KUALA LUMPUR 22 Jun – Sistem pendidikan tinggi negara terus cemerlang apabila kajian oleh agensi penarafan universiti antarabangsa, Thomson Reuters bagi kategori subjek mendapati bidang Sains Alam Sekitar yang ditawarkan di Universiti Sains Malaysia (USM) dan Pengajian Pembangunan di Universiti Malaya (UM) menduduki ranking ke-31 dan 32 dunia iaitu setaraf dengan 50 universiti terbaik dunia.
Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, berdasarkan keputusan penarafan terbaharu QS Ranking Asia pula, UM telah melonjak daripada tangga ke-32 kepada 29, USM meningkat daripada kedudukan 57 ke 49, manakala Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) masing-masing melonjak daripada kedudukan 66 kepada 61 dan 76 kepada 66.
Idris berkata, peningkatan kedudukan universiti-universiti awam itu menunjukkan kualiti pendidikan di Malaysia semakin baik dan dengan adanya Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) atau PPPM (PT) 2015-2025, sistem pendidikan negara dijangka menjadi rujukan pelajar asing dalam tempoh beberapa tahun lagi.
“Saya yakin dengan usaha-usaha yang dilaksanakan dan peningkatan yang telah ditunjukkan melalui penyelidikan, penerbitan, ranking berdasarkan subjek dan kedudukan Asia, prestasi pendidikan negara akan terus meningkat ke tahap yang terbaik,” katanya dalam jawapan kepada soalan Senator Tan Sri Dr. Ibrahim Shah Abu Shah di Dewan Negara hari ini.
Ibrahim Shah memohon penjelasan daripada kerajaan tentang langkah-langkah dan inisiatif yang diambil bagi meningkatkan kedudukan universiti awam dalam kalangan universiti di dunia.
Menurut Idris, hasil kajian oleh Thomson Reuters turut mengiktiraf empat profesor tempatan sebagai Minda Saintifik Paling Berpengaruh, manakala daripada segi penerbitan, pada tahun 2010, Malaysia telah mengatasi Singapura selain penerbitan perbankan Islam oleh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang diiktiraf terbaik di dunia.
“Menyedari tentang potensi universiti awam untuk melonjakkan pencapaian dalam aspek ranking, pelbagai usaha dan inisiatif telah diambil dalam memperbaiki dan memperkukuh kedudukan bagi menarik minat pelajar asing serta pensyarah terbaik dunia datang ke Malaysia.
“Kerajaan turut memperkasa Rangkaian Kajian Universiti Malaysia (MRUN) secara kolektif bagi mengenal pasti kekuatan masing-masing dan saling melengkapi dalam pelbagai bidang,” jelasnya. - Utusan Malaysia Rencana 23 Jun 2015