kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Bertuahnya jadi warga asing

TIDAK sampai seminggu lagi umat Islam termasuk di Malaysia, akan menyambut Hari Raya Aidilfitri. Malangnya semakin dekat hari lebaran yang sepatutnya diraikan dengan penuh kegembiraan, semakin banyak pula kes kemalangan maut yang dicatatkan.

Saban tahun setiap kali tiba musim perayaan, nahas jalan raya semacam menjadi wayang lama yang diulang siar. Kisah kereta atau lori hilang kawalan, terbabas, memasuki laluan bertentang­an, merempuh kenderaan yang sedang berhenti di lorong kecemasan, tidak sempat mengelak kenderaan yang datang ketika cuba memotong lalu bertembung – rata-ratanya berakhir dengan maut atau menemui ajal.

Lebuh raya dan jalan raya bagaikan pusara tak bernisan.

Di mana silapnya? Apakah puncanya? Hendak dikatakan tidak ada kempen, setahu Awang sudah berkali-kali diingatkan agar berhati-hati memandu terutama semasa musim perayaan. Maklumlah ketika itu, jumlah kenderaan mening­kat mendadak. Semuanya teruja untuk pulang ke kampung.

Malangnya sekali lagi, walaupun pelbagai operasi dan kempen digerakkan, nahas ngeri dan kemalangan maut tetap berlaku dan seolah-olah tidak lagi dapat dielakkan.

Dalam hal ini, Awang setuju sangat dengan peringatan Perdana Menteri agar rakyat merancang perjalanan secara teliti terutama ketika mahu pulang beraya. Persediaan dari segi fizikal dan mental amat perlu agar pemanduan dapat dilakukan dengan cermat, berhemah dan penuh kesabaran. Maklumlah perjalanan balik kampung yang lazimnya hanya tiga empat jam mungkin memakan masa sehingga berbelas jam gara-gara kesesakan trafik.

Janganlah hanya kerana kurang sabar, hendak memintas satu dua kenderaan, nyawa dijadikan taruhan

- Awang Selamat Utusan Malaysia Rencana 11 Julai 2015
Bertuahnya jadi warga asing

PADA asalnya kehadiran warga asing di negara ini dianggap satu rahmat. Tenaga mereka disalurkan bagi memenuhi permintaan dalam sektor pembinaan dan perladangan serta pembantu rumah memandangkan rakyat kita dikatakan tidak berminat menceburi bidang pekerjaan tersebut.

Tetapi kini ekoran jumlah yang semakin bertambah dari semasa ke semasa, kehadiran warga asing bukan lagi satu rahmat malah sudah dilihat oleh penduduk tempatan ibarat ‘ancaman yang diundang’. Kelekaan kita khususnya dari segi penguatkuasaan undang-undang menyebabkan mereka berasa bertuah tinggal di Malaysia. Mereka seolah-olah bebas melakukan apa sahaja. Agensi-agensi penguatkuasaan kita begitu lemah memastikan warga asing ini tidak menjadi ‘taiko’ di negara ini.

Justeru kita tidak perlu terkejut jika mereka menguasai kawasan tertentu. Mereka menjalankan apa sahaja aktiviti tanpa halangan, malah mungkin tidak mempunyai permit atau kategori pendatang asing tanpa izin (PATI). Adakah mereka ditangkap? Adakah pihak berkuasa membuat serbuan atau operasi bagi tujuan itu? Ramai tahu jawapannya.

Bayangkan, mereka bukan sahaja boleh bekerja mencari rezeki bahkan menjalankan aktiviti yang sepatutnya tidak dibiarkan. Belum lagi mengambil kira bagaimana perlakuan atau tindak-tanduk mereka yang sering kali tidak menjaga tatasusila rakyat negara ini. Sudah tiada rasa hormat atau segan kepada rakyat tempatan.

Pergilah ke lokasi-lokasi tertentu, kita bagaikan berada di bumi asing. Kedai-kedai dipenuhi warga asing, muzik yang dimainkan dengan kuat dan perbualan yang memekakkan telinga sudah cukup menyebabkan kita berasa rimas.

Keadaan lebih buruk lagi apabila kita tinjau kehidup­an mereka di rumah-rumah kongsi di tapak pembinaan. Pelbagai masalah ada. Kongsi gelap, perjudian, kekotoran, maksiat dan sebagainya. Adakah pihak berkuasa kita pernah bertindak tegas?

Adakah pihak berkuasa kita membuat serbuan untuk memastikan tiada PATI di situ? Adakah pihak berkuasa kita pernah memeriksa persekitaran rumah kongsi tersebut bebas daripada sebarang penyakit yang boleh membahayakan rak­yat negara ini? Berdasarkan maklumat, semua itu tidak berlaku.

Inilah sebabnya kita lihat warga asing di Malaysia dilayan bukan seperti warga asing. Mereka ‘dibenarkan’ berniaga, mereka ‘diizinkan’ bekerja tanpa permit, mereka bebas berkumpul dan melakukan sesuatu yang kadang-kala mengganggu warga tempatan. Mereka boleh membawa kenderaan biarpun tanpa lesen dan paling gembira boleh menikmati siaran televisyen negara sendiri melalui parabola yang diseludup kerana maklumlah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) harus mengetahui siapa pemiliknya barulah boleh bertindak.

‘Kebebasan’ yang dinikmati itulah memungkinkan ada antara warga asing sanggup bertarung nyawa menjadi PATI asalkan dapat menjejakkan kaki ke negara ini. Mereka tidak bimbang dengan tindakan undang-undang kerana ada segelintir anggota penguat kuasa yang mengamalkan rasuah. Sogokan se­rendah RM10 pun sanggup diterima oleh kelompok tersebut.

Ini belum lagi mengambil kira perbuatan lain yang me­langgar undang-undang tetapi begitu mudah diselesaikan de­ngan ‘salam berisi’. Ini turut mendorong warga tempatan mengambil kesempatan menggajikan PATI. Walaupun tahu perbuatan itu salah tetapi tiada apa yang hendak dikhuatirkan kerana ‘ufti’ bagi ‘setiap kepala’ PATI itu boleh diuruskan mela­lui segelintir anggota penguat kuasa yang korup.

Oleh itu kita tidak perlu teruja kalau ada PATI yang ditangkap kerana percayalah jumlahnya boleh dikira dengan jari berbanding ramai lagi yang ‘bebas’ di negara ini. Kesudahannya kita saksikan, kebanjiran warga asing yang tidak terkawal. Mereka pasti berasa lebih bertuah apabila jumlah sedia ada meningkat jika kerajaan meluluskan tambahan 1.5 juta orang lagi warga asing ‘demi’ keperluan sektor pekerjaan. Mungkin ada antara 1.5 juta itu sudah ada saudara mara di negara ini, maka Malaysia akan menjadi tempat ‘jejak kasih’.

Sememangnya kita memerlukan tenaga warga asing dalam sektor tertentu, tetapi janganlah biarkan kehadiran mereka melimpah-ruah sehinggakan di mana-mana sahaja waima di Hulu Tembeling sekalipun kita boleh melihat muka mereka dan lebih malang lagi mereka bebas melakukan apa sahaja kerana ‘segalanya bisa diatur’. - Zulkiflee Bakar Utusan Malaysia Rencana 11 Julai 2015

Tags: aidilfitri, pati
Subscribe

Posts from This Journal “pati” Tag

  • Kebanjiran imigran membimbangkan

    PERTEMBUNGAN budaya memang telah berlaku di seluruh dunia sejak nenek moyang hingga kini akibat daripada penghijrahan imigran-imigran luar yang…

  • Mereka untung, kita dapat apa?

    BETULLAH warga asing ada di mana-mana saja di pelosok negara ini. Dari berstatus pelajar, menjadi pekerja sehinggalah pengemis. Warga asing sudah…

  • Bagaimana identiti negara maju kita?

    Kalau dihitung, bukan jauh sangat jarak masa untuk Malaysia berada di ambang tahun 2020. Sudah dekat. Kira-kira empat tahun enam bulan sahaja lagi.…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments