kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Demam The Wall Street Journal di kampung saya

Suatu yang sangat memeran­jatkan semasa balik bercuti di kampung halaman di Perlis minggu lalu ialah fenomena The Wall Street Journal. Dalam hati berbisik, “Hebat orang kampung aku rupa-rupanya, tak gebang lagi pasai Utusan Malaysia atau Berita Harian. Depa gebang pasai The Wall Street Journal.”

Kampung Mengkuang Layar tempat saya dilahirkan, dibesarkan serta mengenal a b c dan alif ba ta. Selepas lebih 30 tahun keluar merantau, keadaan  di kampung pun sudah banyak berubah. Dari jalan tanah merah yang becak kini jalan berturap tar hingga di depan tangga. Terima kasih kepada bekas ADUN kampung saya, Shahidan Kassim yang kini Ahli Parlimen Arau. Arwah ibu saya ada memberitahu yang YB kerap melawat kampung, ada kalanya  "tumbangkan" lembu untuk menjamu orang kampung.

Setiap rumah kelihatan ada tercacak kuali Astro di atas bumbung. Anak-anak muda menikmati Internet jalur lebar yang membuka jendela diri dan pemikiran mereka kepada dunia. Semua itu tidak ada semasa saya masih di kampung 30 tahun lalu. Saya fikir mereka lebih tahu tentang The Wall Street Journal atau bilionair Cina Malaysia, Jho Low yang sangat misteri  sejak akhir-akhir ini. Cuma generasi tua sahaja yang masih menonton TV3 atau RTM. Anak-anak muda senyum sahaja bila menonton berita di TV3 atau RTM kerana sumber mereka sudah pelbagai.

Apabila surat khabar yang pernah mendapat 36 kali Pulitzer Prize itu menjadi isu sangat kontroversi di negara ini, orang tua di kampung turut mengikuti perkembangan ini di surat khabar dan televisyen. Bagaimanapun kerana isu ini amat kompleks, mereka pun tidak tahu hujung pangkalnya. Cuma yang melekat di telinga ialah  perkataan The Wall Street Journal.

Sebenarnya saya tidak berapa tahu tentang The Wall Street Journal yang mengambil nama daripada Wall Street, sebuah  financial district yang hebat di New York.

Cuma yang saya tahu selepas  Dow Jones bergabung dengan Media Corp milik taikun media, Rupert Murdoch tahun 2007,  surat khabar ini condong kepada Republikan  dan kritikal kepada Demokrat.  Sebab itu Presiden Obama selalu dijadikan sasaran.

Maka apabila orang kampung terjumpa  saya di pasar Ramadan, soalan  yang ditanya ialah betul atau tidak laporan surat khabar itu?  Saya mengangkat kedua-dua tangan. Surrender. Saya tidak tahu sama ada laporan  surat khabar yang edarannya 2.4 juta di Amerika Syarikat (AS) dan 900,000 melanggan format digital itu betul atau tidak. Saya boleh sahaja memberikan jawapan walaupun saya tidak tahu. Tetapi kerana saya bukan seperti dua tiga kerat menteri yang berlagak semua tahu walaupun siasatan sedang dijalankan, saya tidak berbuat begitu.

Pasukan penyiasat

Tetapi mereka tidak percaya yang saya tidak tahu. Mereka kata ada menteri  tahu  laporan surat khabar berusia 126 tahun itu palsu walaupun pasukan penyiasat belum kata apa-apa.   Saya katakan yang  saya tidak sehebat menteri berkenaan. Kalau tidak, saya juga sudah lama menjadi menteri.

Tetapi kalau ditanya  apa yang perlu dilakukan, saya akan kata beri kata dua  kepada surat khabar itu;  memohon maaf secara terbuka atau tunggu  tindakan undang-undang.  Ketegasan ini  dinanti-nantikan oleh rakyat. Memanglah ada hantar surat peguam tetapi Letter of Demand itu lebih kepada  meminta bukti itu dan ini, bukan memberi kata dua.

Saya tahu orang kampung  tidak berpuas hati dengan saya. Lalu mereka pun mengandaikan bahawa Utusan juga sama dengan The Wall Street Journal yang bebas menyiarkan laporan palsu.  Bab ini saya bertegas dan  beritahu  amalan di Utusan  apabila ada isu profil tinggi dan  kontroversi. Saya beritahu mereka bahawa pihak atasan pasukan editorial akan memastikan kesahihan  dan meminta wartawan mengemukakan bukti.

Kemudian meminta pandangan  penasihat  undang-undang dan panel peguam.  Bagaimanapun  kalau semuanya sahih, penyiaran diteruskan walaupun peguam menjangka akan kena saman.  Itulah cara Utusan menguruskan isu profil tinggi.

Selepas mendengar jawapan saya, mereka pun melongo  dan ternganga. Jeda seketika. Mata terkelip-kelip  dan menggeleng-geleng kepala.  Saya harap mereka  tidak kecewa kerana saya tidak menjawab soalan  tentang  demam The Wall Street Journal yang sudah melanda di kampung saya.

Kalau tiada LPF, filem kita hampas juga

Dalam satu forum beberapa tahun lalu saya pernah melontarkan provokasi bahawa kalau ditiadakan Lembaga Penapis Filem (LPF) pun sebahagian besar filem Melayu tetap hampas. Filem Melayu menjadi hampas bukan kerana LPF tetapi disebabkan terlalu banyak  lalat dan langau yang menjadikan filem Melayu kotor, beracun  dan tidak bernilai.

Mungkin dalam lima enam tahun ini filem Melayu sudah jauh berubah. Itu saya tidak pasti kerana sudah tidak berselera menonton hasil lalat dan langau dalam industri filem Melayu. Saya sudah tidak mengambil tahu tentang filem Melayu. Khabarnya ada pihak berkira-kira mahu diedar di luar negara. Saya hanya tersenyum kerana tidak tahu apakah yang mereka akan tawarkan kepada orang di luar.

Baru-baru ini LPF menam­bahkan beberapa perkara dalam garis panduan antaranya tidak dibenarkan adegan kemesraan lelaki dan wanita yang melampau. Kalau ada yang tanya melampau macam mana, tengok sahaja adegan separuh porno drama Melayu yang ditayangkan secara meluas di televisyen kita. Tetapi ada pihak kurang senang kerana menganggap garis panduan tambahan itu membantutkan kreativiti.

Mereka terlupa siapa mereka. Terlupa peranan sebagai  penerbit dan pengarah  berbangsa Melayu dan beragama Islam. Oleh kerana itu  mereka  sepatutnya tidak memerlukan LPF untuk mengawal moral karya yang dihasilkan. Mereka sendiri boleh berfikir tentang yang boleh dan tidak boleh dalam agama dan budaya. Bukankah penerbit dan pengarah itu seniman dan seniman dalam konteks kita adalah pencerah kepada seluruh masyarakat?

Sepatutnya garis panduan LPF dibuat untuk penerbit dan pengarah bukan Islam kerana mereka tidak tahu yang boleh dan tidak boleh di negara yang Islam menjadi agama persekutuan. Tetapi yang berlaku adalah sebaliknya. Ironinya ada filem diterbitkan dan diarahkan oleh bukan Islam pengisiannya jauh lebih Islamik berbanding pengarah Islam. Kenapa agaknya?  Tanyalah itu sama hud hud. - Ku Seman Ku Hussain Utusan Malaysia Rencana 12 Julai 2015

Tags: ekonomi, filem, politik
Subscribe

Posts from This Journal “filem” Tag

  • Filem berjiwa Islam perlu ditambah, Kaum Cina wajib kuasai bahasa

    Kaum Cina wajib kuasai bahasa SERING kedengaran kenyataan beberapa pemimpin negara bahawa pengambilan lebih ramai kaum bukan Melayu untuk bekerja…

  • Darth Vader menanti anda

    MINGGU depan, bermulalah tayangan filem sains fiksyen Star Wars: The Force Awakens. Sejak dua bulan ini, promosi mengenainya berada di mana-mana,…

  • Pergi ....

    Pergi tak kembali ... TIADA yang lama, tiada yang baru... Begitulah boleh diumpamakan dengan kehadiran dan kehilangan pejuang-pejuang dalam…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments