Kahwin
campur orang
Kanaq-Melayu
PENDEDAHAN hidup orang Kanaq terhadap dunia luar akhirnya telah meroboh ‘benteng’ pemisah yang selama ini menebal dalam kalangan masyarakat Orang Asli itu.
Bukan itu sahaja, siapa sangka percampuran hidup itu juga akhirnya telah menyatukan tiga orang Kanaq dengan pasangan mereka ke jenjang pelamin meskipun berlainan kaum.
Seorang daripada mereka, Radiah Tekeng, 36, mengakui tidak menyangka jodohnya adalah bersama seorang lelaki Melayu, Ramlan Jusuh, 37, yang dinikahinya pada 2000.
“Saya ketika itu bekerja di sebuah kedai makan di bandar Kota Tinggi. Di situlah kami berkenalan dan akhirnya dia (suami) melamar saya.
“Saya sendiri tidak pernah terfikir untuk berkahwin dengan lelaki yang berlainan bangsa dengan saya, namun itu semua adalah jodoh,’’ katanya kepada S2 baru-baru ini.
Menceritakan kehidupannya setelah berumah tangga, menurut Radiah, hasil perkahwinannya itu, dia telah dikurniakan dua anak lelaki berusia 14 tahun dan sembilan tahun.
Jujur beliau akui, meskipun berkahwin dengan pasangan berlainan bangsa, namun kehidupannya tidak berbeza seperti kebanyakan isteri lain.
“Tugas saya masih sama, meskipun berbeza cara dan amalan hidup sebelum berkahwin. Namun itu tidak menjadi penghalang memandangkan saya sendiri sudah lama terdedah dengan masyarakat Melayu.
“Bila ada kelapangan, kami akan balik ke rumah mertua di Tanjung Sedili, Kota Tinggi. Kesempatan itu juga kami gunakan untuk menghadiri kenduri-kendara, majlis perkahwinan dan keraian saudara mara keluarga suami saya,’’ katanya.
Ujar Radiah, berbekalkan sedikit kemahiran membuat bakul daripada rotan, dia menjadikan pekerjaan itu sebagai sumber pendapatan sampingan bagi membantu suaminya yang mengambil upah berkebun.
Bahasa orang Kanaq kian terancam
LIMA tahun bukanlah jangka waktu yang pendek, namun sepanjang tempoh itulah digunakan Dr. Mohd. Sharifudin Yusof untuk mengenali orang Kanaq secara lebih dekat.
Semuanya bermula pada tahun 2000 ketika beliau membuat kajian mengenai keterancaman bahasa orang Kanaq dan Duano bagi menyiapkan tesis di peringkat pengajian ijazah Doktor Falsafah (Ph.D) yang diambilnya ketika itu.
DR. Mohd. Sharifudin Yusof menunjukkan buku tulisannya mengenai bahasa suku kaum Kanaq yang semakin terancam. |
Beliau yang kini merupakan pensyarah kanan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi di Universiti Putra Malaysia (UPM) mengambil masa lima tahun untuk menyiapkan tesis tersebut.
Menceritakan mengenai pengalaman bersama orang Kanaq, jujur Dr. Mohd. Sharifudin akui, ia bukanlah semudah yang disangka kerana kaum Kanaq amat pemalu terutama dengan orang luar.
“Saya masuk ke perkampungan Orang Asli ini pada 2000, namun terpaksa mengambil masa dua tahun untuk ‘membina hubungan’ dengan orang Kanaq ini.
“Dalam tempoh itulah, saya tinggal bersama Penghulu (tok batin) Mutalip dan banyak melakukan aktiviti bersama masyarakat Orang Asli itu hinggalah mereka akhirnya dapat ‘menerima’ saya,’’ katanya.
Menurut Mohd. Sharifudin, berdasarkan kajian secara etnografi, bahasa orang Kanaq adalah sebuah bahasa Austronesia yang tergolong dalam cabang Bahasa Malayik.
Jelasnya, secara am, bahasa pertuturan orang Kanaq adalah seakan-akan bahasa Melayu dengan lenggok dan loghat bahasa yang agak kasar.
Katanya, masa depan dialek Kanaq turut memasuki era kepupusan dan keadaan menjadi lebih gawat kerana ancaman demi ancaman mendatang.
“Ia ‘bahasa terancam’ kerana jumlah penuturnya yang sedikit. Namun, majoriti orang Kanaq masih bertutur dalam bahasa ini dengan baik.
“Kajian juga mendapati dialek Kanaq semakin didominasi Bahasa Melayu Standard (BMS) terutama dalam kalangan generasi muda,’’ katanya.
Hasil kajian yang dilakukan selama lima tahun itu telah membantu Mohd. Sharifudin menyiapkan tesisnya dan lebih menggembirakan beliau apabila kajian itu dibuku dan diterbitkan pada 2013.
Buku Keterancaman Bahasa Orang Asli Duano dan Kanaq yang dihasilkan Mohd. Sharifudin ini ternyata menjadi pusaka yang tidak ternilai demi pewarisan salah satu ciri budaya nenek moyang Duano dan Kanaq.
Ini ‘rumah’ kedua saya – Suhaila
PEGAWAI Jakoa Kota Tinggi, Suhaila Isenin (gambar), 36, sememangnya tidak asing lagi dalam kalangan orang Kanaq di Kampung Sungai Selangi, Kota Tinggi, Johor.
Sejak lebih setahun lalu, Suhaila kerap berkunjung ke perkampungan Orang Asli itu untuk menguruskan segala perkara dan kebajikan melibatkan orang Kanaq.
Justeru, tidak hairanlah jika wanita itu menganggap perkampungan Orang Asli itu sebagai ‘rumah’ kedua bagi dirinya, malah hubungan antara dia dengan masyarakat orang Kanaq boleh dikatakan amat rapat.
“Bayangkanlah, pukul 11 malam, ada penduduk menghubungi telefon saya kerana anaknya masih tidak pulang ke rumah dan baru-baru ini, ada kes orang luar mabuk dan buat kacau serta mengganggu anak gadis orang Kanaq.
“Itu sebahagian daripada masalah yang pernah diadukan kepada saya. Setiap masalah yang timbul akan cuba saya selesaikan sebaik mungkin, tidak kisahlah sama ada ia pada waktu bekerja atau pun lewat malam,’’ katanya kepada S2.
Menurut Suhaila, selain orang Kanaq, dia turut ditugaskan menjaga etnik Kuala di Kampung Kuala Sungai Layau dan etnik Jakun di Kampung Kempas Menang, Kampung Pasir Intan dan Kampung Sayung Pinang di Kota Tinggi.
Ujarnya, antara ketiga-tiga etnik Orang Asli itu, etnik Jakun dan Kuala lebih mudah bergaul dan terdedah dengan dunia luar berbanding dengan orang Kanaq.
“Mengenali etnik Kanaq, mereka merupakan orang yang belum boleh berdikari sendiri atau dengan kata lain, orang yang pemalu dan ‘manja’. Dengan erti kata lain, kita kena jaga dan fahami masalah dan perasaan mereka,“ katanya.
Seperkara mengenai orang Kanaq ini, ujar Suhaila, mereka sememangnya akan menjaga hubungan baik dengan orang luar yang rapat dengan masyarakat itu.
“Kalau dah mesra dengan kita, mereka tahu berbudi bahasa. Kalau mereka masuk hutan, mereka akan beri kita buah-buah hutan seperti buah tampoi, cempedak, sentol, keranji dan banyak lagi yang sukar diperolehi di pasaran.
“Pada keseluruhunnya setelah setahun mendampingi etnik ini, ia merupakan satu pengalaman yang menarik kerana ia sedikit sebanyak dapat membantu kita membuka minda mereka ke arah kehidupan yang lebih baik,” katanya.