kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Biar pakar buat ulasan ~ Mengulas sesuka hati melanggar prinsip kesarjanaan, dosa fitnah

Sikap seorang ilmuwan atau cendekiawan walaupun memegang jawatan pentadbiran sewajarnya konsisten untuk hanya mengulas sesuatu isu yang berkait dengan bidang atau kepakaran mereka sahaja.

Tindakan memberi ulasan di atas sesuatu isu yang bukan daripada kepakaran mahupun bidang mereka sendiri tidak sahaja menyalahi prinsip kesarjanaan, bahkan boleh membawa kepada dosa fitnah apabila disebarkan secara meluas melalui pelbagai bentuk media sosial.

Kelihatannya, di atas tiket kebebasan bersuara yang diberikan oleh kerajaan semasa, ramai pula cendikiawan, ahli agama serta tokoh berpengaruh menggunakan kebebasan ini untuk bercakap dan mengulas secara semberono di atas topik yang bukan daripada kepakaran mereka sendiri.

Sungguhpun mereka memiliki hak itu sebagai seorang rakyat, tetapi prinsip seorang ilmuwan yang hanya bercakap dan memberi justifikasi di dalam bidang yang dikuasainya, selain disahkan benar dan berintegriti semata-mata sewajarnya tidak ditolak tepi.

Jika tidak, apalah beza kualiti hujah mereka berbanding kualiti perdebatan kedai kopi?

Walaupun isu Cukai Barangan dan Perkhidmatan (CBP) adalah isu yang menyentuh secara langsung kepentingan rakyat dan seterusnya mewajarkan setiap individu daripada pelbagai latar belakang untuk memberi pandangan, ia tidak bermakna mereka juga diberi ruang untuk memanipulasi fakta mahupun memberi ulasan berdasarkan andaian semata-mata.

Tidak sahaja berasaskan kehendak agama, bahkan undang-undang serta prinsip kemanusiaan itu sendiri pun sememangnya mengajar kita untuk menghukum secara adil untuk sesuatu isu.

Seorang cendekiawan sewajarnya memberi ulasan yang lebih adil berbanding mengutamakan ulasan yang popular.

Contohnya, meminta cukai CBP dihapuskan mungkin satu keputusan yang popular, tetapi ia tidak semestinya bermaksud satu tindakan yang tepat juga.

Berbanding meminta cukai dihapuskan, adalah lebih jujur untuk seorang cendikiawan mempengaruhi rakyat agar berfikir dengan lebih kritikal bagaimana harga barangan dengan cukai 6 peratus menjadi lebih mahal berbanding barangan dengan cukai 10 peratus di pasaran.

Apakah ia kesilapan pada sistem cukai itu sendiri atau sebenarnya melibatkan manipulasi pihak tertentu di dalam rantaian bekalan itu?

Begitu juga dalam konteks 1Malaysia Developement Berhad (1MDB).

Ramai sebenarnya hari ini yang sibuk mengulas pasal 1MDB dengan bersumberkan input daripada pihak ketiga.

Bahkan, kata-kata serta pandangan diberikan mereka jika diperhatikan adalah bulat-bulat diambil daripada pihak ketiga.

Mereka juga sebenarnya mungkin tidak pernah pun melayari laman web syarikat pembangunan strategik itu.

Sejauhmanakah sebenarnya mereka memiliki pengetahuan berhubung aspek pengurusan dan model perniagaan 1MDB serta dunia perniagaan korporat keseluruhannya?

Adakah mereka sebenarnya orang yang layak mengulas secara adil dalam isu ini?

Selain itu, banyak komen mendakwa Menteri Kewangan tidak menjawab isu 1MDB, tetapi jika benarpun begitu, adakah ia memberi lesen kepada pihak lain untuk memberikan justifikasi berasaskan andaian semata-mata?

Walaupun sentimen politik mengiktiraf persepsi sebagai faktor yang penting untuk memainkan isu, ia sama sekali tidak menjadikan perbuatan yang salah sebagai betul pula dari sudut agama dan kemanusiaan.

Mudahnya, tidak memberi jawapan tidaklah bermaksud memberi jawapan yang salah.

Berasaskan sikap yang sama, anak syarikat Tabung Haji, TH Properties kini pula menjadi mangsa.

Atas desakan serta pengaruh daripada mereka yang tidak boleh membezakan antara keputusan strategik perniagaan dengan keputusan politik yang penuh dengan curiga, akhirnya firma itu terpaksa membuat keputusan yang merugikan aset serta pelabur mereka.

Begitulah jadinya apabila mereka yang tidak memiliki kredibiliti cuba bercakap dalam sesuatu isu yang bukan daripada kepakaran mereka.

Sesetengah agamawan pula menyandarkan sifat keluasan Islam itu sendiri bagi membolehkan mereka bercakap dalam isu yang bukan dikuasai mereka.

Kata mereka, Islam merangkumi segenap aspek kehidupan, justeru mereka boleh bercakap apa sahaja yang mereka gemari atas nama Islam itu luas.

Seorang cendekiawan agama yang memegang jawatan kanan pentadbiran agama di sebuah negeri baru-baru ini meluahkan rasa kecewanya di atas keputusan TH Properties yang membeli tanah di Tun Razak Exchange (TRX).

Soalnya, di atas justifikasi apakah kekecewaan itu? Adakah hanya kerana TRX mempunyai kaitan dengan 1MDB?

Semudah itukah penilaian seorang tokoh agama?

Adakah cara sebegini diajar oleh mana-mana agama?  - Pengemis Soh, Bangsar, Kuala Lumpur. Utusan Malaysia Rencana 23 Jun 2015

Tags: agama, dosa, fitnah, pakar
Subscribe

Posts from This Journal “pakar” Tag

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments