kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Kenangan ‘perang’ meriam buluh, Kenangan mencuit hati

Kenangan ‘perang’ meriam buluh

SETIAP kali tiba bulan Ramadan, suasana sekitar kampung-kampung pasti akan ‘bergegar’.

Bukan dek kerana gempa bumi atau apa, tetapi kerana dentuman meriam buluh membelah suasana malam di bulan yang penuh dengan 1,000 kemuliaan ini.

Bagaikan perang, keadaan kampung-kampung pasti akan gamat dengan bunyi letupan bertalu-talu hasil bidikan meriam buluh buatan sendiri.

Malah ada yang bersaing sesama sendiri atau di antara kampung-kampung untuk menyaksikan meriam buluh siapa yang paling kuat dan dahsyat.

Itu adalah nostalgia bagi generasi yang lahir pada 1980, 1990-an atau yang terdahulu.

Keadaan itu sebenarnya membangkitkan rasa kemeriahan berpuasa umat Islam terutama yang tinggal di kawasan kampung. Tidak sah sekiranya tiada bunyi dentuman meriam buluh di hujung kampung ketika Ramadan menjelma.

Yang peliknya, pada masa itu jarang pula kita dengar berita mengenai kanak-kanak tercedera putus jari, tangan, buta mata dan sebagainya ketika bermain meriam buluh atau mercun buatan sendiri.

Kini, permainan meriam buluh dan mercun diharamkan oleh kerajaan ketika musim perayaan memandangkan kerap berlaku insiden kemalangan yang tidak diingini terutama terhadap kanak-kanak.

Walaupun masih kedengaran dentuman meriam buluh yang dibuat sendiri kanak-kanak mahupun orang dewasa ketika ini, ia sebenarnya lebih mendatangkan bahaya apabila ada sahaja berita-berita kemalangan yang tidak ingini berlaku.

Apa pun, bagi generasi sebelumnya, kenangan bermain meriam buluh ketika bulan puasa sudah pasti meninggalkan nostalgia yang tidak akan dilupakan, apatah lagi bagi kanak-kanak dan remaja lelaki ketika itu.

Lebih mencuit hati ketika itu apabila ada yang begitu bersungguh-sungguh membina meriam buatan sendiri menggunakan kreativiti yang tidak terjangkau dek akal.

Walaupun meriam buluh merupakan permainan tradisi, wujud juga tradisi permainan meriam yang menggunakan bahan lain seperti batang kelapa dan besi yang digunakan untuk menggamatkan suasana malam Ramadan dan Syawal.

Wartawan S2, FAIZAH IZZANI ZAKARIA mengimbau semula nostalgia bermain meriam buluh dalam kalangan generasi terdahulu yang pastinya akan sentiasa terpahat sebagai kenangan terindah menyambut Ramadan dan Syawal.

Utusan Malaysia Rencana 11 Julai 2015
Kenangan mencuit hati


SELAIN meriam buluh, bermain bunga api juga merupakan saat yang paling dinanti-nantikan kanak-kanak.

BAGI bekas pensyarah, Profesor Dr. Zainal Abidin Abd. Aziz, pengalaman bermain meriam buluh yang dihasilkan sendiri ketika zaman kanak-kanak merupakan kenangan yang tidak akan dilupakan.

Katanya, beliau mula bermain meriam buluh seawal usia lima tahun bersama-sama dengan bapa saudaranya.

Beliau yang berasal dari Kuala Kangsar, Perak berkata, menginjak ke usia sembilan tahun, beliau mula membina sendiri meriam buluh bersama rakan-rakannya.

“Saya pergi dengan rakan-rakan sebaya mencari buluh untuk dibuat meriam. Masing-masing bawa parang pergi ke perdu buluh. Memang sudah tahu tempat di mana hendak dicari buluh Aur,” katanya kepada S2.

Katanya, bermain meriam buluh sememangnya ada risiko dan bahaya. Pernah beliau mendengar cerita ada seorang budak pernah tersepit alat sulit apabila meriam buluh yang dimain pecah setelah meletup.

Namun, katanya, beliau sendiri tidak mempercayai cerita itu kerana ia pasti direka oleh orang-orang tua hanya untuk menakut-nakutkan kanak-kanak yang bermain sahaja.

“Tetapi pernah berlaku pada rakan saya, sewaktu dia mencucuh api pada meriam itu, meriamnya tidak meletup lalu diintainya ke dalam lubang meriam itu melalui lubang pencucuh. Dia nampak ada api di dalam meriam itu. Namun nasibnya tidak baik ketika itu, meriam itu meletup.

“Habis mukanya disambar api letupan sehingga terang bulu kening dan bulu matanya. Mujur mata tiada apa-apa. Selepas itu, dia serik untuk bermain meriam buluh lagi,” katanya.

Menceritakan kenangan mencuit hati, Zainal Abidin berkata, pernah satu ketika sedang bermain meriam buluh, beliau disapa oleh seorang anggota polis yang sedang meronda di kawasan kampungnya.

“Ketika itu bermain meriam buluh memang salah. Kadang-kadang polis ada meronda ke kampung saya menangkap orang bermain meriam buluh. Ada suatu hari, tiba-tiba saya ternampak polis di belakang saya. Tak sedar bila masa dia datang. Nak lari sudah tak sempat. Dalam hati sudah menggelabah tak tahu nak buat apa. Masa itu, ayah saya tiada di rumah.

“Lalu polis itu bertanya kepada saya sedang buat apa. Jadi, tanpa selindung saya pun mengaku sedang bermain meriam. Saya beritahu saya sedang buat meriam katak. Lalu dia tanya kenapa dipanggil meriam katak. Saya kata, sebab ia melompat seperti katak,” katanya.

Tambahnya, beliau menyangkakan polis tersebut akan menangkapnya tetapi kemudiannya dia berlalu pergi begitu sahaja.

Subscribe
  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments