pengarang@utusan.com.my
PUTRAJAYA 19 Mei - Sudut pidato yang diwujudkan semula di institusi pengajian tinggi (IPT) negara ini tidak mendapat sambutan warga kampus selepas empat bulan dilancarkan.
Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, melalui maklumat yang diperoleh beberapa IPTA didapati sudut pidato tersebut tidak berfungsi seperti yang diharapkan.
Selain itu, katanya, ruang yang disediakan oleh pihak universiti bukan sahaja tidak mendapat sambutan mahasiswa malah sudut itu terus sepi di sesetengah IPTA.
"Kegagalan ini disebabkan budaya berhujah secara terbuka masih belum wujud lagi di IPTA kita.
"Justeru para mahasiswa tidak dapat membiasakan dengan cara bercakap di khalayak ramai, apatah lagi untuk mendebatkan sesuatu isu," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Pesta Intelek dan Hujah (PETAH) 2010 di Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) di sini hari ini.
Sudut pidato dilancarkan semula selepas 40 tahun menyepi di mana pelajar-pelajar IPT di negara ini boleh menyampaikan pandangan mereka melalui platform berkenaan.
Sebelum ini, sudut pidato yang menjadi medan para pelajar universiti berpidato dan bertukar pendapat secara bebas diharamkan di bawah Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971.
Saifuddin berkata, kegagalan itu juga disebabkan masih ramai yang melihat sudut pidato yang diwujudkan di IPTA hanyalah sebagai alat politik semata-mata.
Sehubungan itu, katanya, tidak ramai mahasiswa yang mahu menggunakan sudut pidato untuk berhujah tentang isu bukan politik.
"Para mahasiswa juga merasakan mereka tidak
bebas bercakap tentang apa sahaja kerana terlalu banyak kekangan dari aspek peraturan, prosedur dan masa oleh pihak pentadbiran IPTA.
"Ada juga di kalangan mahasiswa yang tidak tahu kewujudan sudut pidato di universiti kerana kurang promosi," katanya.
Beliau menjelaskan, sudut pidato itu bukan sahaja sebagai ruang terbaik mahasiswa untuk mempamerkan bakat mereka malah untuk mengutarakan idea-idea yang bernas.
"Kita tidak mahu pelaksanaan sudut pidato untuk mengasah kemahiran komunikasi mahasiswa ini dilihat sebagai usaha yang hanya melepaskan batuk di tangga sahaja," katanya.
Beliau tidak mahu nanti pihak kementerian dipersoalkan pula mengenai keupayaan graduan untuk berkomunikasi dan berfikiran kritis setelah memasuki pasaran pekerjaan.
Sumber : http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0520&pub=utusan_malaysia&sec=Kampus&pg=ka_01.htm&arc=hive