kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Tradisi di seluruh Nusantara, Acara wajib Kampung Talang setiap tahun

SELAIN meriam buluh yang dimainkan setiap kali tiba bulan Ramadan, ada satu lagi keunikan dalam tradisi ini yang mungkin ramai masih tidak tahu.

Jika anda berkunjung ke Kuala Kangsar pada bulan Ramadan, pasti akan mendengar meriam Kampung Talang yang sentiasa menjadi buah mulut ramai orang.

Ini kerana meriam Kampung Talang telah menjadi popular kerana keunikan yang lain dari meriam buluh yang biasa dimainkan oleh kanak-kanak atau remaja.

Kisah meriam Kampung Talang ini bukan hanya diketahui oleh penduduk sekitar Kuala Kangsar tetapi sudah tersebar luas ke peringkat global apabila ia mula disiarkan di laman YouTube.

Meriam Talang menjadi tradisi yang wajib dilaksanakan pada malam menjelang hari raya setiap tahun. Umpama pesta cahaya, beberapa pasukan berentap menghasilkan bunyi meriam besi yang paling kuat.

Tradisi itu kini menjadi antara tarikan pelancong dari dalam dan luar negara paling popular di Perak.



TRADISI bermain meriam di Kampung Talang.

Menurut Pegawai Perhubungan Majlis Perbandaran Kuala Kangsar, Zunainah Zulkifli (gambar), tradisi tersebut menjadi antara tarikan pelancong paling popular di Kuala Kangsar dan juga Perak.



Zunainah Zulkifli

Katanya, ia biasanya dimainkan pada malam menjelang Hari Raya Aidilfitri.

Beliau berkata, apa yang lebih menarik adalah meriam-meriam tersebut disusun sebaris dan ditembak bagi melawan meriam buluh buatan kampung di sekitarnya.

“Keadaan seperti peperangan tetapi itu adalah tarikan yang tidak ada di tempat lain. Ramai yang datang untuk menyaksikan sendiri acara itu setiap tahun,” katanya.

Mengikut tradisi, meriam Talang diperbuat daripada buluh sejak 1930-an lagi, namun seiring dengan peredaran zaman, pembuatannya kini ditukar dengan menggunakan besi penyedut pasir yang lebih tahan lasak dan selamat.

Kebiasaannya, pada malam Aidilfitri, beberapa pasukan yang mewakili kawasan masing-masing di sekitar Kampung Talang bersedia menggegarkan suasana malam di Kuala Kangsar.

Mereka turut mengecat meriam besi yang bakal digunakan mengikut kreativiti mewakili kumpulan masing-masing.

Tembakan meriam tersebut biasanya dilakukan di tengah-tengah sawah padi dan jauh dari kediaman penduduk kampung.


Tradisi di seluruh Nusantara

MENGIKUT kajian penyelidik warisan Melayu, permainan meriam ketika sambutan hari raya sebenarnya dimulakan oleh tentera laut zaman dahulu yang tidak dapat pulang beraya di kampung.



MERIAM Karbit yang menjadi tradisi di Pontianak, Kalimantan mirip kepada meriam buluh yang sering dimainkan di Malaysia.

Apabila mereka terpaksa menyambut hari raya di atas kapal dan di tengah lautan maka mereka mula membedil meriam bagi memeriahkan keadaan dan menghilangkan kesunyian.

Menurut Pengasas Komuniti Keris Warisan, Johan Iskandar, permainan meriam di darat pula terjadi selepas zaman peperangan bertujuan mencari, memberi isyarat atau memanggil orang kampung lain.

Namun begitu, permainan meriam terutamanya yang menggunakan buluh ini bukan sahaja dimainkan di Malaysia tetapi juga di negara lain merangkumi kawasan Nusantara dan juga di negara Eropah.

Permainan ini juga sudah lama menjadi adat oleh penduduk di Pontianak, Kalimantan Barat yang rata-ratanya terdiri daripada keturunan Melayu.

Tradisi dikenali sebagai Meriam Karbit menjadi acara tahunan yang disambut pada setiap malam terakhir Ramadan.

MERIAM buluh juga menjadi tradisi bagi perayaan Kanyong Kawayan yang disambut di Filipina.

Festival Meriam Karbit itu disambut secara besar-besaran sehingga mencecah sebanyak 250 meriam yang berukuran besar.

Meriam karbit diperbuat daripada kayu besar berdiameter sekitar 50 hingga 100 sentimeter dan panjang mencecah antara empat hingga tujuh meter dan mempunyai lubang di bahagian tengah bagi memudahkan api dinyalakan untuk menembak meriam.

Cara pengendaliannya mirip kepada meriam buluh yang biasanya dimainkan di Semenanjung Malaysia, namun apa yang membezakannya adalah saiz yang begitu besar sehingga menghasilkan kesan letupan yang kuat.

Menurut laman blog Wisata Pontianak, kewujudan Meriam Karbit di wilayah itu sebenarnya dikatakan bagi mengusir banyak hantu pontianak atau panggilan popular di Indonesia, kuntilanak.

Pemerintah ketika itu Sultan Sayyid telah mengarahkan agar meriam-meriam dinyalakan dan ditembak bagi mengusir hantu-hantu itu dan daripada itulah ia menjadi tradisi pada setiap sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Malah, tradisi menembak meriam buatan sendiri bukan sahaja dilakukan di sekitar rantau Nusantara, tetapi juga di negara-negara Eropah bagi meraikan sesuatu peristiwa atau perayaan.

Contohnya, masyarakat di Belanda juga mempunyai tradisi menembak meriam yang diisi dengan karbait pada setiap kali menyambut tahun baharu.

Tradisi yang sama juga dilakukan di Filipina yang menjadikan tembakan meriam buluh sebagai penyeri semasa sambutan tahun baharu masyarakat di negara itu.

Subscribe

  • Mitos Malas dan Memilih Pekerjaan

    Satu ketika baru-baru ini, terpapar satu isu yang mengatakan bahawa rakyat Malaysia adalah pemalas dan memilih pekerjaan. Tokoh-tokoh…

  • Jangan suka menyalahkan orang lain

    Apa yang berlaku di pembukaan sidang Parlimen baru-baru ini bukanlah perkara baru yang diharapkan. Wakil pilihan rakyat dari kedua-dua pihak…

  • Sukarnya untuk bersikap baik di dunia ini

    Adalah sukar untuk menjadi baik di dunia di mana semuanya telah banyak berubah termasuk nilai peribadi, norma tradisional, integriti dan kesaksamaan…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments