SECARA mudah, alasan makanan ayam mahal boleh diterima jika harga ayam hendak dinaikkan. Namun apabila acap kali digunakan menjelang Aidilfitri, nampak seolah-olah suatu alasan yang diada-adakan. Bagi musim perayaan kali ini, persatuan penternak ayam di beberapa negeri dilaporkan akan menaikkan harga ayam atas alasan makanan ayam yang diimport mengalami kenaikan harga ekoran kejatuhan nilai ringgit selain peningkatan permintaan menjelang Aidilfitri.
Eloklah pihak berkuasa berkenaan melihat perkara ini secara teliti supaya wujud keadilan kepada kedua-dua pihak - penternak dan pembeli ayam yakni pengguna. Usaha perlu dilakukan supaya pengguna memperoleh bekalan ayam pada harga munasabah dan berpatutan; bukannya harga yang dikenakan oleh penternak dan penjual yang mengambil kesempatan pada musim perayaan.
Awang sedar ayam diletakkan dalam senarai barangan pengguna yang dikawal. Oleh itu ada had maksimum harga ayam yang ditentukan. Amatlah tidak adil jika penjual dan pihak penternak mendesak supaya harga tertinggi dikenakan tanpa alasan kukuh semata-mata mahu mengaut untung berlebihan semasa permintaan memuncak menjelang Aidilfitri ini.
Pihak berkuasa, seperti tahun-tahun sebelum ini, perlu bertindak menjadi orang tengah dengan mewujudkan dialog sesama penternak, pemborong dan peniaga ayam serta persatuan pengguna bagi memastikan kadar harga patut dikenakan ke atas semua barangan keperluan harian terutama barangan kawalan setiap kali menjelang sesuatu perayaan utama di negara kita. - Awang Selamat Utusan Malaysia Rencana 30 Jun 2015