kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Pengguna Internet semakin matang

MEMANG diakui ba­nyak pihak kewujudan me­dia sosial se­per­­­ti Facebook, Whats­App dan Twit­ter telah memudahkan pi­hak ti­dak ber­tanggungjawab untuk me­lakukan pro­vokasi bagi mencetuskan ke­te­gangan kaum di negara ini.

Bagaimanapun, provokasi tersebut tidak akan memberi sebarang kesan jika pengguna media sosial mengambil sikap tidak melayan dan mengelak berkongsi dengan pihak lain segala apa yang dimuat naik oleh pihak tidak bertanggungjawab berkenaan.

Setakat ini, pengguna media sosial di negara ini boleh dikatakan semakin matang kerana sebahagian besar daripada mereka tidak menghiraukan provokasi sedemikian.

Buktinya tidak berlaku rusuhan secara besar-besaran yang berpunca daripada berita tidak benar yang disiarkan dalam media sosial seperti tragedi berdarah pada 13 Mei 1969.

Hakikat itu diakui sendiri Pengarah Institut Kajian Etnik (KITA), Prof. Ulung Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin yang menegaskan, rata-rata rakyat negara ini lebih memikirkan tentang survival hidup seharian dan mobiliti sosial (mencari kehidupan lebih baik) serta tiada masa memikirkan untuk membenci dan bertindak ganas terhadap kaum lain.

“Apa yang lebih difikirkan oleh orang Malaysia ialah tentang yuran taska anak-anak dan bil-bil yang perlu dibayar pada setiap hujung bulan serta rancangan televisyen kegemaran mereka yang ingin ditonton setiap minggu.

“Tidak berlakunya keganasan antara kaum di Malaysia kerana kita sibuk melihat masa depan,” katanya ketika menyampaikan ucaptama dalam Wacana Meja Bulat Peranan Media Sosial dalam Hubungan Etnik: Cabaran dan Harapan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, baru-baru ini.

Mengulas perkara sama, Ketua Pegawai Kandungan MCIL Multimedia Sdn. Bhd., Tan Lee Chin yang mengurus laman web dan Facebook milik Sin Chew Daily berkata, rata-rata pembaca akhbar itu kini bersikap rasional.

“Apabila tersiar berita-berita yang boleh mencetuskan ketegangan hubungan antara kaum kebanyakan komen yang kami terima daripada pembaca adalah untuk mendapat kepastian adakah berita berkenaan benar.

“Jika ada gambar, mereka akan bertanya adakah gambar yang tersiar asli dan tidak diubah suai menggunakan perisian Adobe Photoshop.

“Walaupun ada komen yang bersikap provokasi tetapi tidak banyak dan selalunya akan ada pembaca yang memperbetulkan maklumat salah yang disebarkan,” ujarnya ketika menjadi salah seorang panel dalam wacana berkenaan.

Menurut beliau, berita dan gambar yang sering menjadi viral dan dibaca oleh banyak pihak dalam laman web dan Facebook syarikat akhbar itu bukan bersifat perkauman sebaliknya yang menonjolkan keakraban hubungan masyarakat berbilang kaum.

“Antaranya berita seorang wanita Melayu di Kedah yang melangsungkan perkahwinan dengan berpakaian tradisi Cina dan turut sama melakukan adat minum teh pengantin.

“Satu lagi yang mendapat sambutan pembaca ialah kisah seorang wanita Cina beragama Buddha di Sabah yang berusaha mendapatkan bantuan pelbagai pihak untuk mendidik dua anak angkat yang dibela sejak kecil dengan ajaran Islam kerana mahu mereka mengikut agama asal ibu bapa kandung,” ujarnya.

Dalam pada itu, seorang lagi ahli panel yang juga Timbalan Pengarah Pusat Pengajaran dan Teknologi Pembelajaran UKM, Profesor Madya Dr. Supyan Hussin berkata, soal selidik tentang isu etnik dan media sosial yang dibuat beliau pada Jun mendapati separuh daripada responden percaya media sosial yang menggunakan teknologi Web 2.0 boleh membantu meningkatkan keharmonian hubungan kaum di negara ini.

“Pada masa sama responden percaya media sosial boleh menjadi medan perdebatan isu perkauman tetapi menegaskan mereka tidak mudah terperangkap dengan provokasi yang cuba disebarkan segelintir pihak melalui media sosial,” katanya.

Jelasnya, dengan pengenalan Internet versi Web 3.0 dan 4.0 sedikit masa lagi, adalah mudah berita palsu untuk dikenal pasti kerana setiap artikel yang dimuat naik dalam media sosial akan dihubungkan secara automatik dengan berita lain yang mempunyai kaitan dengan topik berkenaan daripada sumber lain yang lebih sahih.

Bekas Ketua Pengarang Berita Harian, Datuk Mior Kamarul Baid Shahid berharap, orang ramai mengambil sikap berhati-hati untuk menyemak kesahihan setiap berita yang dimuat naik dalam media sosial terutama jika tidak menyebut sumber maklumat berkenaan.

“Internet ini boleh mencetuskan pelbagai suasana sama ada tegang atau tenang, jadi rakyat perlu bijak untuk memastikan mereka tidak memberikan reaksi yang keterlaluan sehingga merugikan diri sendiri dan negara,” katanya.

Blogger, Irwan Abdul Rahman pula berharap lebih banyak kempen penerangan dilakukan bagi mengubah minda masyarakat supaya menjadi lebih skeptikal dan sentiasa menyemak kesahihan maklumat yang mereka terima.

Beliau yang banyak menulis berita berbentuk satira terkejut kerana ramai yang masih percaya dengan cerita rekaannya walaupun fakta yang dimuatkan itu jelas sekali tidak benar.

“Saya sendiri hairan apabila berita satira yang saya reka seperti Perdana Menteri akan memindah Sabah dan Sarawak secara fizikal untuk berada di sebelah Semenanjung Malaysia untuk mempromosikan 1Malaysia dipercayai banyak pihak,” katanya.

Pada 2010, Irwan menjadi blogger pertama didakwa di mahkamah di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 setelah memuat naik artikel dalam blog beliau kononnya Tenaga Nasional Bhd. (TNB) akan menyaman Dana Hidupan Liar Sedunia (WWF) kerana menganjurkan kempen Earth Hour selama sejam yang merugikan syarikat itu. - Nizam Yatim Utusan Malaysia Rencana 7 Julai 2015

Tags: facebook, ict, internet, media, twitter, whatsapp
Subscribe

Posts from This Journal “internet” Tag

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments