kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Bisik-Bisik Awang Selamat ~ Berwaspadalah, Cauvinis, bola, biarkan, ramadhan, IMDM

Parti cauvinis

Kenyataan Presiden Pas, Hadi Awang baru-baru ini bahawa parti itu sedia menjalin kerjasama dengan mana-mana parti politik kecuali yang cauvinis, menarik perhatian.

Walaupun tidak menyebut nama mana-mana parti tetapi ramai tahu ia merujuk kepada DAP. Sememangnya apa yang Hadi cakap tidak dapat disangkal lagi. Buatlah apa pun, imej DAP sebagai parti rasis masih tebal. Sepanjang kerjasama pakatan selama ini, peranan Pas sedikit sebanyak dapat membantu 'memulihkan' persepsi dalam kalangan sebahagian orang Islam ke atas DAP.

Kini dengan terburainya muafakat antara kedua-dua parti itu, DAP terpaksa bergantung kepada usahanya sendiri selain PKR untuk mendampingi dan meyakinkan orang Melayu.

Awang dapat tahu, langkah-langkah sedang diperhebatkan untuk mempengaruhi golongan muda Melayu terutama yang liberal, dengan apa sahaja cara.

Apatah lagi parti itu ke hadapan dan menguasai pengolahan permainan persepsi dalam isu-isu semasa. Mudah untuk menangguk di air keruh termasuk bagi menjadi juara kepada orang Melayu.

Sudah berulang kali terbukti dalam mendapatkan sokongan Melayu, DAP bersandiwara. Sejarah tidak pernah menipu. Dari dulu lagi, para pengasas parti itu sanggup bersongkok, bersimpuh di tangga surau dan 'menjiwai' Melayu seperti di Singapura. Begitu juga dengan generasi baru DAP yang sanggup menggunakan ayat suci al-Quran dan Hadis serta jolokan tokoh pejuang Islam silam. Apabila sokongan diperoleh dan kemenangan dalam pilihan raya dicapai, kepentingan Islam dan Melayu dinafikan, dihina, dibiarkan terpinggir dan lemah. Lihatlah juga apa berlaku di Pulau Pinang. Slogan demokratik, kebebasan dan keadilan untuk semua, adalah muslihat semata-mata tetapi akhirnya DAP lebih menjaga kepentingan satu kaum sahaja.

Buatlah kajian tentang kedudukan dan kuasa dalam parti itu hinggalah soal pendirian, polisi dan rekod perjuangannya. Aneh, DAP mendabik dada sebagai parti pelbagai kaum tetapi Melayu, India dan etnik lain sekadar picisan malah menjadi alat untuk mengabui masyarakat. Rata-rata orang Melayu dalam DAP akan keluar dengan penyesalan. Itulah hakikatnya. Seperti kata bekas Naib Pengerusi DAP, Zulkifli Mohd. Noor, harga Melayu kepada DAP hanya 50 sen. Adalah amat memalukan, dunia telah lama berubah tetapi DAP masih di takuk lama. Keterbukaan yang ditunjukkan untuk menarik ramai Melayu hanyalah kosmetik tetapi lebih kepada menjayakan agenda agung satu kaum. Jadi, belum terlewat untuk Pas bangkit tersedar sebelum mudarat lebih besar.

Awang setuju dengan Hadi, yang meyakinkan lagi kita padahnya berkawan dengan parti yang cauvinis.

Biarkan...

Harapan untuk melihat krisis MIC yang berlarutan berbulan-bulan lamanya, untuk kendur dan selesai, nampaknya tidak kesampaian.

Malah situasi makin buruk dan kompleks. Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) telah mengesahkan Presiden MIC, G. Palanivel bukan lagi ahli parti itu berdasarkan Artikel 91 Perlembagaan MIC. Ini bermakna, kelayakan beliau sebagai presiden parti dengan sendirinya terbatal, yang pastinya memberi kesan kepada kedudukan dalam Kabinet. Awang pun tak faham kenapa Pengarah ROS tidak tampil menjawab persoalan dalam isu yang kritikal seperti itu. Ini bukan era sembunyi diri dalam menangani isu.

Berbalik kepada MIC, kini, ada dua kem A dan B. Satu diketuai oleh Palani dan satu lagi oleh Timbalan Presiden, Dr. S. Subramaniam yang kini memangku jawatan Presiden.

Awang percaya masyarakat terutama ahli MIC dan kaum India sudah bosan dengan krisis MIC yang berpanjangan. Terlalu banyak masa dibuang untuk pergolakan sedangkan kaum India perlukan parti yang berwibawa dan bersatu bagi membela mereka.

Lebih memburukkan keadaan, Palani enggan akur keputusan ROS dan makin agresif mempertahankan kedudukannya.

Awang tiada formula tetapi sewajarnya Palani berjiwa besar dengan berundur. Utamakan kepentingan parti berbanding diri sendiri. Beliau tidak akan kelihatan kalah sebaliknya akan dihargai dan dikenang kerana sanggup berkorban demi parti. Atau, Palani dan Subra sama-sama jika gagal berdamai, umum bersara daripada politik. Jika kedua-dua masih enggan dan mahu terus mengheret MIC ke ambang kehancuran, biarkanlah.

Masyarakat India mempunyai pilihan bernaung di bawah parti politik lain. Namun adalah malang bukan musuh atau pihak lain yang membunuh MIC, sebaliknya pemimpin-pemimpin parti itu sendiri. Biarkanlah.

Berwaspadalah

Kuwait dan Tunisia yang selama ini tenang dan bebas daripada ancaman keganasan, menjadi sasaran terbaru.

Awang sedih dan sangat terganggu dengan perkembangan itu, lebih-lebih lagi berlaku ketika umat Islam berpuasa pada bulan Ramadan.

Dalam serangan bom di Masjid Imam Sadiq di bandar raya Kuwait, lebih 27 terkorban dan mencederakan ramai lagi yang ketika itu sedang solat Jumaat.

Di Tunisia, 40 maut apabila seorang lelaki melepaskan tembakan ke arah sekumpulan pelancong di tepi pantai bandar Sousse.

Terdapat laporan kumpulan Islamic State (IS) mengaku bertanggungjawab. Namun tiada siapa boleh menolak teori tangan ghaib di belakangnya yang mengatur percaturan menggugat negara-negara Islam.

Marilah berdoa agar Malaysia terpelihara dan dijauhi kejadian seperti itu, yang perpaduan ummah adalah salah satu perisainya.

Apa yang berlaku di Kuwait dan Tunisia wajar dijadikan renungan dan kepada pihak berkuasa kita - berwaspadalah. Jangan biarkan tanah air tercinta ini dikejutkan.

Ramadan dan bola

Entah kenapa Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengadakan perlawanan Liga Super dan Liga Perdana pada bulan Ramadan. Sukar hendak faham. Sebab itu, Awang setuju dengan pandangan beberapa persatuan bola sepak negeri yang meminta FAM menangguhkannya.

Sebagai sebuah negara yang majoriti penduduknya beragama Islam, sepatutnya FAM lebih sensitif dalam hal tersebut. Di negara Islam lain termasuk jiran Indonesia, tiada aktiviti liga bola sepak utama berlangsung pada Ramadan. Ketika umat Islam dituntut lebih beribadat termasuk solat sunat tarawih, adalah kurang wajar para pemain yang juga kebanyakannya beragama Islam dibiarkan beraksi di stadium. Sudahlah mereka berpuasa pada siang hari, agak keletihan untuk bermain lewat malam selain tidak dapat memberi tumpuan pada ibadat. Penonton pun tidak ramai. Sedangkan ia sekadar sukan bola sepak yang masih boleh diubah jadual, tidak seperti urusan tanggungjawab sebagaimana tugas tentera, polis dan lain-lain yang mendesak keperluannya termasuk pada Ramadan.

Seandainya, ia melibatkan penganjuran oleh badan bola sepak dunia seperti FIFA, kita boleh faham tetapi ia di bawah kuasa FAM. Lagipun, terimalah realiti sukan bola sepak kita bukan seperti di Brazil, Sepanyol, Jerman, England dan Itali. Pencapaian skuad negara juga makin merudum dengan penganjuran liga yang ada tidak banyak membantu. Negara-negara Arab termasuk Palestin yang membelasah Malaysia 6-0 baru-baru ini, tetap hebat walaupun tiada liga pada bulan Ramadan.

Awang sebenarnya menyokong pengurusan FAM di sebalik banyak kritikan yang dilemparkan kebelakangan ini tetapi usahlah proaktif ke arah negatif.

Dugaan 1MDB

Awang tidaklah teruja untuk membuat rumusan berhubung tertangkapnya bekas eksekutif PetroSaudi, Xavier Andre Justo di Thailand, baru-baru ini sehingga siasatan mengenainya selesai.

Namun berdasarkan maklumat yang telah disahkan setakat ini, ternyata perbuatan Justo telah membawa banyak mudarat kepada Malaysia dalam isu 1MDB.

Tohmahan mengenai isu 1MDB yang berulang kali dilaporkan Sarawak Report dan turut dijadikan rujukan kumpulan media The Edge dan pembangkang terdedah selepas Justo ditahan di Koh Samui atas tuduhan cuba memeras ugut bekas majikannya sendiri PetroSaudi, baru-baru ini. Hasil siasatan, mendapati sebahagian e-mel dan dokumen yang disalurkan kepada Sarawak Report adalah maklumat palsu yang telah dipinda terlebih dahulu. Ia diperakukan oleh badan pakar bebas antarabangsa dalam keselamatan dan perisikan siber, Protection Group International (PGI). Awang sebenarnya tidak terkejut, lebih-lebih lagi dengan kecenderungan portal itu memburuk-burukkan kerajaan selama ini. Sebelum ini, bekas Ketua Menteri Taib Mahmud menjadi sasaran dengan agenda mahu menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN) di Sarawak. Usaha itu gagal tetapi pengasasnya Claire Recastle Brown, tidak mahu berhenti kerana ada keyakinan beliau boleh menjual sentimen di Malaysia dengan dorongan dan percaturan pembangkang. Dengan terdedahnya salah laku Justo maka terbongkar sebahagian konspirasi menggunakan isu 1MDB untuk menjatuhkan Perdana Menteri, Najib Tun Razak.

Seperti biasa, Najib menangani isu IMDB dengan tenang dan sabar biarpun menerima banyak tekanan, kritikan dan disalahertikan. Dalam sejarah kepimpinan, setiap pemimpin akan pasti berdepan dengan dugaan dan mengharungi krisis. Najib tidak terkecuali. Kini Perdana Menteri bertungkus lumus untuk memulihkan 1MDB, ujian terbesar beliau sebagai pemimpin. Berjayakah Najib? Memetik ungkapan Haruki Murakami, sesiapa dapat mengharungi ribut dan badai besar di lautan, dia akan menjadi insan berbeza, yang lebih kuat. Sejarah mantan Perdana Menteri, Dr. Mahathir Mohamad telah membuktikannya. - Utusan Malaysia Rencana 28 Jun 2015

Tags: ekonomi, ramadhan
Subscribe
  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments