kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Usaha memperendah Dasar Pendidikan Kebangsaan

Gerakan terancang pihak tertentu untuk menjadikan bahasa Inggeris sebagai pengantar di sekolah bukan perkara baharu. Ini telah berulang kali dibangkitkan oleh beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Cina di negara ini.

Ada beberapa hujah yang mewajarkan bahasa Inggeris dijadikan pengantar di sekolah yang maksud sebenar ialah menafikan Dasar Pendidikan Kebangsaan yang menjadikan bahasa Melayu sebagai pengantar.

Pertama, mengaitkan kegagalan mewujudkan perpaduan dalam masyarakat pelbagai kaum dengan dasar pendidikan sekarang. Kedua, membina persepsi bahawa bahasa Inggeris adalah bahasa ilmu dalam bidang sains dan teknologi.

Ketiga, menuduh dasar pendidikan negara ini menjadi faktor polarisasi kaum. Maka disarankan supaya bahasa Inggeris sebagai pengantar kerana bahasa Melayu tidak mampu menjadi penghubung dalam silang budaya antara kaum.

Keempat, mereka cuba mengalih perhatian kepada Singapura sebagai model negara yang pengantar bahasa Inggeris yang berjaya dalam ekonomi, sosial dan perpaduan.

Saya ada beberapa hujah untuk membuktikan alasan yang ditonjolkan itu tidak benar, atau setidak-tidak boleh dibahaskan. Bagi saya ini lebih untuk merendah-rendahkan dasar pendidikan kita. Ini adalah usaha yang berterusan oleh pihak tertentu bagi membina satu tamadun baharu bukan di atas asas yang telah terbina sejak sekian lama. Caranya dengan menolak bahasa Melayu yang terbukti menyatukan Nusantara suatu waktu dulu.

Sinonimkan bahasa Inggeris dengan kemajuan dalam bidang sains dan teknologi adalah helah mudah untuk mengaburi mata fikir masyarakat. Saya tidak pasti di manakah mereka merujuk bahawa bahasa Inggeris menjadi faktor utama penguasaan dalam bidang sains dan teknologi? Sebagai contoh yang dekat dengan kita, angkasawan Malaysia yang menumpang pengembaraan ke angkasa lepas pun terpaksa belajar bahasa Rusia, bukan bahasa Inggeris. Ini menunjukkan bahasa Rusia bukan sahaja menguasai sains dan teknologi malah bidang angkasa lepas di Rusia.

Contoh lain, negara-negara yang ke depan dalam bidang sains dan teknologi selepas Perang Dunia Kedua adalah dari negara yang mendokong bahasa ibunda. Malah mereka terhina bertutur bahasa Inggeris waima dengan orang luar bagi menunjukkan bahasa ibunda mereka sebagai teragung. United Kingdom atau Amerika Syarikat (AS) yang menggunakan bahasa Inggeris tetapi tidak muncul setanding dengan Jepun, Korea Selatan atau China dalam bidang teknologi.

Adakah ini faktor bahasa Inggeris atau iltizam yang tinggi sesuatu bangsa yang menjadi pendorong kemajuan dengan menggunakan bahasa ibunda? Pemimpin China tidak mahu bertutur bahasa Inggeris dalam persidangan antarabangsa tetapi mampu memacu China sebagai kuasa besar yang menyaingi AS dalam banyak sudut termasuk sains dan teknologi.

Suatu alasan yang tidak masuk akal adalah bahasa Inggeris bahasa perpaduan. Hujah saya, pada era 1950-an, 1960-an dan awal 1970-an, banyak sekolah pengantar bahasa Inggeris di negara ini. Tetapi pada dekad-dekad ini juga tercetus banyak ketegangan antara kaum. Antaranya krisis antara parti Melayu, UMNO dengan parti Cina, MCA tahun 1959, Singapura keluar dari Malaysia tahun 1965 dan rusuhan kaum terbesar pada 13 Mei 1969. Bukankah semua ketegangan antara kaum ini dalam masa bahasa Inggeris berada pada kedudukan tertinggi? Di mana perpaduannya?

Mereka juga mengambil Singapura sebagai contoh negara yang maju dengan menjadikan Inggeris sebagai bahasa pengantar selain menjadi alat perpaduan. Ini hanya satu kaedah untuk membina satu persepsi tetapi pada masa sama menafikan perkara realiti. Persepsinya formula Singapura berjaya kerana bahasa Inggeris menjadi faktornya. Tetapi realitinya politik, sosial dan populasi jauh berbeza dengan negara ini.

Di Singapura tidak ada sekolah vernakular. Sebenarnya tidak ada di mana-mana negara yang membenarkan sekolah vernakular kecuali Malaysia. Di sini jangan kata hendak dihapuskan, hendak berhujah pun tidak boleh. Soalnya kenapa tidak turut mencontohi sistem pendidikan Singapura menghapuskan sekolah vernakular yang menjadi faktor perpaduan?

Generasi muda Cina dan India di sekolah vernakular telah terpisah daripada nilai-nilai majmuk yang ditanam di sekolah kebangsaan. Menanam semangat cauvanis di sekolah vernakular telah memisahkan generasi daripada realiti sosial negara tetapi seolah-olah di negara China atau India.

Maka apabila berdepan dengan gerakan terancang ini, kita perlu berhati-hati supaya tidak terperangkap disebabkan kita terkena sindrom pemikiran tertawan. Telah dibuktikan golongan profesional yang dilahirkan oleh dasar pendidikan kita banyak yang berjaya ke peringkat dunia. Jangan percaya dakyah mereka bahawa bahasa Melayu kolot.

Apabila menteri diserang idea

Saya masih ingat pada pertengahan 1990-an dulu ketika tercetusnya gejala sosial gadis ‘bohsia’ di Kuala Lumpur, seorang menteri melontarkan idea supaya remaja tidak dibenarkan keluar rumah selepas pukul 10 malam. Idea itu baik tetapi tidak praktikal.

Akhirnya idea itu hilang begitu sahaja. Bagi saya, kita bukan sahaja berhadapan dengan masalah sosial tetapi juga menteri yang dilanda idea-idea luar biasa. Mereka melihat jangka pendek dan jalan mudah untuk mengatasi sesuatu isu tanpa memeriksa perkara-perkara yang fundamental.

Baru-baru ini pula seorang menteri mengesyorkan supaya semua restoran ditutup pukul 12 malam. Sebabnya (mengikut kata menteri ini) restoran yang beroperasi 24 jam menyumbang kepada permasalahan sosial. Saya bukanlah ahli 'kelab lepak' tetapi saya musykil adakah saranan ini boleh mengatasi masalah sosial.

Memanglah banyak kes pergaduhan di restoran 24 jam. Tetapi kalau ditutup sekalipun perkara tersebut mungkin berlaku di tempat lain. Lagipun restoran 24 jam bukan pusat judi atau hiburan.

Saya percaya beliau juga telah diserang idea. Bagaimanapun bagi saya isu masalah sosial adalah suatu yang sangat kompleks. Untuk mengatasi isu seperti ini bukanlah semudah memetik idea semasa terbangun daripada tidur.

Melepak di restoran sampai dini hari tidak baik untuk kesihatan dan produktiviti. Senang cakap, benteras dulu pusat judi dan hiburan barulah boleh bercakap isu moral. Kalau baling batu jatuh atas pusat judi, apa cerita? - Ku Seman Ku Hussein Utusan Malaysia Rencana 28 Jun 2015

Tags: bahasa, dasar, melayu, pendidikan
Subscribe

Posts from This Journal “dasar” Tag

  • Dasar

    Dasar e-Pembelajaran Negara (DePAN) yang dilancarkan pada 16 April 2011 merupakan Dasar yang telah dibangunkan khusus bagi menyokong Pelan…

  • Bajet dan agenda dasar kerajaan

    BAJET ialah anggaran mengenai kos, punca pendapatan dan hasil mengikut tempoh tertentu. Ia menggambarkan keadaan kewangan negara pada masa hadapan,…

  • Dasar pendidikan perlu konsisten

    MUKADIMAH KUALITI pendidikan adalah isu yang popular. Kejayaan masa depan negara banyak bergantung kepada keberkesanan sistem pendidikan dalam…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments