kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Kenyataan negatif singgung sentimen rakyat

DALAM masyarakat demokratik, setiap orang bebas bersuara melalui pelbagai saluran atas tujuan tertentu. Ahli politik menggunakan pentas media cetak dan elektronik untuk menyatakan sesuatu berhubung isu semasa yang menarik perhatian umum, ahli akademik memberi pandangan berasaskan kajian dan penemuan saintifik, pakar dalam bidang tertentu diminta memberikan pendapat mereka mengenai bidang kepakaran, manakala tokoh motivasi memberi semangat dan motivasi masyarakat atau memberi nasihat mengenai sesuatu perkara.

Mereka yang sering mendapat tempat dan ruang di media adalah golongan yang popular. Mereka boleh dianggap sebagai 'selebriti' walaupun bukan artis.

Di Malaysia, tidak ramai golongan yang boleh dianggap 'selebriti.' Itulah sebabnya, orang yang sama mendapat tempat di media.

Walaupun Malaysia tidak ketandusan cendekiawan atau mereka yang boleh mengupas sesuatu isu atau permasalahan, ramai yang 'malu kepada kamera.' Mereka tidak mahu menonjolkan diri atas sebab tertentu.

Baru-baru ini seorang tetamu dalam satu program di televisyen bercakap mengenai fenomena balik kampung pada hari raya. Beliau mencadangkan supaya bagi perayaan hari raya tahun ini, umat Islam tidak perlu balik kampung atas alasan untuk menjimatkan wang.

Menurutnya, jika tidak balik kampung, mereka boleh menjimatkan kos petrol, tol dan sewa hotel. memandangkan ramai yang tidak tidur di rumah keluarga kerana tidak selesa dengan kehadiran saudara mara yang ramai.

Sedutan daripada rancangan talk show itu menjadi viral dalam media sosial. Orang ramai yang memberi komen kepada sedutan kenyataannya itu mencecah ratusan ribu orang.

Hampir semua komen dalam media sosial itu mencemuh pendapat tetamu itu.

Walaupun tetamu rancangan televisyen itu berniat baik, disebabkan kenyataannya itu dianggap bertentangan dengan semangat raya, beliau menerima kutukan yang hebat.

Pandangan tak popular dicemuh Inilah akibatnya jika seseorang memberi pandangan tidak popular dalam media khasnya yang bertentangan dengan pandangan umum.


Ada juga pandangan pemimpin politik, masyarakat, badan bukan kerajaan (NGO) yang tidak memberi kesan kepada umum disebabkan tidak ada idea baharu atau idea yang berulang-ulang.

Pandangan supaya rakyat jangan balik kampung berhari raya itu bukan saja dianggap tidak wajar dan tidak bijak, malah ia menyinggung perasaan umat Islam.

Balik kampung pada hari raya adalah tradisi yang berterusan sekian lama. Dengan menyarankan supaya umat Islam tidak balik kampung pada hari raya atas alasan untuk menjimatkan belanja dan menyesuaikan diri berikutan kenaikan kos hidup, ia hanya menimbulkan kemarahan mereka yang menonton program berkenaan.

Jika sebahagian besar umat Islam tidak pulang berhari raya di kampung, kemeriahan raya akan hilang. Di Malaysia, pulang berhari raya di kampung ibarat suatu pesta.

Lebuh raya dan jalan raya menjadi sesak tetapi meriah. Bila ada pihak cuba menyuarakan pandangan untuk mengubah tradisi pulang berhari raya di kampung, pandangan seperti itu dikecam.

Pada umat Islam, pada hari raya inilah mereka berkumpul bersama keluarga setahun sekali. Walaupun mereka sering pulang ke kampung pada hujung minggu, biasanya mereka tidak disertai keluarga yang lain.

Pada hari rayalah sebahagian besar atau semua anggota keluarga berhimpun menyambut hari lebaran bersama ibu dan bapa.

Pada hari baik ini jugalah ibu bapa menunggu kehadiran anak mereka. Hanya mereka yang bertugas mungkin dikecualikan daripada balik kampung pada hari raya.

Rakyat makin bijak menilai

Kebelakangan ini, banyak kenyataan tidak popular disuarakan oleh seseorang di media arus perdana dan media sosial.

Pandangan tidak popular biasanya bertentangan dengan hasrat dan cita rasa majoriti masyarakat.

Tidak kira sama ada menteri, timbalan menteri, pegawai tinggi kerajaan, ahli korporat, NGO atau pemimpin politik, mereka tidak boleh membuat sebarang kenyataan tanpa memikirkan implikasinya.

Dalam dunia kebebasan media hari ini, setiap kenyataan perlu difikirkan semasak-masaknya sebelum diutarakan kepada umum.

Mereka perlu tahu sentimen majoriti rakyat berhubung isu yang mereka cakapkan. Jika kenyataan itu bertujuan untuk memujuk atau mempengaruhi pemikiran rakyat, alasan yang hendak disampaikan mestilah kukuh.

Mereka tidak boleh menganggap pemikiran rakyat hari ini sama dengan pemikiran 20 atau 30 tahun lalu.

Mereka tidak seharusnya bercakap berasaskan pemikiran sendiri tanpa mengambil kira sikap rakyat terhadap sesuatu isu.

Jika mahu memberi maklumat mengenai sesuatu isu, mereka mesti arif dalam bidang berkenaan.

Jika tidak, kenyataan mereka itu akan dipermainkan di media sosial.

Tokoh yang boleh mempengaruhi pendapat umum adalah mereka yang mempunyai pengikut dan mempunyai kewibawaan tersendiri.

Mereka yang tidak mempunyai kredibiliti untuk bercakap mengenai sesuatu isu, tidak memberi kesan kepada pemikiran masyarakat.
Tags: sensitif
Subscribe

Posts from This Journal “sensitif” Tag

  • Sensitif terhadap hal-hal sensitif

    TINDAKAN Pengerusi Lembaga Pengurusan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC) Nan Ya, Phang Ah Ngah dan Guru Besar, Chiew Swee Tuan meminta maaf secara…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments