kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

‘Perang’ dengan kampung jiran, Meriam gelugu warisan Sabak Bernam

‘Perang’ dengan kampung jiran

SATU
perkara yang paling mengghairahkan ketika tibanya Ramadan apabila kumpulan kanak-kanak atau remaja lelaki di sesebuah kampung berpakat dan membentuk ‘batalion artileri’ untuk ‘berperang’ dengan kampung sebelah pada malam hari.

Selepas sahaja selesai solat sunat tarawih, (itupun jika ada yang benar-benar pergi), kumpulan ini akan bersiap-siaga di kubu untuk mula meledakkan meriam buluh masing-masing.

Tujuannya, untuk melihat meriam buluh buatan anak kampung mana yang paling kuat. Jika kuat dan hebat, maka mereka akan dikagumi tetapi jika sebaliknya, hanya akan menjadi bahan ketawa sahaja.



SEKUMPULAN remaja bermain meriam buluh yang menjadi tradisi setiap kali bulan Ramadan. - YouTube

Menyingkap memori ketika zaman kanak-kanak, Fazierul Annuar Musa, 34, yang berasal dari Rompin, Pahang berkata, kemuncak ‘peperangan’ antara kampung biasanya akan berlaku seminggu sebelum tibanya Hari Raya Aidilfitri. Lebih meriah dua tiga malam sebelum itu.

“Boleh dikatakan, ketika itu, satu kampung bergegar. Ada yang berlarutan sehingga lewat malam. Dahsyat juga apabila letupan meriam buluh disahut pula dengan letupan meriam dari kampung sebelah.

“Namun, itulah suasana yang membangkitkan kemeriahan setiap malam Ramadan, lebih-lebih lagi pada malam Aidilfitri. Kenangan itu pasti tidak akan dilupakan oleh sesiapa juga,” katanya.

Fazierul Annuar berkata, semasa di tingkatan empat, beliau masih ingat satu malam Ramadan, selepas berbuka puasa dan menunaikan solat tarawih, dia dan enam lagi rakannya berkumpul di ‘pangkalan’ untuk memulakan peperangan dengan tiga lagi kampung jiran.

Pada mulanya, hanya letupan kecil-kecilan kedengaran dari kampung sebelah dan ia tidak diendahkan kerana itu hanyalah dianggap sebagai ‘pembuka’ suasana.

“Kumpulan kami kali ini cuba untuk melawan satu kumpulan lain dari kampung sebelah yang terdiri daripada rakan-rakan sekolah juga. Mereka ini memang terkenal kerana mampu membuat meriam yang meletup kuat iaitu terkuat di antara kampung-kampung lain.

“Boleh dikatakan tiada yang dapat menandingi mereka buat masa itu. Meriam buluh mereka ketika itu yang paling kuat sehingga kadang-kala membuatkan kampung lain tidak mampu membalas dentuman meriam buluh sendiri kerana berasa malu,” katanya.

Oleh sebab itu katanya, ada kampung yang berpakat dengan kampung lain untuk melawan dengan kampung yang sukar ditandingi itu.

Katanya, peperangan berlarutan sehingga pukul 3 pagi pada ketika itu. Semuanya gara-gara setiap kumpulan mahu menunjukkan kehebatan dan kepakaran masing-masing mempamerkan meriam buluh paling dahsyat sekali.

Tambah Fazierul Annuar, itu merupakan nostalgia ketika zaman remajanya yang paling manis ketika melalui bulan Ramadan sama seperti kebanyakan kanak-kanak dan remaja lelaki lain terutama yang tinggal di kawasan kampung.

“Ketika itu, ramai yang pakar membuat meriam buluh. Tetapi pelik juga kenapa zaman sekarang banyak kejadian-kejadian tidak diingini berlaku apabila kanak-kanak bermain meriam buluh atau mercun.

“Mungkin mereka ini tidak cukup ‘ilmu’ membuat meriam buluh yang betul. Kemungkinan juga mereka hanya belajar dari pembacaan dan tiada yang benar-benar pakar untuk menunjukkan cara yang betul dan selamat untuk membuatnya,” katanya.


Meriam gelugu warisan Sabak Bernam

JIKA
Kuala Kangsar terkenal dengan Meriam Talang, di Sabak Bernam pula popular dengan meriam batang kelapa atau dalam bahasa Jawa, meriam gelugu.

Meriam batang kelapa merupakan warisan zaman berzaman yang menjadi tradisi di Kampung Parit Baru, Sabak Bernam, Selangor setiap kali menjelangnya Ramadan dan terutama pada malam Hari Raya Aidilfitri.


MERIAM batang kelapa popular di Sabak Bernam dimainkan setiap kali tibanya Ramadan dan kemuncaknya adalah ketika menjelang malam raya.

Pada masa itu, orang kampung terutama anak-anak muda akan bergotong-royong membuat persediaan sebelum meriam batang kelapa itu dibedil pada malam raya.

Menurut anak jati Kampung Parit Baru yang juga Ahli Parlimen Belia Malaysia, Mohamad Hakim Mohd. Nor, tugas pertama dilakukan orang kampung adalah mencari batang kelapa yang sesuai untuk dijadikan meriam.

“Pokok kelapa yang telah ditebang akan dibelah menjadi dua dan kemudian dibahagian tengahnya akan dikorek seperti lubang. Kemudian, kedua-dua batang kelapa itu dicantum semula dan diikat dengan kuat menggunakan buluh yang lembut atau tali tebal.

“Satu lubang pencucuh akan ditebuk pada pangkal batang kelapa. Cara menyalakannya sama sahaja seperti bermain meriam buluh,” katanya.

Katanya, tradisi meriam kelapa itu dikatakan berasal dari Jawa dan menjadi aktiviti anak tempatan di kampung itu dan kawasan sekitar Sabak Bernam setiap kali Ramadan dan menjelangnya Syawal dengan cara menyusun sehingga enam batang meriam sebelah-menyebelah sebelum acara membedil bermula.

Beliau berkata, pada malam raya, satu pertandingan akan diadakan bagi mencari meriam yang paling kuat berdentum.

Mohamad Hakim berkata, meriam batang kelapa mempunyai cara pembuatan yang sama dengan meriam karbait yang begitu popular dimainkan setiap menjelang Syawal di Pontianak, Kalimantan.

“Mengikut sejarah, kampung ini pernah membuat sehingga 40 batang meriam kelapa dalam persiapan menjelang Syawal. Aktiviti ini mengisi masa lapang anak muda di waktu siang dan juga selepas solat sunat tarawih,” katanya.

Katanya, aktiviti tradisi itu bukan sahaja dimainkan oleh golongan muda tetapi juga mereka yang sudah berumur dan mempunyai pengalaman dalam pembuatan meriam batang kelapa.

Tags: perang
Subscribe
  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments