kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Wujudkan persatuan sejarah di IPT

SARANAN Presiden Universiti Islam Malaysia, Tan Sri Dr. Mohd. Yusof Noor supaya diwujudkan persatuan sejarah di semua institusi pengajian tinggi (IPT) perlu mendapat perhatian semua pihak.

Beliau berpendapat penubuhan persatuan itu akan membolehkan kelangsungan minat generasi muda terhadap bidang sejarah. Pandangan itu dikemukakan ketika merasmikan Mesyuarat Tahunan Majlis ke-60,Persatuan Sejarah Malaysia di Wisma Sejarah, Kuala Lumpur pada 13 Jun lalu.

Menurutnya, ketika ini kebanyakan anggota persatuan sejarah terdiri dalam kalangan mereka yang telah berusia. Beliau bimbang tiada golongan pelapis yang akan menyambung usaha dan kerja-kerja berkaitan bidang itu pada masa akan datang. Terdapat juga dalam kalangan anggota masyarakat yang menganggap bidang ini hanya layak didampingi pihak tertentu seperti golongan warga emas dan mereka yang pernah bergiat dalam bidang itu sahaja.

Oleh itu, bagi menarik minat dan penglibatan golongan muda maka sudah tiba masanya setiap IPT menubuhkan kelab atau persatuan sejarah. Walaupun melalui aktiviti kecil-kecilan seperti sesi ‘bicara sejarah,’ penulisan esei, melawat ke tempat bersejarah atau bertemu tokoh-tokoh tertentu, ini akan dapat menyemai minat dalam kalangan mereka. Diharapkan mereka terus bergiat dengan lebih cergas selepas meninggalkan kampus nanti.

Sesungguhnya isu berkaitan sejarah sering mendapat perhatian masyarakat. Misalnya, pada tarikh perasmian itu sahaja terdapat dua isu sejarah yang dimuatkan dalam akhbar.

Pertama, gesaan daripada sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) supaya diperbetulkan fakta tentang pembukaan Pulau Pinang oleh Francis Light dan keduanya kewujudan sebuah tempat yang bernama Bandar di kawasan luar bandar di daerah Perak Tengah.

Dalam berita pertama, Presiden Kongres Melayu Pulau Pinang, Rahmad Isahak menggesa agar fakta sejarah Pulau Pinang diperbetulkan. Beliau membangkitkan isu ini apabila informasi Biro Penerangan negeri memuatkan maklumat yang dianggap tidak tepat yang boleh mengelirukan golongan muda dan pelancong.

Fakta itu menyatakan bahawa sejarah negeri itu hanya bermula pada tahun 1786 apabila pegawai Inggeris bernama Kapten Francis Light tiba selepas membuat perjanjian dengan Sultan Kedah. Informasi itu tidak mencatatkan apa-apa kejadian yang berlaku sebelum kedatangan Inggeris ke negeri itu. Seharusnya dinyatakan peristiwa penting khususnya antara tahun 1734 hingga 1786 yang membawa kepada penyerahan negeri itu kepada pihak Inggeris.

Berita kedua yang disiarkan dalam akhbar ialah rencana tentang sebuah kampung yang bernama Bandar terletak di Pasir Salak daerah Perak Tengah. Jika merujuk kepada buku Misa Melayu hasil tulisan Almahrum Raja Chulan, terdapat sebuah pulau dikelilingi Sungai Perak dan Sungai Kinta yang bernama ‘Pulau Indera Sakti’ dan pekannya dipanggil ‘Bandar Makmur.’ Kini dikenali sebagai Kampung Bandar atau ‘Bandor’ dalam dialek masyarakat tempatan.

Apa yang menariknya tentang Bandar ini ialah pada suatu ketika dahulu dikatakan sebagai kawasan termaju dalam Perak. Bandar mempunyai pelabuhan yang sibuk dengan aktiviti perdagangan dan terdapat beberapa deretan rumah kedai. Kawasan itu juga didiami oleh ramai penduduk dan sering dikunjungi pedagang daripada luar.

Kemakmuran dan kemajuan Bandar tercatat dalam lipatan sejarah kerana kewujudannya dianggap sebagai ‘zaman keemasan’ negeri Perak sewaktu pemerintahan Sultan Iskandar Zulkarnain iaitu Sultan Perak ke 15. Kemajuan kawasan tersebut menyebabkan ia pernah dijadikan pusat pemerintahan kerajaan sebelum berpindah ke hulu Sungai Perak.

Menurut Penasihat Persatuan Keluarga Warisan Bandor, Tun Mohammed Hanif Omar, suatu ketika dahulu Bandar adalah sebuah kawasan yang maju. Perkataan Bandar itu sendiri bermaksud ‘pelabuhan’ dalam bahasa Parsi dan Belanda. Banyak kapal dagang datang daripada luar negara berdagang di situ. Ketika itu Perak terkenal dengan hasil bumi dan hutannya seperti bijih timah, rotan, damar dan kayu gaharu.

Kemerosotan kawasan Bandar bermula apabila berlaku Perang Perak selepas kejadian pembunuhan JWW Birch, Residen Perak pertama pada 2 November 1875. Dikatakan pihak Inggeris telah menghantar armada lautnya ke Pasir Salak lantas menembak dengan menggunakan meriam ke arah bangunan dan rumah kediaman terutamanya di Bandar kerana marah akibat pembunuhan residen tersebut. Ironinya, kini Bandar adalah sebuah kampung tradisional kecil yang hanya dihuni oleh beberapa buah rumah sahaja.

Penulis berpendapat di sinilah peranan yang boleh dimainkan oleh pencinta sejarah untuk mengkaji semula peristiwa lalu bagi tatapan generasi akan datang. Sebagaimana yang diketahui sebahagian besar penulis awal sejarah negara adalah terdiri daripada orang barat juga dikenali sebagai ‘orientalis.’ Mereka terdiri daripada para akademik, pegawai penjajah yang sedang berkhidmat dan pendakwah Kristian.

Tidak dapat dinafikan mereka menulis melalui pendekatan sudut kaca mata mereka sendiri dan usaha menonjolkan misi penjajahan. Kesannya, ada kecenderungan untuk mereka mencatatkan peristiwa yang menggambarkan kebaikan dan kehebatan sebagai kuasa penjajah. Sebaliknya kelebihan dan sumbangan besar rakyat tempatan akan dipadam atau tidak diberi keutamaan.

Hakikatnya, di sinilah peranan yang boleh dimainkan oleh kelab atau persatuan sejarah IPT bagi mendorong ahli-ahlinya untuk menghasilkan pelbagai bentuk penulisan. Sebagai generasi muda yang mempunyai semangat yang kuat dan wawasan yang tinggi dijangka mereka berupaya menilai, mengkaji dan menulis secara mendalam apa sahaja peristiwa berkaitan sejarah tanah air.

Sesungguhnya dengan kemudahan infrastruktur yang terdapat di IPT dan bimbingan daripada para pensyarah, penulis yakin suasana ini akan membolehkan siswa-siswi kita melaksanakan tugas dan peranan mereka dengan lebih berkesan. Sumbangan mereka itu akan memperkayakan lagi khazanah penulisan sejarah tanah air. - Alimuddin Mohd Dom Utusan Malaysia Rencana 7 Julai 2015

Tags: ipt, sejarah
Subscribe

Posts from This Journal “sejarah” Tag

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments