kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Jom baca ... Dia melamar sahabat baik saya

JODOH perlu diusahakan walaupun ketentuannya milik Allah. Yang penting berusahalah agar anda ditemukan dengan pasangan yang sesuai.

Kisah ini dikirim oleh seorang wanita yang menamakan dirinya sebagai Naima (bukan nama sebenar) mengenai pengalamannya putus cinta setelah teman lelakinya bernikah dengan sahabatnya sendiri.

Kita ikuti kisah Naima seterusnya.

“Saya berusia awal empat puluh tahun. Masih belum bertemu yang serasi, bukan memilih tetapi keserasian atau sekufu juga perlu diambil kira.

“Pelbagai kategori insan telah saya temui, dari yang sederhana sehinggalah ke peringkat atasan. Namun Allah belum menyingkap lelaki yang sesuai untuk saya.

“Alhamdulillah dalam masa mencari saya akhirnya diperkenalkan dengan seorang teman baharu oleh seorang sahabat yang saya anggap seperti saudara sendiri.

“Perkenalan dengannya menjadikan diri saya berubah daripada seorang yang pendiam dan pemalu kepada seorang yang peramah dan boleh dibawa ke majlis.

“Tanpa disedari saya mula jatuh cinta dengan lelaki itu yang saya panggil Zami. Orangnya sangat baik, peramah dan penyayang.

“Hubungan kami sangat manis. Saya tahu dia sayangkan saya begitulah saya. Namun ujian Allah datang tanpa henti. Saya diuji dengan pelbagai perkara termasuk daripada sahabat baik yang memperkenalkan Zami kepada saya.

“Dalam diam dia juga menaruh hati kepada Zami. Maka jadilah cinta tiga segi antara kami, itupun saya tidak tahu. Pandai mereka menyimpan rahsia.

“Permainan cinta yang saya lalui amat menggerunkan, malah meninggalkan kenangan pahit dalam pencarian jodoh saya.

“Sedih dan hiba apabila mendapat tahu sahabat saya, Nadia (bukan nama sebenar) memang bercinta dengan Zami, lelaki yang telah memberi harapan kepada saya.

“Menyedari keadaan akan menjadi sulit saya bertekad mengundur diri. Saya maklumkan kepada Zami yang kami tidak ada jodoh dan saya minta diputuskan hubungan tanpa memberi alasan saya sudah tahu akan kisah cintanya dengan Nadia.

“Saya mengalah kerana tidak mahu kehilangan sahabat. Saya rela menjauhkan diri dari Zami kerana mahu melihat mereka bahagia.

“Satu hari Zami menghubungi saya. Dia ingin berjumpa dengan saya dan menjelaskan perkara sebenar tentang apa yang berlaku dalam hubungan kami.

“Tidak disangka di dalam pertemuan itu Zami membuat kejutan kepada saya dengan memaklumkan yang dia dan Nadia sudah bertunang.

“Bayangkan dalam masa bercinta dengan saya dia melamar Nadia. Patutkah saya diperlakukan begitu? Apa salah saya?

“Saya kecewa. Air mata yang tumpah tidak dapat mengembalikan hati saya yang sudah ranap. Nadia sepatah pun tidak beritahu saya yang dia telah bertunang dengan Zami sedangkan kami hari hari berjumpa.

“Mungkin itulah istimewanya insan yang bergelar lelaki, pilihan di tangan mereka dan malang bagi wanita yang terpaksa akur dengan keputusan lelaki seperti Zami walaupun pedihnya umpama luka tertikam sembilu.

“Hari dilangsungkan pernikahan mereka, saya hadir menjadi pengiring kepada Nadia yang bakal bergelar isteri pada Zami. Saya gagah hadir sebab tidak mahu menyinggung hati mereka atas dasar persahabatan.

“Saya cuba untuk tersenyum tetapi hati saya sangat sakit melihat pengantin begitu riang. Macam tidak ada apa-apa yang berlaku. Menarik sungguh drama mereka.

“Malah Zami langsung tidak rasa bersalah dengan apa yang dia telah lakukan. Untuk pertama kali hajat saya memiliki seorang teman yang boleh dijadikan pelindung hidup musnah kerana rakusnya hati seorang sahabat yang tamak dan pentingkan diri sendiri.

“Sehingga kini saya terfikir, apakah untuk memiliki sesuatu yang kita hajati kita perlukan keberanian yang luar biasa, jika kita terlalu berlembut atau bertolak ansur kita akan kecundang, sudahnya, milik kita dirampas orang!

“Saya banyak belajar tentang hidup terutama setelah apa yang berlaku dalam hidup saya. Kerana tidak mahu terus terganggu dengan drama Zami dan Nadia saya akhirnya memohon untuk berhenti kerja dan berpindah ke tempat lain.

“Sejak itu saya tidak pernah tahu lagi hal mereka. Malah mereka juga tidak berusaha untuk mencari dan bertanya khabar saya. Saya doakan mereka bahagia.

“Dalam hidup ini saya percaya kepada ketentuan Allah. Mungkin jodoh saya belum sampai. Walau ramai yang mencuba tetapi saya sangat berhati-hati. Bimbang pisang berbuah dua kali.

“Sesungguhnya tidak mudah untuk kita menegakkan tugu cinta dan mempertahankannya. Kerana kehadiran cinta belum pasti menjanjikan kebahagiaan, saya telah melaluinya dan saya sakit kerana cinta. Semoga Allah bagi saya kekuatan untuk terus hidup,’’ Naima menutup ceritanya.

Saya sangat bersimpati dengan masalah Naima. Menjadi lumrah dalam kehidupan apa yang kita sayangi, tidak semestinya menjadi milik kita.

Sabarlah Naima. Jangan ikutkan hati. Anda telah 
membuat keputusan bijak dengan 
mengalah dan merestui pernikahan mereka.

Bertabahlah Naima menghadapi cabaran hidup. Mungkin jodoh belum ada. Mungkin juga Allah S.W.T sedang menguji anda untuk menghadiahkan seorang lelaki yang lebih baik daripada Zami.

Pesanan saya sebelum menamatkan catatan, apapun, dulukan diri sendiri daripada perkara lain demi masa depan anda.

Insya-Allah satu hari anda pasti ketemu lelaki idaman yang serasi dan dapat melindungi anda di dunia dan akhirat.

Salam

Tags: kahwin, keluarga
Subscribe

Posts from This Journal “kahwin” Tag

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments