kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Bukan sebab rebut kuasa

PEMANGKU Presiden MIC, DATUK SERI DR. S. SUBRAMANIAM yakin segala kemelut yang sedang melanda MIC akan selesai selepas Mahkamah Rayuan membuat keputusan terhadap kes tersebut yang akan didengar pada 13 Julai ini.

Ketika diwawancara selama satu jam oleh wartawan Mingguan Malaysia, HAFIZAHRIL HAMID dan AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI di pejabat beliau di Putrajaya, Menteri Kesihatan itu menjelaskan masalah tersebut sepatutnya boleh diselesaikan dengan mudah dan tidak berlarutan sehingga sampai ke mahkamah sekiranya MIC mengadakan pemilihan semula seperti diminta oleh Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS).


Menurut Subramaniam, kemelut dalam MIC berlaku kerana Datuk Seri G. Palanivel mencabar keputusan ROS di mahkamah yang akhirnya menyebabkan beliau kehilangan keahlian parti kerana membawa kes itu ke mahkamah tanpa persetujuan daripada Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) parti.

“Saya ingat kalau kita boleh mengadakan pemilihan semula dan berikan masa kepada pemimpin-pemimpin baharu menguruskan parti, saya yakin semua pihak akan bersatu. Mungkin ada lima hingga 10 peratus ahli yang tidak puas hati. Tetapi yang lain semua akan bersatu dan parti pun ada harapan yang besar untuk pulih kembali kepada keadaan biasa,” kata beliau.

MINGGUAN: Keadaan agak sedikit berbeza, ada dua tokoh sedang berhadapan cabaran untuk memimpin MIC demi masa hadapan masyarakat India dan BN. Apa pengajaran yang boleh dikongsi daripada kemelut ini?

SUBRAMANIAM: Terlebih dahulu, saya ingin menjelaskan perkara ini bukan satu persaingan kuasa. Ada orang ingat ini satu perebutan kuasa. Tidak ada (perebutan kuasa) tetapi jauh daripada itu. Kalau lihat, punca masalah ini kerana ada isu dalam pemilihan MIC pada 2013. Selepas itu, ada pihak buat aduan kepada MIC dan kemudian kepada ROS. Selepas membuat siasatan, ROS meminta parti membetulkan kelemahan-kelemahan yang ada.

Dalam hal itu, ada dua pendirian berbeza daripada saya dan Palanivel. Pendirian saya adalah untuk membetulkan parti selaras dengan apa yang dicadangkan oleh ROS dan bawa parti balik kepada keadaan biasa secepat mungkin. Tetapi pendirian beliau dan beberapa orang yang lain adalah mencabar ROS seberapa banyak yang boleh sampai ke mahkamah dan selepas itu lihat apa yang berlaku sekarang. Itu yang asas. Tiada isu perebutan kuasa presiden atau apa. Langsung tidak ada. Perkara ini sudah berpanjangan sekarang. Kita sudah dalam proses ini manakala mereka sudah jalan proses itu sampai pergi ke mahkamah tinggi dan sekarang mereka membuat rayuan ke atas keputusan tersebut di Mahkamah Rayuan.

Apabila ini berlaku, memang sudah ada dua kumpulan. Satu kumpulan berpendapat bahawa apa yang mereka buat itu tidak salah. Satu lagi kumpulan tidak boleh terima apa yang dilakukan oleh kumpulan tersebut kerana membuang masa. Mengapa kamu tidak boleh cuma adakan pemilihan semula sahaja? Pemilihan semula boleh menyelesaikan masalah ini. Mengapa mahu mengambil proses yang begitu lama melalui mahkamah sampai ke tahap ini, di mana sudah wujud keadaan kecoh dalam parti. Saya kena jelaskan perkara ini kerana kadang-kadang pandangan yang diberi seolah-olah ada dua tokoh dalam parti berebut menjadi presiden dan ini punca masalah. Tidak, ini bukan puncanya. Masalah ini bukan bermula begitu tetapi permulaannya lain.

Apa yang jadi sekarang kerana kesilapan sudah berlaku dalam proses itu. Mereka sudah pergi ke mahkamah tanpa persetujuan daripada CWC. Jadi, mengikut Perlembagaan parti, mereka dengan sendirinya hilang keahlian. Perkara ini tidak ada kena-mengena dengan saya atau orang lain. Perkara ini berlaku mungkin akibat daripada proses yang dilakukan oleh kumpulan berkenaan.

Pada hemat Datuk Seri, apakah kemelut ini bukan satu isu besar?

SUBRAMANIAM: Saya ingat kalau kita boleh mengadakan pemilihan semula dan berikan masa kepada pemimpin-pemimpin baharu menguruskan parti, saya yakin semua pihak akan bersatu. Mungkin ada lima hingga 10 peratus ahli yang tidak puas hati. Tetapi yang lain semua akan bersatu dan parti pun ada harapan yang besar untuk pulih kembali kepada keadaan biasa.

Apa pandangan Datuk Seri terhadap tindakan Palanivel yang masih mengaku sebagai Presiden MIC dan mengadakan mesyuarat berasingan?

SUBRAMANIAM: Itu memang menjadi penghalang kepada proses itu. Kalau kita tidak buat perkara seperti itu, lebih cepat boleh diadakan pemilihan dan boleh membawa parti ke arah yang lebih baik. Tetapi kerana ada perkara macam ini, ia membuang masa sedikit. Tetapi saya ingat apa-apa pun selepas kes rayuan di Mahkamah Rayuan pada 13 Julai ini, perkara ini akan tamat. Apabila Mahkamah Rayuan sudah memberikan keputusan, saya berharap isu ini akan selesai dan semua perancangan boleh dibuat tanpa gangguan.

Palanivel nampaknya masih belum berputus asa dan masih menganggap dirinya Presiden parti. Mungkin ada sesuatu Datuk Seri boleh nyatakan kepada beliau?

SUBRAMANIAM: Itulah sebabnya apabila melibatkan isu tentang pentafsiran Artikel 91 Perlembagaan MIC, kita tidak buat sendiri. Walaupun ada klausa sedemikian, kita minta pandangan daripada peguam-peguam yang mempunyai pengalaman. Minta apa sebenarnya yang boleh diertikan daripada artikel ini. Mereka semua secara sebulat suara memberitahu artikel tersebut menyatakan lima orang ini yang sudah pergi ke mahkamah tanpa berbincang terlebih dahulu dengan majlis tertinggi dan bukan selaras dengan keputusan majlis tertinggi dan kemungkinan besar kehilangan keahlian dalam parti.

Ini telah diberikan penekanan lebih tinggi apabila hakim mahkamah tinggi membuat keputusan bahawa mereka yang datang ke mahkamah itu tidak mewakili parti tetapi mungkin mewakili diri mereka sendiri sahaja. Ini salah satu pandangan yang telah dikemukakan oleh hakim semasa beliau memberikan penghakiman kepada kes pada 15 Jun lalu. Jadi asas kepada itu, mereka lima orang ini telah pergi ke mahkamah untuk satu isu yang melibatkan parti pada keseluruhannya. Ini bermakna daripada artikel itu, mereka sudah hilang keahlian. Jadi, apa yang sudah difahamkan kepada kita, kita tulis dan beritahu kepada ROS apa yang berlaku dan kita maksudkan daripada perkara ini bahawa kelima-lima mereka ini sudah hilang keahlian dalam parti.

Selepas enam hari kita tulis surat, ROS memberi maklum balas kepada kita bahawa mereka mengambil maklum tentang surat yang ditulis dan Palanivel bukan ahli parti lagi. Mereka menerima bahawa saya pemangku Presiden parti dan siapa menjadi ahli CWC serta menyemak balik senarai pemimpin MIC dalam senarai mereka dan telah membetulkannya. Itu bermaksud mereka telah menerima senarai ahli jawatankuasa CWC yang dihantar oleh kami. Itu memberikan pengesahan dari segi undang-undang kepada jawatankuasa CWC itu sendiri.

Palanivel sepatutnya kena selesaikan apa-apa isu dengan ROS. Kalau tidak puas hati, kena selesaikan di peringkat mahkamah. Apabila ROS sudah buat keputusan dan beritahu orang ini yang menjadi pemimpin dalam parti dan ini keahlian mereka, kamu tidak boleh secara sendiri buat perkara yang lain kerana tidak ada asas dari segi undang-undang dan tidak diiktiraf oleh ROS. Jadi, apa dibuat oleh mereka memang kecoh dan serba sedikit menghalang proses. Kita akan teruskan juga tetapi kelajuan itu sudah kurang kerana gangguan-gangguan ini. Kita kena selesaikan satu persatu.

Berdasarkan beberapa kenyataan Palanivel sebelum ini, beliau sering mendakwa kebanyakan ketua cawangan MIC teguh menyokong kepimpinan beliau. Apakah kemungkinan ketua-ketua cawangan ini akan sabotaj dan menyebabkan berlaku konflik semasa pemilihan nanti?

SUBRAMANIAM: Dalam tempoh tiga hingga empat bulan ini, kita sudah bergerak di peringkat akar umbi dan berjumpa kebanyakan ketua cawangan, dan boleh dikatakan 70 peratus daripada mereka memahami apa yang berlaku kepada parti. Mereka memberikan sokongan secara terbuka kepada kita untuk menyelesaikan isu ini secepat mungkin. Oleh itu, pada pandangan saya, apa yang dilakukan oleh Palanivel dan mereka yang berada dalam kumpulan beliau, impaknya terhadap parti tidak berapa terkesan. Saya ingat apabila sampai ke peringkat pemilihan, peratusan mereka yang memahami apa yang berlaku dalam parti mungkin boleh naik sampai 80 peratus. Baki 20 peratus itu yang kita kena uruskan.

Itu tidak apa. Kita akan uruskan apabila tiba masanya. Kita akan uruskan dengan sebaik-baiknya. Kita bukan tidak memberikan mereka peluang untuk bersama dengan parti lagi. Untuk jangka masa panjang, saya masih optimis perkara ini dapat diselesaikan dan parti dapat kembali pulih.

Apakah Datuk Seri melihat isu yang melanda MIC ini sedikit sebanyak menjejaskan sokongan masyarakat India terutama golongan di atas pagar?

SUBRAMANIAM: Masyarakat India di akar umbi mahukan isu ini diselesaikan secepat mungkin. Itu yang saya nampak. Ini kerana mereka lihat perkara ini tidak memberikan sebarang keuntungan kepada masyarakat India. Jadi, kalau kita dapat selesaikan perkara ini secepat mungkin dan secara baik, sokongan masyarakat India akan kembali kepada MIC. Kita tidak boleh biarkan masalah ini berterusan kerana ia akan memberikan kesan tidak baik.

Kalau pilihan raya umum akan diadakan pada pertengahan atau penghujung 2017, kita cuma ada kira-kira dua tahun atau lebih-lebih pun dua tahun setengah. Dalam tempoh tiga bulan ini, kita kena memperbetul segala masalah dan membawa parti kepada keadaan biasa. Kalau kita tidak buat macam itu, ia akan memberikan kesan terhadap sokongan orang India kepada BN kerana kita perlukan masa untuk membuat persiapan, membawa solidariti dalam parti dan meningkatkan hubungan antara parti dengan masyarakat India.

Masyarakat India meletakkan harapan tinggi kepada Datuk Seri untuk menyelesaikan kemelut ini, Apa persediaan dalam hal ini?

SUBRAMANIAM: Apa yang saya sedang buat adalah memberikan keyakinan kepada mereka di akar umbi. Kita juga tidak ada apa-apa tujuan untuk menyingkirkan mana-mana pihak. Kita gunakan pendekatan inklusif kerana kita mahu menyatupadukan semua ahli dalam parti dan bergerak sebagai satu parti. Itu yang akan memberikan kekuatan kepada parti. Dari sudut itu, saya boleh baca maklum balas akar umbi memang bagus. Mereka juga mempunyai harapan macam itu juga. Itu boleh diselesaikan. Saya juga secara awal telah mengumumkan beberapa rancangan jangka panjang untuk masyarakat India dan parti yang dalam pandangan saya dapat menguatkan parti.

Harapan saya ialah membawa krisis ini kepada satu penyelesaian secepat mungkin dan mula dengan program-program yang boleh menyatukan parti dan meningkatkan sokongan masyarakat India. Ini sudah berlaku dan mereka boleh lihat satu keikhlasan dalam apa yang berlaku. Saya ingat itu akan diterima baik oleh masyarakat India dan kita akan meneruskan usaha itu.

Ada khabar angin disebarkan oleh pihak tertentu kononnya Datuk Seri merupakan pilihan utama Pengerusi BN yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk memimpin MIC. Apa komen Datuk Seri?

SUBRAMANIAM: Bagi berlaku adil kepada Perdana Menteri, saya kena beritahu dari awal lagi pendirian Perdana Menteri dalam perkara ini adalah, “saya akan beri nasihat dan saya harap mereka akan terima nasihat itu”. Selain daripada itu, Perdana Menteri memang jelas tidak mahu campur tangan dalam perkara ini dan seboleh-bolehnya mahu menjauhkan diri.

Ini adalah isu dalaman parti dan harapan beliau ialah parti akan membetulkan masalah itu. Perdana Menteri dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah dua kali berjumpa dengan saya dan Palanivel untuk memberi nasihat dan pandangan.

Pandangan itu bukan luar biasa tetapi supaya patuhi apa yang ROS cakap. Kalau ROS cakap adakan pemilihan, adakan secepat mungkin dan selesaikan isu ini. Itu sahaja dan bukan apa-apa yang luar biasa.

Kalau pembangkang memberi pandangan seolah-olah Perdana Menteri berpihak kepada saya, itu tidak adil. Kalau lihat, Perdana Menteri cuba menjauhi isu ini tetapi sebagai pemimpin BN, untuk jauh sangat pun tidak boleh sangat. Dari segi itu pun, saya ingat siapa pun tidak boleh menyalahkan Perdana Menteri dalam hal ini.

Banyak pihak melahirkan kebimbangan kemelut dalam MIC ini mungkin menyebabkan perpecahan dalam kalangan ahli serta masyarakat India dan mungkin akan wujud sebuah parti baharu mewakili kaum India. Pandangan Datuk Seri dalam hal ini?

SUBRAMANIAM: Saya lihat isu ini telah meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat India terhadap MIC. Itu saya boleh nampak. Dalam pergaulan dengan orang biasa yang bukan ahli parti yang sebelum ini tidak pernah cakap tentang MIC tetapi tiba-tiba sekarang mereka cakap tentang ini. Dalam banyak majlis yang saya hadir, mereka tanya saya bila perkara ini akan selesai dan menyatakan mahu masalah ini diselesaikan secepat mungkin kerana ia tidak baik untuk masyarakat India.

Ini menunjukkan kesedaran mereka terhadap MIC semakin meningkat. Secara keseluruhan, kita nampak mereka mahu MIC kembali menjadi sebuah parti yang kuat dan terus menyumbang kepada masyarakat India. Dahulu kita mungkin tidak boleh nampak tetapi dalam masa krisis ini, semuanya jelas kelihatan.

Mereka masih melihat MIC sebagai sebuah parti yang mewakili dan membela masyarakat India. Mereka tidak mahu parti ini rosak dan hilang. Jadi, kita akan bergerak secara baik dan terus membawa masyarakat India bersama parti. Sekiranya mereka boleh lihat melalui kegiatan parti bahawa tahap kehidupan masyarakat India boleh dipertingkat, itu akan memberi suntikan yang baharu kepada BN.

Bagaimana Datuk Seri melihat masa hadapan MIC dalam politik Malaysia dalam keadaan semasa?

SUBRAMANIAM: MIC memang mempunyai kedudukan yang penting dalam politik Malaysia. Untuk BN mendapatkan sokongan masyarakat India, MIC parti yang paling besar. Walaupun ada parti-parti kecil yang cakap mereka boleh, tetapi MIC mempunyai rantaian parti paling luas untuk membawa sokongan. Daripada segi itu, MIC masih relevan.

Oleh itu apa yang masyarakat faham dari segi politik adalah sangat mustahak. Ini kerana adalah penting parti menjadi suara untuk masyarakat India dan memperkenalkan rancangan-rancangan tertentu yang boleh menyelesaikan banyak isu yang dihadapi masyarakat India selain membawa perubahan kepada yang lebih baik.

Kalau mereka boleh nampak perkara itu, ia boleh membawa balik sokongan mereka kepada BN dengan peratusan lebih tinggi. MIC juga perlu pastikan akan menang lebih banyak kerusi dalam pilihan raya akan datang, itulah yang akan menentukan masa hadapan MIC.

Tags: kuasa, politik
Subscribe

Posts from This Journal “kuasa” Tag

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments