kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Anak Berijazah, Miskin Cekal Diri

EMPAT lelaki kawan lama, yang sudah tidak bertemu 30 tahun, bertemu semula semasa bertandang sempena hari raya. Mereka berbual dari satu topik ke satu topik, dari hal perniagaan kepada politik dan nilai mata wang semasa.

Beberapa ketika, lelaki D yang merupakan tuan rumah beredar ke dapur untuk membancuh teh tarik tambahan.

Entah macam mana, masa itulah perbualan tiga lagi kawan iaitu A, B dan C di ruang tamu itu melalut kepada cerita anak-anak mereka.

Biasanya topik riak tentang anak dikhaskan kepada kaum ibu tetapi disebabkan hari itu pertemuan istimewa kaum suami, segala benda mereka nak bercerita dan merrepak.

Lelaki A berkata: "Anak lelaki saya adalah kebanggaan dan kebahagiaan saya. Dia mula bekerja di sebuah syarikat besar sebagai kerani sahaja. Dia kemudian mengambil pengajian Ekonomi dan Pentadbiran Perniagaan, dan perlahan-lahan mendaki tangga korporat.

Dia kini presiden syarikat. Dia menjadi sangat kaya hinggakan semasa hari lahir kawan baiknya, dia memberikan Mercedes-Benz sebagai hadiah".

Lelaki B pula berkata: "Alamak, itu sangat bagus! Anak lelaki saya pun kebanggaan dan kebahagiaan saya. Dia bekerja di sebuah syarikat penerbangan di bahagian pentadbiran tetapi kemudian memasuki kursus juruterbang.

Akhirnya dia menjadi rakan kongsi syarikat dengan dia menguasai kepentingan majoriti syarikat. Dia jadi sangat kaya hinggakan semasa hari lahir kawan baiknya, dia berikan pesawat jet kepada kawan baiknya".

Lelaki C juga tidak mahu kalah, lalu berkata: "Hebat-hebat anak kamu berdua! Anak lelaki saya melanjutkan pelajaran di universiti tersohor di United Kingdom dan menjadi jurutera.

Dia membuka syarikat pembinaannya sendiri dan kini bertaraf bilionair. Dia juga memberi kawan baiknya sesuatu yang sangat mahal semasa hari jadi iaitu sebuah banglo agam".

Ketiga-tiga mereka saling mengucapkan tahniah atas kecemerlangan anak masing-masing. Ketika itu, Lelaki D kembali bersama teh tarik dari dapur. "Kamu ucap tahniah untuk apa ini?"

Seorang daripada kawan itu menjawab: "Kami berbual tentang kebanggaan kami terhadap kejayaan anak-anak kami. Bagaimana anak lelaki awak"?

Lelaki D menjawab: "Anak lelaki saya ialah seorang gay dan menyara hidup sebagai penari eksotik di kelab malam".

Ketiga-tiga kawannya itu tercengang dan saling berpandangan. "Kasihannya. Tentu awak kecewa."

Lelaki D menjawab: "Tidak. Saya tidak kecewa atau malu. Dia adalah anak lelaki saya dan tentunya saya menyayanginya. Dan sebenarnya, dia tidaklah teruk sangat pun".

"Hari jadinya baru berlangsung dua minggu lalu, dan dia menerima hadiah sebuah banglo agam, sebuah pesawat jet dan sebuah kereta Mercedes-Benz daripada tiga teman lelakinya".

Maka tamatlah alkisah.

Sikap

Cerita di atas saya temui dalam Internet, bukan bertujuan plagiat tetapi diperturunkan semula di sini sebagai tatapan dan renungan bersama pembaca merrepak hari ini yang berbaki empat hari lagi dalam bulan Ramadan.

Sebelum saya disergah, ceritera di atas juga sama sekali tidak bertujuan mengagung-agungkan elemen LGBT atau apa-apalah.

Saya tidak "mempelangikan" potret wajah di Facebook atau Twitter, kononnya solidariti atas keputusan mahkamah agung Amerika Syarikat yang membenarkan perkahwinan sejenis. Tenang ya, Pak. Usah ribut. Bak kata Shakespeare Don’t shoot the messenger atau "jangan tembak pengutus berita".

Lihat dari sudut moral yang lain. Lihat sikap kita sekalian yang gemar riak tentang anak-anak. Sama ada secara percakapan, hinggalah ke Facebook. Anak lulus UPSR pun kita letak panjang-lebar ucapan, walhal tidak dapat markah A dalam semua subjek sekali pun, anak masih melangkah ke tingkatan satu.

Ibu bapa kepada anak yang ambil ujian SPM lagi hebat. Sebelum dan semasa ujian, hampir hari-hari kita dipaksa membaca diari mereka menguruskan anak. Selepas keputusan keluar, tiba-tiba senyap pula.

Sikap sebegini berkemungkinan menjadi penyebab kenapa anak-anak muda zaman ini, pantas menyimpan angan-angan untuk hidup mewah dan senang-lenang.

Maklumlah, dari sekolah lagi, dihantar dengan kereta oleh ibu bapa. Hujung minggu tengok wayang. Ibu bapa rela berkorban demi memastikan anak mereka, tidak sengsara seperti mereka.

Tidak salah. Siapa tidak sayangkan anak?

Tetapi satu tugas penting ibu bapa terhadap anak, jangan diketepikan. Ibu bapa hendaklah mempersiapkan anak mereka dengan "kelengkapan dan pengetahuan" untuk mampu hidup berdikari selepas tamat pengajian.

Kita tidak mahu berulang lagi anak-anak kita yang baharu setahun dua menerima ijazah, lalu mendabik dada "saya bersekolah tinggi" tetapi dalam nada sama, mengeluh di khalayak ramai tentang kemiskinan hidup. Lalu dia menyalahkan semua pihak, tetapi bukan dirinya sendiri.

Bagi saya, ibu bapa bersalah jika tidak memberitahu hal sebenar. Betul, kita perlu galakkan anak agar bersekolah tinggi-tinggi. Ini kerana zaman sekarang, tanpa ijazah atau sarjana, makin sulit untuk mencari peluang pekerjaan.

Kena beritahu anak bahawa walaupun dapat ijazah, mereka tidak boleh menjangkakan syarikat mereka akan menyediakan bilik khas dengan tingkap menghadap KLCC, siap dengan setiausaha. Baru kerja setahun dua, memang normal naik bas. Saya pun pernah. Kena transit dua bas lagi. Sampai di rumah terus pitam keletihan.

Ibu bapa berhentilah riak tentang anak. Sebaliknya, semailah semangat berdikari dan kecekalan kepada anak-anak. Beritahu mereka, faktor menimba pengalaman adalah ditekankan sebelum seseorang itu dinaikkan gaji dan pangkat.

Baru kerja setahun dua, janganlah bermimpi jadi ketua jabatan. Tetapi boleh simpan matlamat membeli kereta dan rumah dengan memulakan simpanan.

Ada orang selepas 10 tahun baru mampu beli kereta dan 15 tahun untuk membeli rumah. Tiada sekelip mata. Ini realiti. Ibu bapa kena beritahu anak mereka yang berkelulusan tinggi ini.

Beritahu anak bahawa kunci utama kejayaan dalam hidup ialah bekerja keras dan cekal serta gigih. Tiada jalan pintas.

Beritahulah anak berulang kali supaya mereka tidak mengeluh di khalayak ramai, seolah-olah ibu bapa tidak mengajar secukupnya. - Johardy Ibrahim Utusan Malaysia Rencana 12 Julai 2015

Tags: sikap
Subscribe

Posts from This Journal “sikap” Tag

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments