, China dan ASEAN boleh membangunkan satu kerangka Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) sendiri kerana rancangan itu membabitkan pelaburan besar untuk membangunkan infrastruktur pengangkutan, kerjasama kewangan, pengurusan risiko dan kerjasama maritim.

Dalam satu sesi perbincangan yang dipengerusikan oleh Prof. Fu Jun, Dekan Eksekutif Universiti Peking, pelbagai isu dibangkitkan antaranya soal bagaimana dan bila China akan merasionalisasikan mata wangnya bagi membolehkan keyakinan perdagangan antarabangsa.

Ada juga antara ahli panel yang mahu apa yang dihasratkan ini diterjemah dengan baik supaya hasrat China ini tidak dilihat sebagai satu bentuk ‘penjajahan ekonomi’ dalam abad ke-21 oleh negara-negara jirannya.

Untuk itu, China disarankan supaya mewujudkan kepercayaan dalam kalangan negara jiran tetangganya dalam melaksanakan hasrat mengembalikan kegemilangan Laluan Sutera maritim ini.

Pembentukan AIIB dilihat dapat membantu negara yang ingin menyertai cita-cita besar China tetapi bagaimana untuk menyelaraskan peraturan perdagangan yang berbeza-beza di setiap negara.

Ada juga yang mencadangkan supaya sistem kewangan Islam turut dijadikan instrumen perdagangan kerana China pasti akan turut berurus niaga dengan negara-negara Islam khususnya di Asia Barat.

Turut disaran ialah pengwujudan hab halal di kawasan perindustrian di China untuk capaian perdagangan dengan negara-negara Islam di seluruh dunia.

Perdana Meneri, Datuk Seri Najib Tun Razak pernah ditanya mengenai hasrat China ini semasa Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi (LIMA) baru-baru berkata, lebih banyak perbincangan perlu diadakan berhubung pelaksanaan rancangan itu.

Katanya, ini penting kerana negara-negara ASEAN perlu tahu manfaat yang boleh dinikmati bersama melalui rancangan Laluan Sutera Maritim Abad ke-21 ini.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai pula dilaporkan sebagai berkata, cadangan China itu akan dibincangkan dengan rakan sejawatannya di peringkat ASEAN dan menyifatkannya sebagai peluang terbaik mempercepatkan pengwujudan Komuniti Ekonomi ASEAN menjelang akhir tahun ini.

Tags: ekonomi
Subscribe

Posts from This Journal “ekonomi” Tag

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments