kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Kempen cegah pembaziran bantu turunkan harga

Sekarang ini di mana-mana sahaja orang akan bercakap mengenai kenaikan kos sara hidup. Ia sememangnya hakikat yang tidak boleh dinafikan.

Tetapi, ketika ramai yang mengeluh mengenai kenaikan harga ini terutama barang makanan, agak menarik juga apabila membaca laporan baru-baru ini bahawa di sepanjang Ramadan, rakyat negara ini dianggarkan membuang makanan yang tidak habis dimakan, malah mungkin langsung tidak diusik sebanyak kira-kira sejuta kilogram atau 1,000 tan sehari.

Jika dianggarkan nilai makanan berkenaan puratanya adalah RM5 sekilogram, bermakna dalam bulan Ramadan ini, rakyat negara ini membuang ke tempat pelupusan sampah sebanyak RM5 juta sehari.

Sepanjang Ramadan ini, jumlah nilainya adalah RM150 juta. Jika dianggarkan pada bulan lain, purata makanan yang dibuang adalah separuh daripada jumlah itu, maka setahun wang yang rakyat negara ini buang begitu sahaja adalah hampir RM1 bilion iaitu, kira-kira RM975 juta.

Tabiat buruk

Itu baru makanan. Belum lagi pelbagai pembaziran lain yang kita lakukan hampir setiap hari seperti dalam penggunaan air, elektrik dan petrol.

Dalam sehari berapa liter air yang dibazirkan ketika mandi, mencuci pinggan mangkuk, malah ketika minum apabila air yang diisi dalam cawan atau gelas minuman melebihi daripada apa yang diminum?

Begitu juga elektrik. Sebagai contohnya seolah-olah sudah menjadi kelaziman sekarang ini untuk seseorang itu membuka televisyen apabila masuk ke rumah walaupun tiada sesiapa pun yang menontonnya.

Kita juga acap kali melihat kereta berpusing berkali-kali di tempat meletak kereta semata-mata kerana pemandunya mahu mencari petak yang paling hampir dengan tempat yang mahu dikunjungi atau membiarkan enjin kereta hidup sehingga berpuluh minit, malah berjam-jam tanpa bergerak ke mana-mana.

Semua pembaziran itu ada nilainya dalam bentuk wang yang apabila dicampurkan jumlahnya mungkin mengejutkan. Tidak keterlaluan jika dianggarkan daripada sejumlah wang yang kita belanjakan setiap bulan, mungkin antara 20 sehingga 30 peratus dibazirkan.

Kenal pasti pembaziran

Biasanya apabila menyentuh soal kenaikan kos sara hidup ini, kerajaan yang selalunya menjadi sasaran. Namun, berdasarkan kepada hakikat pembaziran yang berlaku, peranan setiap individu amat penting sekali.

Jika kita dapat kenal pasti semua pembaziran yang berlaku dan menguruskannya dengan baik, kos sara hidup kita akan dapat dikurangkan.

Harga barang naik jika permintaan adalah tinggi dan terus meningkat. Pembaziran sebenarnya hanya mewujudkan permintaan tambahan yang tidak sepatutnya ada dalam pasaran.

Jika pembaziran dielakkan, bermakna permintaan juga dikurangkan. Ini akan mengurangkan tekanan terhadap kenaikan harga.

Justeru, ketika negara berdepan masalah kenaikan kos sara hidup, mungkin elok jika pihak kerajaan atau bukan kerajaan mengambil inisiatif untuk melaksanakan kempen anti pembaziran. Saidon Idris Berita Harian Kolumnis 29 Jun 2015
Subscribe
  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments