kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Bagaimana identiti negara maju kita?

Kalau dihitung, bukan jauh sangat jarak masa untuk Malaysia berada di ambang tahun 2020. Sudah dekat. Kira-kira empat tahun enam bulan sahaja lagi. Sekarang sudah separuh tahun 2015 kita harungi.

Apa pun, denyut nadi politik negara ini belum nampak tanda-tanda akan reda. Masih berterusan dalam keadaan "tegang". Jadi, bolehkah kita capai status negara maju?

Perkara ini yang jadi bahan bualan saya bersama tiga orang rakan sewaktu berbuka puasa di sebuah restoran nasi Arab. Entah berjaya, entah gagal. Ada faktor penentu untuk negara kita mampu capai status maju atau tidak.

Lihat sahaja dalam aspek pemikiran kita sebagai rakyat negara maju. Masalah sikap masyarakat kita dalam penggunaan tandas awam pun masih di takuk lama. Masih ada tandas kotor dan berbau busuk.

Masalah ini mungkin tidak berubah kerana hal ini pun disumbangkan oleh pengguna dari negara Dunia Ketiga. Barangkali di negara mereka tiada sistem tandas moden seperti di kompleks beli-belah Kuala Lumpur City Center (KLCC), jadi mereka tidak tahu menggunakannya. Mereka peduli apa. Tinggalkan saja sebab ada tukang cuci. Namun, lokasi inilah yang berpuluh ribu pengguna dari negara Dunia Ketiga berkumpul dan mengguna segala kemudahan yang ada.

Kita tidak boleh halang mereka terutama pekerja asing, sama ada yang ada permit kerja atau tidak daripada ma­suk ke bangunan yang menjadi mercu kebanggaan Ma­laysia itu. Apabila ada cuti umum, merekalah yang akan memenuhkan ruang di dalam dan kawasan sekitar Menara Berkembar Petronas. Hinggakan orang tempatan pun naik "seram" apabila berkunjung ke kawasan yang menjadi tumpuan mata seluruh dunia.

Inilah apa yang pelancong luar nampak terhadap Malaysia melalui suasana di KLCC. Hal ini ditambah buruk dengan sikap pemandu teksi di sana. Sekarang tersebar seluruh dunia mengatakan perkhidmatan teksi Malaysia paling teruk di dunia.

Saya ingatkan kisah pemandu teksi mengenakan tam­bang melampau yang heboh dilaporkan beberapa ta­hun dahulu sudah tiada lagi, tapi semakin tidak dapat di­bendung. Pemandu teksi tamak seperti itu masih ber­keliaran di bandar raya Kuala Lumpur ini untuk "me­nyembelih" pelancong asing.

Sebenarnya, Kuala Lumpur ini siapa punya?

Lubuk rezeki

Kawasan Chow Kit sekarang bagaikan bandar orang Indonesia, sekitar Jalan Silang sudah di­kuasai oleh warga Myanmar, Ne­pal dan Bangladesh, kawasan Ja­lan Tuanku Abdul Rahman men­­jadi tumpuan peniaga Pa­kis­tan dan India, kawasan Cheras pula kawasan Awang Hitam. Pusat-pusat hiburan pula penuh dengan pelayan wanita dari China, Viet­nam, Thailand, Filipina dan Indo­nesia.

Kuala Lumpur sekarang menja­di lubuk rezeki untuk warga ma­na? Entahlah...

Kalau menaiki pengangkutan awam seperti bas, LRT dan komu­ter pada waktu puncak, rakyat tem­patan "terseksa". Separuh tem­pat sudah dipenuhi oleh pe­ker­ja asing. Pengangkutan mo­den yang Malaysia majukan itu ru­pa-rupanya dimanfaatkan sepe­nuhnya oleh pekerja asing.

Malaysia sudah ada rakyatnya yang berbilang bangsa, agama dan bahasa, kini ditambah dengan perangai dan sikap pekerja asing yang tidak putus-putus datang ke negara ini. Imej yang dibawa oleh pekerja asing meletakkan Kuala Lumpur bagaikan hilang identitinya.

Berkecamuk jadinya rupa bentuk budaya dan gaya hidup orang Kuala Lumpur. Tidak tahulah saya, apa yang hendak kita banggakan dengan kemajuan dan pemodenan yang dibina jika terlampau banyak sangat ternampak muka pekerja asing.

Sesungguhnya pekerja asing membawa bersama penyakit dari negara Dunia Ketiga yang sudah Malaysia basmi seperti batuk kering, TB. Mereka juga pamerkan budaya hidup yang sudah kita tinggalkan pada tahun 1970-an apabila mandi secara terbuka di kawasan kongsi.

Pasukan keselamatan kita kini berdepan cabaran untuk membanteras jenayah yang dilakukan warga asing. Kalau dibuat operasi menahan pendatang tanpa izin pun tak ke mana akhirnya.

Penempatan di pusat tahanan sementara lebih menyenangkan mereka apabila kerajaan kita terpaksa mengeluarkan belanja untuk menyediakan makanan dan minuman mereka.

Apakah kita tidak belajar peristiwa lepas dan kesan kehadiran terlampau ramai warga asing. Walaupun untuk tempoh sementara, namun kesannya ke atas sosiobudaya, keselamatan dan ekonomi rakyat tempatan adalah besar.

Ingatlah, berapa ramai "pelancong" yang masuk melalui lapangan terbang, tidak pulang selepas tamat tempoh lawatan. Mereka boleh bergerak bebas dan melakukan apa sahaja tanpa gangguan daripada pihak berkuasa. Sebab mereka tahu pihak berkuasa kita hanya sedia memberi amaran akan bertindak, tetapi tinggal gertakan sahaja.

Kita tidak lakukan seperti negara maju bertindak ke atas warga asing yang tamat tempoh lawatan. Kalau diambil tindakan tahanan pun, proses menghantar pulang pun lambat.

Jika begini, susah negara kita untuk bergerak menguat­kuasakan undang-undang. Atas kertas undang-undang ne­ga­ra kita lengkap dan menggerunkan, tetapi sayang tidak disertai penguatkuasaan dan pelaksanaan yang bersungguh-sungguh.

Oleh sebab itu, dengan suasana politik dan ekonomi negara kita sekarang, ditokok-tambah dengan kemelut pekerja asing, entah macam mana agaknya rupa atau identiti negara maju Malaysia pada tahun 2020. - Azman Anuar Utusan Malaysia Rencana 5 Julai 2015

Tags: ekonomi, negara, pati, rezeki
Subscribe

Posts from This Journal “negara” Tag

  • Sayangilah 
negara ini

    MUKADIMAH: SELEPAS 59 tahun Malaysia mencapai kemerdekaan, nilai-nilai murni dan jati diri rakyat untuk terus mengekalkan kesepaduan dan…

  • Iktibar, Dr M, Bersih, Mat Tyson, Azmin Paling Di Benci

    Iktibar 4.0 Penganjuran perhimpunan Bersih 4.0 di Kuala Lumpur semalam memberikan petunjuk yang jelas tentang beberapa hal tetapi paling ketara…

  • Sehati Sejiwa untuk Malaysia

    DUA hari lagi, pada hari Isnin 31 Ogos, cukuplah 58 tahun negara kita merdeka. Dengan keadaan kesihatan yang kurang baik pasal terlebih makan, kurang…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments