kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Bisik Awang Selamat

RAHSIA BANK...

Negara yang hebat kedudukan ekonominya mempunyai undang-undang kerahsiaan bank yang ketat. Tanpa undang-undang kerahsiaan yang tegas,  tiada pelabur akan percaya kepada sistem perbankan dan kewangan negara itu.

Di Amerika Syarikat, undang-undang sedemikian wujud, sentiasa dikuatkuasakan dan menjadi simbol keteguhan ekonomi.

Di Singapura, Awang dapat tahu, jika ada mana-mana bank atau pegawai bank  memecahkan kerahsiaan pelanggan dengan membocorkan maklumat kewangannya, di bawah undang-undang republik itu, individu berkenaan boleh didenda sehingga S$125,000 (RM350,878) atau dipenjara sehingga tiga tahun. Di sana, bank-bank yang melakukan kesalahan tersebut boleh didenda sehingga S$250,000 (RM701,000) bagi setiap kes maklumat yang dibocorkan.

Malaysia turut mempunyai undang-undang seumpama itu yang diliputi di bawah Akta Bank Negara Malaysia 1958, Akta Perbankan dan Institusi-Institusi Kewangan 1989 dan Akta Bank Islam 1983. Hukuman di Malaysia untuk kesalahan membocorkan maklumat peribadi dan kewangan agak minimum iaitu hanya setakat denda RM40,000 atau penjara sehingga tiga tahun.

Perkembangan semasa yang berlaku sejak akhir-akhir ini menunjukkan integriti sistem perbankan dan obligasi kerahsiaan bank-bank sedang dicabar oleh sesetengah pegawai bank yang tidak amanah sehingga terjadi kes transaksi dan maklumat perbankan rakyat negara ini disalahgunakan hingga  jatuh ke tangan pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab dalam laman web dan akhbar asing.

Awang sangat berharap suatu langkah drastik dan punitif disegerakan bagi menangani isu ini. Bank Negara Malaysia dan pihak-pihak berkuasa wajib menguatkuasakan undang-undang kerahsiaan perbankan yang telah sedia wujud di Malaysia sebelum keyakinan pendeposit, pelabur dan rakyat terhakis.

Ini kerana, sekali orang ramai telah hilang kepercayaan terhadap sifat amanah bank-bank, akan berlaku pengaliran wang keluar dari Malaysia untuk disimpan di bank-bank di seberang laut. Ekonomi negara kita kelak akan menerima tamparan maut daripada perbuatan tidak amanah pegawai-pegawai bank terbabit yang setakat ini nampaknya seolah-olah terlepas tanpa dihukum.
         
JERAT MENGENA

Jerat DAP dan media tertentu antaranya Sarawak Report dan The Edge dalam isu IMDB yang mereka cetuskan awal lagi - sudah mengena. Setelah isu tersebut panas dan pelbagai dakwaan yang berat dilemparkan sehingga membentuk satu lagi gelombang persepsi untuk menolak kerajaan dan Perdana Menteri, Najib Tun Razak, DAP ubah strategi. Pemimpin-pemimpin utamanya terutama Tony Pua tidak lagi lantang walaupun ghairah memainkan isu tersebut sebelum ini. Awang sebut gelombang kedua kerana gelombang pertama untuk menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN) diterajui Islam dan Melayu pada 2013 gagal meskipun dilimpahi fitnah dan tohmahan.

Mengapa DAP kurang lantang? Pada Awang mudah, Melayu kelihatan sudah berbalah dan saling tidak mempercayai. Najib pula seolah-olah sudah dihukum walaupun belum dibuktikan bersalah. Malah fakta-fakta yang digunakan dalam dakwaan, berubah-ubah dan makin meragukan. Beberapa demonstrasi jalanan sudah dirancang bermula Aidilfitri ini bagi memercikkan api sentimen kebangkitan rakyat ekoran laporan tuduhan Wall Street Journal (WSJ) ke atas Perdana Menteri. (Najib telah memulakan proses tindakan menyaman WSJ).

Hakikatnya, daripada agenda parti tertentu dengan bantuan pihak luar kini diterjemahkan kepada gerakan rakyat menolak BN di luar proses demokrasi - ala rampasan kuasa. Awang dapat tahu konspirasi untuk menjatuhkan Perdana Menteri melibatkan beberapa pemimpin pembangkang, yang turut bertemu di dua negara jiran bagi mengatur gerakan dengan disertai sama media asing. Awang percaya sebab itulah Presiden Pas, Hadi Awang tidak ikut rentak DAP. Sebaliknya beliau mempertahankan Najib yang dikhuatirinya menjadi mangsa konspirasi. Sememangnya, ia dalam kerangka percaturan besar sebagaimana yang membadai negara Islam seperti Iraq, Libya, Syria dan Yaman. Bangkai gajah masakan bisa ditutup dengan nyiru, lambat-laun lebih banyak akan terbongkar.

ROMBAKAN KABINET?

Spekulasi rombakan Kabinet kembali diperkatakan, kali ini lebih kuat arusnya - selepas Hari Raya Aidilfitri. Pelbagai versi berlegar dan beberapa menteri dan tokoh dikaitkan. Antara yang menarik perhatian Awang ialah Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional  (BBNBC), Shahrir Samad. Beliau disebut-sebut bakal dilantik menduduki semula Kabinet ke portfolio kanan.

Shahrir adalah tokoh yang berpengaruh, disegani ramai dan berpengalaman luas yang boleh membantu Kabinet terutama dalam menghadapi situasi politik yang mencabar kebelakangan ini.

Shahrir mungkin tidak selesa nama beliau menjadi mainan spekulasi yang belum pasti kesahihannya tetapi itulah resam dunia politik, yang terdedah kepada apa sahaja.

Tidak terlepas menjadi perhatian Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Shafie Apdal yang dijangka bertukar potfolio. Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Rahman Dahlan pula disebut-sebut dilantik Menteri Komunikasi dan Multimedia sementara Shabery Cheek akan menerajui kementerian lain. Dua lagi menteri dijangka digugurkan, salah seorang akan ditawarkan sebagai pengerusi sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC). Jawatan Menteri Sumber Hijau dan Alam Sekitar, G. Palanivel kemungkinan dikosongkan buat sementara sehingga pemilihan semula MIC September depan. Jika itu terjadi, seorang menteri lain akan memangku jawatan tersebut.

Rombakan kali ini juga dijangka menyaksikan setidak-tidaknya dua muka baharu untuk jawatan timbalan menteri. Awang difahamkan, perubahan akan turut berlaku bagi jawatan tertentu di ibu pejabat UMNO.

Di negara jiran Indonesia, Presidennya, Joko Widodo (Jokowi) juga bertekad mahu merombak Kabinetnya walaupun masih agak baharu. Jokowi secara terbuka mahukan orang yang setia kepadanya dan berwibawa di kaca mata rakyat, yang beliau akui sesuatu yang sukar dicari calonnya. Biar sesulit mana sekalipun, akhirnya Presiden mahupun Perdana Menteri akan membuat penentuan.

Najib kerap dikritik sebelum ini kerana terlalu menjaga hati orang dan berhati-hati dalam melakukan rombakan Kabinet terutama ke atas menteri yang lesu dan tidak proaktif. Tetapi itulah pendekatan beliau yang suka memberi peluang menambah baik diri kepada semua anggota Kabinetnya. Kali ini, senario politik berubah, Najib tidak boleh ambil mudah. Maka beliau perlukan pasukan baharu yang bukan sahaja dinamik malah komited menyokongnya dalam saat-saat yang sukar dan ketika berdepan krisis.

Ia juga mesej jelas kepada semua bahawa beliau mahu bangkit daripada dugaan politik yang dihadapi terutama berkaitan isu 1MDB. Malah kemungkinan Najib membuat perubahan drastik tidak boleh ditolak. Mana tahu ada kejutan lebih besar, kita tunggu.

BUKIT GOH

Belum pun reda isu pencemaran dan pemerkosaan alam sekitar di Cameron Highlands, tercetus satu lagi isu yang membimbangkan iaitu perlombongan bauksit di Felda Bukit Goh, dekat Kuantan. Awang menjunjung kasih ke atas Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Ahmad Shah atas pendedahan dan teguran baginda terhadap aktiviti perlombongan di situ.

"Saya tidak mahu kejadian sama di Cameron Hihglands berulang di Felda Bukit Goh,'' tegas baginda. Apa yang dititahkan baginda sudah pun menjadi keresahan penduduk sekitar dan aktivis alam sekitar. Sebab itu, ramai lega apabila Tengku Abdullah bersuara. Awang sudah tidak larat geleng kepala. Sudahlah isu kemusnahan Cameron Highlands yang masih belum nampak penyelesaiannya kini timbul ancaman pencemaran lain, juga di Pahang. Memalukan.

Maka terpacullah soalan biasa - siapa harus bertanggungjawab, agensi penguat kuasa berkenaan tidurkah, wujud penyakit rasuah atau agaknya tauke-tauke yang lebih berkuasa? Tidakkah kerajaan negeri dan agensi pusat tertentu ambil iktibar apa yang telah berlaku di Cameron Highlands, entahlah.

Selepas usaha untuk selamatkan daerah peranginan itu, satu lagi seruan memanggil kita semua untuk menyelamatkan Felda Bukit Goh. Bangkitlah melawan sang pemusnah atau sesiapa sahaja yang bersubahat. Kegagalan dan kelemahan yang berlarutan adalah juga sabotaj kepada alam sekitar.           

SILAPNYA DI MANA?

Awang tidak berniat mahu membesar-besarkan isu berikut tetapi itulah realitinya. Berdasarkan pengamatan setakat ini, hiasan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri di banyak pusat beli-belah dan hotel ternama, tidaklah menambat hati.

Berbanding dua perayaan lain yang biasanya ditampilkan secara gah, ternyata hiasan suasana sambutan Aidilfitri di lobi-lobi premis berkenaan dibuat sekadar melepas batuk di tangga.  Awang melihat ini sebagai bukti tidak sensitifnya pengurusan hotel dan pusat beli-belah selain penghakisan kepada budaya penduduk majoriti iaitu Melayu dan bumiputera beragama Islam di tanah air ini. Perayaan minoriti kelihatan seperti lebih dominan.

Bukan itu sahaja, program penceriaan dan hiasan sambutan Aidilfitri di kawasan tumpuan ramai di Kuala Lumpur juga hambar, tidak sebagaimana perayaan tertentu. Awang cukup terganggu sambil tertanya-tanya apa sudah jadi termasuk kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Silapnya di mana?

MAAF ZAHIR BATIN

Dengan tinggal lima hari lagi, umat Islam akan menyambut Hari Raya Aidilfitri. Masa berlalu dengan cepat. Awang terasa sayu kerana bulan Ramadan yang mulia, akan menutup tirainya. Semoga segala ibadat dan amal sepanjang Ramadan ini diterima dan diberkati Allah SWT. Awang mengambil kesempatan ini mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua. Juga terima kasih atas sokongan para pembaca yang begitu istimewa buat Awang.

Pasti tiada nilai dan makna tanpa memohon kemaafan atas segala salah dan silap. Kita tidak tahu apa yang akan berlaku akan datang. Manalah tahu, Awang tidak berpeluang untuk menzahirkan ucapan yang sama dalam ruangan ini pada sambutan Ramadan dan Aidilfitri akan datang. Jadi ucapan kali ini, Awang mahu sematkan di hati sedalam-dalamnya tanda kasih sayang buat seluruh pembaca. - Awang Selamat Utusan Malaysia Rencana 12 Julai 2015

Tags: isu
Subscribe

Posts from This Journal “isu” Tag

  • Isu Falsafah dan Isu Semasa

    Menteri Pelajaran Dr Maszlee Malik di petik di Twitter pada 25 September, bahawa pelajar universiti awam perlu mengambil 'Falsafah dan Isu…

  • Roket Mahathir dan Najib

    DAP DIMINTA JAGA TEPI KAIN SENDIRI AKHBAR Nanyang Siang Pau bertarikh 7 April 2015 menyiarkan artikel mengenai kerisauan DAP berhubung keputusan…

  • Hidup atas isu, kontroversi

    Banyak kebimbangan terlahir apabila 'pemaksaan' terhadap Dr. Wan Azizah Wan Ismail untuk diangkat menjadi Menteri Besar Selangor sifatnya…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments