kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

ASEAN perlu sepakat

TIDAK menghairankan apa­bila Timbalan Menteri Luar, Datuk Hamzah Zainuddin menegaskan Malaysia dan negara ASEAN lain tidak mengiktiraf tuntutan China mengenai persempadanan maritim bertindih Laut China Selatan kerana tuntutan China itu jika diteliti tidak selaras dengan peruntukan undang-undang antarabangsa seperti Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Undang-Undang Laut 1982. Kenyataan timbalan menteri tersebut adalah sebagai menjawab soalan Datuk Ahmad Hamzah (BN-Jasin) ketika persidangan Dewan Rakyat beberapa hari lepas.

Sememangnya tidak dinafikan bahawa Kuala Lumpur telah memberi perhatian yang khusus terhadap isu persempadanan maritim ini kerana mampu memberikan kesan negatif terhadap hubungan dua hala sekiranya tidak dikendalikan dengan sewajarnya.



ASEAN perlu sepakat menyelesaikan isu tuntutan bertindih di Kepulauan Spratly termasuk mempertimbangkan kemungkinan melibatkan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dalam langkah penyelesaian sebagaimana diambil oleh Malaysia dan Singapura dalam isu Pulau Batu Putih pada 23 Mei 2008. utusan/BAZLAN IBRAHIM

Tegas Hamzah sememangnya menjadi dasar Kuala Lumpur sejak dahulu lagi bahawa isu persempadanan di antara dua negara berdaulat perlu diselesaikan secara aman melalui rundingan berdasarkan peruntukan undang-undang antarabangsa. Tetapi agak memeranjatkan apabila beliau menekankan rujukan kepada pihak ketiga seperti Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) atau Tribunal Timbang Tara adalah pilihan terakhir dalam mencapai penyelesaian tuntutan bertindih tersebut.

Memeranjatkan kerana penyelesaian masalah persempadanan yang melibatkan Malaysia seperti kes Batu Puteh dengan Singapura dan kes Sipadan dan Ligitan dengan Indonesia diselesaikan oleh ICJ. Tetapi perlu juga diberi perhatian kedua-dua kes tersebut dibawa ke ICJ setelah proses rundingan menemui jalan buntu. Penyelesaian isu persempadanan di Laut Sulewasi dengan Indonesia umpamanya yang menggunakan mekanisme Mesyuarat Teknikal Pembatasan Sempadan Maritim adalah contoh nyata bagaimana Kuala Lumpur mendahului rundingan sebelum dibawa ke pihak ketiga sebagai pilih­an terakhir.

Tetapi isu persempadanan Laut China Selatan adalah unik kerana melibatkan ASEAN sebagai sebuah organisasi dan menjadi lebih kritikal apabila China yang menuntut lebih daripada 90 peratus kawasan pertikaian turut terbabit secara langsung.

Kes ini menjadi lebih rumit apabila China menegaskan runding­an tidak akan dilakukan dengan ASEAN sebaliknya mahu berurusan secara langsung dengan negara individu terbabit iaitu Malaysia, Filipina, Vietnam dan Brunei.

Sebab itu penting untuk ASEAN memiliki pendirian sebagai sebuah organisasi apabila berhadapan dengan China kerana menurut Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein ketika menjawab soalan Shamsul Iskandar Mohd Akin (PKR-Bukit Katil) bahawa negara kecil seperti Malaysia kalau bersendirian mungkin tidak dapat menangani isu-isu berat seperti Laut China Selatan.

Walaupun ASEAN sepakat berpendapat bahawa tuntutan China itu tidak mempunyai asas perundang­an tetapi malangnya organisasi ini masih tidak bersepakat bagaimana untuk menghadapi kuasa besar ini.

Jika Kuala Lumpur menekankan diplomasi dan rundingan perlu menjadi keutamaan demi mencari jalan penyelesaian, tetapi agak malang kera­na menurut Hamzah lagi belum ada rundingan dilaksanakan sehingga kini.

Paling hampir rundingan ASEAN-China mengenai isu ini hanya ber­kisar kepada pemakaian Deklarasi Kod Tatalaku (DoC) Laut China Selatan yang dipersetujui oleh semua pihak terbabit pada tahun 2002 dan pada ketika ini juga rundingan sedang berjalan untuk naik taraf DoC kepada Kod Tatalaku (CoC).

Maksudnya adalah rundingan yang lebih spesifik kepada isu persempadanan masih tidak boleh dilaksanakan kerana perbezaan pendapat di mana ASEAN mahu rundingan multilateral sedangkan China bertegas de­ngan konsep rundingan bilateral.

Kesepakatan ASEAN menjadi lebih rumit apabila Manila secara unilateral membawa kes tuntutan mereka ke Tribunal Timbang Tara The Hague pada tahun 2013. Manila cuba mendapat sokongan ASEAN dalam hal ini tetapi masih gagal mendapat konsensus kerana wujud perbezaan pendapat dalam kalangan negara ahli yang lain. Tetapi perlu ditekankan walaupun Manila tidak mendapat sokongan padu ASEAN tetapi Washington dan Tokyo berdiri teguh menyokong Filipina.

Manila akan memulakan hujah lisan di The Hague bermula dari 7 hingga 13 Julai akan datang sebagai permulaan untuk mengemukakan justifikasi bahawa tuntutan China terhadap persempadanan Laut China Selatan adalah tidak sah di sisi perundangan antarabangsa.

Permohonan yang dituntut oleh Manila adalah selaras dengan pendirian ASEAN iaitu seperti yang ditegaskan oleh Hamzah di Dewan Rakyat tetapi ironisnya adalah ASEAN tidak pula menyokong tindakan Manila membawa kes tersebut ke The Hague. Mungkin juga agaknya ASEAN berpendapat proses runding­an belum lagi selesai maka sebab itu kaedah Manila tidak boleh disokong.

Tetapi masalahnya proses run­dingan secara langsung belum lagi bermula kerana ketika ini run­dingan menaik taraf DoC ke CoC yang bermula sejak 2002 masih berlarutan sehingga hari ini tanpa ada kesudahan persetujuan. Selagi persetujuan CoC tidak dimuktamad­kan maka selagi itu rundingan ASEAN-China mengenai Laut China Selatan akan terbantut kerana CoC adalah asas kepada penyelesaian melalui perundangan.

China pula seboleh-bolehnya mahu melengahkan persetujuan CoC dicapai kerana Beijing akur selagi CoC tidak dimeterai selagi itu ASEAN akan berpecah dan senario sebegini akan lebih menguntungkan China. ASEAN perlu pantas membuat keputusan sama ada mahu atau tidak menyokong Manila di The Hague kerana seperti memetik jawapan Hishammuddin di Dewan Rakyat jika ASEAN ada persefahaman dan ada kesatuan yang jitu melibatkan kepentingan bersama maka tidak akan ada kuasa-kuasa besar yang berani menidakkan dan memperlekehkan hak kita.

Tags: kerajaan, politik
Subscribe

Posts from This Journal “kerajaan” Tag

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments