Bergema sudah lagu sempena Ramadan dan Aidilfitri di dalam corong radio dan kompleks beli-belah. Semakin dekat terasa untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri. Mulai hari ini sudah ada yang mula bersiap untuk pulang ke kampung halaman masing-masing. Kemuncaknya pada hari Khamis depan kerana 1 Syawal dijangka jatuh pada Jumaat ini.
Dalam menyambut bulan Syawal yang bakal disambut selama sebulan dan ada yang beraya lebih daripada 30 hari, jangan kita lupa apa yang kita lakukan sepanjang bulan Ramadan ini.
Ada beberapa hari lagi dalam bulan Ramadan ini yang kita digesa merebut sebanyak-banyak pahala.
Namun pengamatan saya tertumpu pada gejala fitnah, hasutan dan perpecahan umat Melayu pada bulan mulia ini. Ingatkan dalam bulan Ramadan ini, umat Melayu akan kembali bertaut apabila melihat begitu meriah suasana di masjid dan surau.
Banyak aktiviti dijalankan seperti bergotong-royong membuat bubur lambuk, majlis berbuka puasa, solat fardu Maghrib, Isyak dan diikuti solat sunat Tarawih berjemaah.
Impian itu hanya tinggal harapan sahaja. Nampaknya dalam gelombang dan gelora masyarakat bawahan dan pertengahan yang berdepan dengan isu kehidupan semasa, pemimpin atasan pun lebih kurang sama kocakannya.
Sudah acapkali kita diberitahu tentang perpecahan umat Melayu. Melayu UMNO, Melayu Pas, Melayu serpihan Pas, Melayu PKR, Melayu DAP dan Melayu yang berkecuali, seolah-olah sukar untuk menyatu. Usah kita cakap soal perpaduan, sebab istilah itu sudah berkali-kali gagal untuk menyatukan umat Melayu.
Hakikat sekarang orang Melayu bagaikan ketandusan pemimpin agung yang dapat menyatukan semua bangsa Melayu. Belum muncul lagi pemimpin Melayu yang disegani dan dihormati untuk diangkat sebagai penyatu umat Melayu. Kalau ada pun, ia hanya disokong oleh satu golongan dan dibangkang habis-habisan kalangan yang memusuhinya.
Orang Melayu zaman 1940-an dahulu ada Allahyarham Dato’ Onn Jaafar yang mengetuai umat Melayu menentang Malayan Union tajaan penjajah British, di Indonesia ada Sukarno yang memimpin rakyatnya bangkit menentang koloni Belanda.
Sekarang siapa yang dapat kita letakkan harapan untuk menyatukan umat Melayu? Jawapannya tidak ada.
Tun Dr. Mahathir Mohamad yang memimpin Malaysia selama 23 tahun pun mengaku yang beliau gagal mengubah sikap orang Melayu. Orang Melayu sekarang semakin jauh memisahkan diri masing-masing daripada bersatu.
Apa yang Melayu sekarang ada ialah pemimpin yang menjadi batu api untuk menghasut dan menyaman pihak lain.
Golongan pemimpin jenis ini mahu menjadi jaguh dalam isu-isu tertentu, mahu kelihatan hebat supaya kedudukan namanya naik taraf. Walhal sesetengah hujah mereka penuh dengan pembohongan.
Hakikatnya, sepanjang bulan Ramadan ini banyak sangat batu api terutama dalam isu perang dingin membabitkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Najib Tun Razak.
Pemimpin dan umat Melayu memang gemar menyebar berita palsu dan fitnah.
Perbuatan adu domba dan menjadi batu api tidak lain tujuannya untuk merosakkan hubungan baik antara kedua-dua pihak.
Pendamai
Bagaikan amalan orang Melayu, apabila berlaku perselisihan antara dua pihak, maka akan ada pihak yang ingin menjadi batu api atau tukang kipas.
Tidak banyak yang kita lihat pihak yang berusaha menjadi pendamai kepada perselisihan tersebut.
Kalau dalam UMNO, dua ketua Melayu ini berselisih faham, dalam Pas juga berlaku gerakan kumpulan yang mahu menubuhkan parti serpihan.
PKR jangan cakap, memang tunggu peluang kerana pemimpin Melayunya lebih banyak sebar kepalsuan. Jadi, apa yang orang Cina dan India serta kaum lain melihat kepada pemimpin orang Melayu.
Parti politik Melayu asyik bercakaran dan tidak boleh bersatu. Ada sahaja alasan untuk mengelak daripada bersatu.
Barangkali umat Melayu yang menjadi batu api mahu melihat orang Melayu menjadi kayu api.
Ada sahaja orang Melayu menjadi bahan fitnah supaya bertambahlah teruk umat Melayu berpecah dan menjadi kayu api.
Jika tidak dihentikan gejala ini, umat Melayu akan berterusan menjadi batu api, kayu api dan akhirnya jadi arang dan debu.
Sedih apabila ada kalangan pemimpin Melayu liberal berfikiran penyatuan Melayu tidak penting berbanding menyatupadukan bangsa Malaysia, apatah lagi orang Melayu hanya bersatu disebabkan rasa cemas dan takut.
Sejujurnya, kepelbagaian latar pendidikan dan sikap orang Melayu bukanlah alasan kita tidak boleh bersatu. Tidak kira Melayu, Cina, India, Iban atau Kadazan – setiap kaum ada perasaan kasih kepada bangsanya sendiri dahulu, kemudian baru cintai negara kita Malaysia.
Sebab itu, amat penting golongan pemimpin Melayu mengamalkan sikap terbuka dan bertolak-ansur dalam perbezaan pendapat dan mengelakkan budaya fitnah.
Lima hari dari sekarang, 1 Syawal bakal menjelma, jadi eloklah kita hulurkan pengampunan daripada Allah SWT dan bermaaf-maafan sesama umat Melayu Islam di Malaysia ini supaya bersatu.
Itupun kalau mahu umat Melayu terus mentadbir bekas negara yang bernama Tanah Melayu ini. - Azman Anuar Utusan Malaysia Rencana 12 Julai 2015