kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Penguatkuasaan biar munasabah

RANG Undang-undang Kebajikan Haiwan 2015 sudah diluluskan Dewan Rakyat kelmarin. Dengan adanya undang-undang tersebut, Malaysia menyertai beberapa buah negara lain seperti India, New Zealand, Australia dan United Kingdom yang sudah mempunyai undang-undang khusus berkaitan kebajikan haiwan.

Undang-undang ini bertujuan mempromosi dan mempertingkatkan kesedaran orang ramai tentang kepentingan menjaga kebajikan semua jenis haiwan kecuali hidupan liar termasuk burung, haiwan akuatik, reptilia dan serangga. Tidak terkecuali juga haiwan yang digunakan untuk hiburan, pameran, sukan dan pertunjukan haiwan.


PEMERGIAN kucing kudung bernama Hero pada 24 November 2013 akibat penyakit leukemia meninggalkan kesan yang mendalam kepada pencinta haiwan di negara ini. Sebelum itu, kisahnya menyentuh hati jutaan rakyat Malaysia selepas sepasang kakinya dipotong tanpa kasihan oleh individu tidak bertanggungjawab.

Salah satu bab yang terkandung dalam rang undang-undang ini ialah berkaitan penganiayaan terhadap binatang. Contoh yang disebut pula ialah kerja-kerja menangkap dan menembak anjing liar. Di Malaysia ini kerja-kerja menembak haiwan terbiar biasanya tertumpu kepada anjing liar dan burung gagak. Kucing terbiar yang banyak dibuang di kawasan pasar pula tidak ditembak, tetapi dikutip oleh pencinta kucing yang bersimpati.

Dengan adanya undang-undang tersebut, pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak lagi dibenarkan menggunakan kaedah tangkap dan tembak kecuali jika binatang itu berpenyakit. Penentuan sama ada haiwan terbiar itu berpenyakit atau tidak pula akan dinilai oleh Lembaga Kebajikan Haiwan yang akan dibentuk tidak lama lagi.

Maksudnya mungkin lebih kurang begini. Jika ada aduan anjing liar yang mengganggu atau menjadi ancaman kepada satu-satu kawasan penduduk, haiwan itu tidak boleh ditangkap dan dibunuh sewenang-wenangnya sebagaimana amalan sekarang.

Binatang-binatang seumpama itu setelah ditangkap akan diperiksa terlebih dahulu sebelum ditentukan statusnya berpenyakit atau tidak, bahaya atau tidak bahaya. Jika tidak PBT terlibat dikira menganiaya atau mendera. Mereka boleh didenda RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Kerja-kerja membanteras anjing liar tidak lagi semudah seperti sebelum ini. Ada satu proses panjang yang terpaksa dilalui. Sementara menunggu Lembaga Kebajikan Haiwan bermesyuarat dan membuat keputusan, haiwan terbiar itu barang kali sudah beranak-pinak menjadi berlipat kali ganda jumlahnya! Dari satu segi kuranglah sedikit beban kerja pasukan penguat kuasa PBT yang sebelum ini penat `memburu’ kumpulan anjing liar yang jumlahnya bukan sedikit.

Ada beberapa lagi perincian definisi kesalahan penganiayaan yang disebut dalam rang undang-undang itu antaranya memukul dengan kejam, menyepak, melebihkan muatan, mendera atau menakutkan mana-mana haiwan; Terlebih naik atau terlebih tunggang mana-mana haiwan, kecuali untuk aktiviti berhubungan dengan sukan ekuestrian; Tidak menyediakan makanan, minuman atau tempat perlindungan yang mencukupi bagi haiwan di dalam kurungan; Secara kejam atau secara tidak munasabah membuat atau meninggalkan untuk melakukan apa-apa perbuatan, menyebabkan kesakitan atau penderitaan ke atas haiwan;

Penderaan turut meliputi perbuatan-perbuatan seperti membenarkan mana-mana haiwan dikurung, diangkut, diangkat atau dibawa mana-mana haiwan dengan apa-apa cara atau kedudukan yang menyebabkan haiwan itu mengalami kesakitan atau penderitaan yang tidak perlu; Membiarkan mana-mana haiwan dirantai atau ditambat dengan menggunakan rantai atau tali yang pendek atau berat atau mengikat kaki haiwan itu; Menyimpan atau mengurung mana-mana haiwan di dalam sangkar atau bekas lain yang ukuran tinggi, panjang dan lebarnya tidak mencukupi bagi membenarkan pergerakan semula jadi haiwan itu;

Jika dilihat kepada jenis-jenis penderaan dan penganiayaan yang disentuh dalam rang undang-undang itu, selain isu anjing liar, Lembaga Kebajikan Haiwan tidak dapat tidak kena memberi perhatian kepada kedai menjual haiwan peliharaan atau pet shop, pusat jagaan haiwan atau hotel haiwan.

Sesetengah kedai atau pusat seperti itu tidak mempedulikan tempat tinggal haiwan yang dijual. Kucing, anjing, arnab, unggas dan pelbagai lagi haiwan peliharaan diletakkan di dalam sangkar yang sempit, tidak selesa dan kotor. Jika rajin ke kedai sedemikian, perhatikan wajah-wajah haiwan yang dijual.

Sekali tengok sudah tahu betapa tertekan dan stress binatang-binatang ini. Tidak ada riak ceria terutama pada wajah anjing, kucing atau arnab. Renungan matanya seolah-olah mengharap dan meminta orang ramai yang berkunjung ke situ cepat-cepat membeli sekali gus membebaskan diri daripada tekanan hidup di situ.

Selain itu juga pemantauan perlu dibuat ke atas pusat-pusat penjagaan haiwan yang cuai sebagaimana yang pernah berlaku sedikit masa dahulu. Kucing yang ditinggalkan kerana para pemiliknya kerana bercuti raya tidak dijaga dengan sempurna sehingga ada yang sakit dan mati kebuluran.

Akta ini nampaknya benar-benar melindungi nasib haiwan peliharaan serta haiwan terbiar. Jangan sesekali menyepak sesuka hati seekor kucing yang datang menggesel-gesel badannya di kaki anda walaupun anda tidak menyukai kucing dan baunya. Jangan juga cuba bertindak nakal membaling seekor kucing dari tingkat tiga bangunan semata-mata mahu membuktikan `kucing ada sembilan nyawa’ dan mampu bertapak dengan elok ketika jatuh! Di bawah akta baharu ini, perbuatan itu salah dan boleh didenda.

Semoga perbuatan sesetengah pemilik lembu atau kambing di kawasan luar bandar yang mengambil jalan mudah mengisi binatang ternakan mereka di dalam but belakang kereta masing-masing tidak berlaku lagi selepas ini.

Begitulah juga dengan binatang tunggangan seperti kuda, keldai, kerbau atau lembu pula tidak dibenarkan terlebih naik, terlebih tunggangan, terlebih muatan dan terlebih kerja kerana perbuatan itu adalah satu bentuk penderaan.

Bagaimanapun undang-undang ini harapnya tidaklah terpakai kepada pesawah padi tradisional di kampung-kampung yang masih menggunakan kerbau dan lembu sebagai jentera pembajak. Mereka `mendera’ lembu dan kerbau peliharaan secukup-cukupnya setiap hari!

Tags: pengurusan
Subscribe

Posts from This Journal “pengurusan” Tag

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments