?

Log in

No account? Create an account

Previous Entry | Next Entry

Cari pahala bukan cari dosa

Awang ucap tahniah kepada pasukan keselamatan yang berjaya menemui semula kapal MT Orkim Harmony selepas ia hilang sejak Khamis minggu lalu. Penemuan itu menamatkan penantian pelbagai pihak yang tertanya-tanya bagaimana kapal tersebut boleh hilang.

Segalanya terbongkar apabila pasukan keselamatan Malaysia mengesan kapal itu di Telok, Siam di perairan Kemboja. Kelicikan lanun menukar nama dan mengecatkan semula beberapa bahagian kapal tersebut tidak bertahan lama.

Awang sentiasa yakin dengan keupayaan pasukan keselamatan Malaysia sebab itulah Awang tidak terkejut apabila ‘rahsia’ lanun itu berjaya dibongkar.

Bagaimanapun, Awang berharap siasatan rapi dijalankan bagi mengenalpasti punca kejadian. Ini memandangkan terdapat banyak persoalan yang belum terjawab.

Antara yang menjadi persoalan bagaimana kapal itu boleh ditukarkan nama dengan begitu mudah, begitu juga bila masa pula kerja-kerja mengecat dijalankan. Awang seperti juga pihak lain hendak tahu betulkah ada penglibatan orang dalam? Semuanya perlu dijawab bukan didiamkan begitu sahaja.


Cari pahala bukan cari dosa

DUA peristiwa mendapat tumpuan minggu ini. Pertama, kapal MT Orkim Harmony yang hilang sejak Khamis minggu lalu telah ditemui dirompak oleh lanun. Kedua pula, kerajaan mengumumkan pelbagai imbuhan kepada kakitangan awam sempena Ramadan.

Kedua-dua peristiwa ini seharusnya disambut dengan seribu kesyukuran, apatah lagi kita berada dalam bulan yang memberikan ruang seluas-luasnya kepada umat Islam untuk meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT.

Maksud ibadah itu bukan hanya berkaitan soal solat, puasa dan melakukan ibadah sunat lain tetapi juga menjaga tingkah laku dan tutur kata kita. Tiada gunanya kalau kita berpuasa pada siang hari, berqiamulai pada sebelah malam tetapi perangai buruk tidak ditinggalkan.

Begitulah juga dalam menyentuh kedua-dua peristiwa itu. Dalam kes kapal MT Orkim Harmony dirampas, ada dalam kalangan umat Islam di negara kita masih belum mahu insaf daripada melakukan `kerja-kerja bodoh’ melalui laman-laman sosial.

Pagi semalam penulis mendengar siaran Bernama Radio24 yang memaparkan bagaimana seorang lelaki menulis dalam facebook mempertikaikan kenapakah pihak berkuasa Malaysia tidak menggunakan Pasukan Khas Laut (Paskal) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bagi menamatkan peristiwa rompakan kapal MT Orkim Harmony. Macam-macam dia kata.

Berdasarkan apa yang dicoretkan oleh lelaki itu jelaslah, dia hanya sekadar menulis tanpa mengetahui apa-apa, dalam bahasa mudah `ilmu kurang tapi nak tunjuk pandai.’

Ini memandangkan TLDM sememangnya mengerahkan pasukan khasnya bagi mengendali kes itu dengan bantuan agensi-agensi keselamatan lain.

Perbuatan lelaki itu hanya mendatangkan dosa pada bulan suci ini kerana menuduh sesuatu yang dia sendiri tidak ada pengetahuan mengenainya. Oleh itu, sempena Ramadan ini janganlah sesiapa mahu menjadi keyboard warrior dengan menyebarkan perkara yang menjuruskan kepada tohmahan dan fitnah.

Sepatutnya dalam isu kapal tersebut, kita berdoa agar Allah SWT mempermudahkan usaha menyelamatkan anak-anak kapal bukannya membuat `kerja-kerja bodoh’ melalui laman-laman sosial kerana impian kita adalah mencari pahala bukannya menambah dosa.

Menyentuh soal mencari pahala itu juga, ia turut ada kaitan dengan perkhidmatan yang diberikan oleh kakitangan awam. Sudah pasti imbuhan yang diumumkan oleh kerajaan diharapkan akan meningkatkan semangat dan mengubah sikap buruk yang ada dalam kalangan sesetengah mereka.

Penulis teringat cerita anak teman penulis yang belajar di sebuah institut pengajian tinggi di Segamat, Johor. Dia telah dipanggil oleh pengurusan kolej dikatakan tidak layak tinggal di asrama. Alasannya tidak aktif di kolej.

Sebenarnya, anak teman penulis itu tidak kisah jika penerangan atau penjelasan diberikan secara penuh berhemah kenapa dia dianggap tidak layak, namun apa yang berlaku dua pegawai yang diberi tanggungjawab mengendalikan `temuduga’ itu bukan sahaja tidak berhemah malah angkuh seolah-olah asrama pusat pengajian itu mereka yang punya.

Apa yang paling dikesalkan sepatutnya menjelang Ramadan budi bahasa kita dijaga sebaik-baiknya tidak kira dengan siapa pun kita berurusan. Tetapi malangnya dua kakitangan awam itu tidak bersikap demikian.

Paling memualkan apabila membuat andaian tidak cerdik apabila menganggap semua penduduk di Shah Alam adalah terdiri dalam kalangan orang berada. Penulis membangkitkan perkara ini untuk mengingatkan kita, sedikit kuasa yang diberi bukanlah untuk bermegah.

Mungkin kes seumpama itu adalah kes terpencil tetapi kakitangan awam seperti inilah yang akan memburukkan imej perkhidmatan awam kepada orang ramai. Keadaan itusudah tentulah bertentangan dengan kesungguhan kerajaan untuk melahirkan kakitangan awam yang berhemah, jujur dan amanah serta ikhlas dalam pekerjaan mereka.

Rumusannya, penulis berpendapat adalah wajar di bulan suci ini, keyboard warrior menghentikan perbuatan sia-sia mereka khususnya yang beragama Islam. Gunalah jari jemari yang dikurniakan oleh Allah SWT untuk berwirid dan menyelak kitab suci al-Quran. Begitu juga kakitangan awam, berusahalah memperbaiki dan mempertingkatkan lagi budi bahasa dan komitmen khususnya bagi mereka yang berurusan dengan orang ramai. Ingatlah, kerja itu ibadah dan kita akan mendapat pahala berlipat ganda. - Zul Bakar Utusan Malaysia Rencana 20 Jun 2015 1:04 AM

Tags:

Latest Month

July 2019
S M T W T F S
 123456
78910111213
14151617181920
21222324252627
28293031   

Tags

Powered by LiveJournal.com
Designed by Tiffany Chow