kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

GST: Kemelut dan Langkah Ke Hadapan

PELAKSANAAN cukai barang dan perkhidmatan (GST) sejak 1 April lalu sememangnya menimbulkan banyak reaksi daripada pelbagai lapisan masyarakat mengenai kesan baik dan buruknya cukai baharu tersebut.

Setiap perbincangan dan perbualan berhubung GST tidak akan lari daripada isu yang mengatakan cukai itu akan membebankan rakyat, walhal inisiatif baharu itu akan membantu pembangunan ekonomi negara.

Terdapat juga pihak-pihak tertentu yang menangguk di air keruh untuk menyalahkan kerajaan berhubung pelaksanaan GST, bagi mereka mungkin ini peluang terbaik untuk menanam perasaan benci masyarakat terhadap kerajaan.

Sedar dengan permasalahan tersebut, Majlis Profesor Negara mengambil inisiatif dengan menjadikan GST sebagai tajuk kepada siri kedua Program Advokasi Ilmuan MPN bersama Utusan Malaysia dan Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Program tersebut yang akan berlangsung pada esok di Persada Canselori, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) akan membincangkan tajuk ‘GST: Kemelut dan Langkah Ke Hadapan’ dan antara isu yang akan dikupas ialah kesan pelaksanaan cukai itu kepada negara dan masyarakat.

Ketua Pegawai Eksekutif MPN, Prof. Datuk Dr. Raduan Che Rose berkata, perbincangan bertujuan mencari jalan terbaik dalam menjadikan GST sebagai suatu dasar yang memberi kebaikan dan bukannya keburukan kepada negara dan rakyat.

Beliau berkata, hasil daripada perbincangan dan dialog tersebut akan dicatatkan dan dihantar kepada pihak yang bertanggungjawab untuk memberi penambahbaikan kepada pelaksanaan GST sekali gus tidak membebankan rakyat khususnya.

“Program ini diharap dapat membuka minda segenap lapisan masyarakat mengenai pentingnya peranan MPN dalam menyampaikan maklumat serta idea yang bernas sekali gus membuka minda mengenai sesuatu isu yang dibincangkan.

“Selain itu, program kali ini yang bertajuk GST: Kemelut Dan Langkah Ke Hadapan juga diharapkan menjadi platform wacana berdasarkan fakta dan maklumat yang sahih dan benar,” katanya kepada Utusan Malaysia di Putrajaya, Jumaat lalu.

Menurut Raduan, program yang memasuki siri kedua ini menampilkan Penolong Ketua Pengarang 1 Kumpulan Utusan, Datuk Zaini Hassan sebagai moderator di samping empat ahli panel lain.

“Empat ahli panel tersebut ialah Dekan Fakulti Perakaunan Universiti Utara Malaysia, Prof. Dr. Kamil Md. Idris, Pengurus Projek GST Kementerian Pendidikan, Prof. Dr. Asan Ali Golam Hasan, Pensyarah Ekonomi UKM, Prof. Jamal Othman dan Pegawai Penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, M. Gunaselan.

“Sebenarnya, program ini bertujuan memperjelaskan isu-isu semasa negara kepada masyarakat, sekali gus mencari penyelesaian berkonsepkan dialog antara profesor berdasarkan kepakaran masing-masing,” katanya.

Terdahulu katanya, siri pertama program tersebut telah berlangsung di Dewan Besar Utusan Melayu (M) Bhd. dan membincangkan topik ‘Terjaminkah Keselamatan Rantau ASEAN?’ dengan ahli panel terlibat ialah Timbalan Setiausaha Agung MPN, Prof. Kamaruddin M. Said dan Pensyarah Sekolah Pengajian Antarabangsa UUM, Prof. Emeritus Dr. Ranjit Singh.

"Program ini berkonsepkan dialog yang mengetengahkan ilmuwan daripada MPN yang bertujuan memperjelaskan isu-isu semasa negara kepada masyarakat selain menjadi medium transformasi minda untuk mereka.

“Program seterusnya dijangka akan berlangsung setiap bulan sehingga Disember di lokasi berbeza iaitu di Universiti Malaya (UM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Sultan Zainal Abidin (UnisZA) dan Universiti Taylor,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, MPN menyasarkan kehadiran peserta sebanyak 200 hingga ke 300 orang sepanjang Program Advokasi Ilmuwan MPN bersama Utusan Malaysia dan RTM itu berlangsung. - Utusan Malaysia Rencana 29 Jn 2015

Tags: cukai, ekonomi, gst
Subscribe

Posts from This Journal “ekonomi” Tag

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments