kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Waspada Sang Kelembai moden

DALAM kisah-kisah rakyat masyarakat Melayu sering diceritakan kuasa sakti dan kebolehan Sang Kelembai atau Sang Gedembai menyumpah manusia atau haiwan menjadi batu ketika marah.

Berdasarkan cerita legenda, apa sahaja yang ditegur oleh Sang Kelembai bertukar menjadi batu.

Makhluk ghaib ini sering digambarkan dengan fizikal yang bersaiz gergasi, berwajah hodoh, berperwatakan bengis, berambut merah dan panjang. Ia amat digeruni oleh makhluk-makhluk lain.

Sang Kelembai biasanya tinggal di dalam hutan belantara dan berhampiran sungai. Ia juga dikatakan gemar makan pucuk buluh dan menyebabkan orang kampung pada masa itu sukar mendapatkan buluh.

Cerita Sang Kelembai sa­ngat­ popu­lar dalam kalangan masya­rakat Melayu yang tinggal di Perak, Pahang, Kedah dan Pulau Pinang dengan masing-masing mempu­nyai versi cerita berbeza.

Dalam era hari ini, Sang Kelembai juga wujud. Ia tidak tinggal di dalam hutan dan tepi sungai. Tetapi di sekeliling kita. Ia dalam bentuk yang ‘luar biasa’ berupa Facebook, Twitter dan WhatsApp. Namun, bukan salah tiga laman sosial ini, tetapi pelakunya.

Yakni, pelakunya yang melontarkan ‘adu domba, tohmahan, fitnah dan segala yang jelik-jelik’ sehingga sesuatu ayat yang dibina daripada perkataan itu menjadi viral.

Kalau sesuatu yang positif dan berfakta tidak mengapa. Malang­nya tidak. Apa yang tidak disukai, dibenci dan dimomokkan, akan dituding oleh Sang Kelembai moden ini, biarpun sedar tidak berfakta, palsu dan auta.

Inilah bahaya yang menanti sesiapa, waima parti-parti politik dan kerajaan yang ‘ditegur’ Sang Kelembai. Hatta sesiapa yang terke­na peluru dan tempiasnya boleh jadi ‘batu’, rosak, malah berkubur. Biarpun berjaya diperjelaskan dan diperbetulkan, tetapi kerana ratusan atau ribuan ‘Like’ - ‘the damage is done’.

Dalam senario politik tanah air hari ini, kedapatan banyak Sang Kelembai. Ia bermaharajalela untuk meraih populariti dan peluang. Ia mencongak-congak ruang untuk ‘membelasah’ parti dan kerajaan.

Kita sering diingatkan oleh pihak berkuasa dan alim-ulama tentang betapa bahayanya jika isu-isu yang disensasikan dan tidak benar dan tepat faktanya, dijadikan viral sebegitu sekali untuk meraih minat ramai.

Cuma, alangkah baiknya andai Sang Kelembai moden ini menjadi orang yang berprinsip dan menghormati ‘tujahannya’ berlandaskan fakta dan maklumat sahih. Bukannya, menujah semborono dengan ‘input yang salah’ sehingga ditertawakan kembali oleh orang yang ditujahnya.

Dan andai ‘dia’ boleh membantu parti khususnya UMNO mengharungi cabaran fitnah dan tohmahan daripada pembangkang, apatah lagi berdepan dengan portal mereka, Malaysiakini dan Malaysian Insider - yang ‘berjaya’ dengan fakta diretorikkan - itu lebih baik untuk diri Sang Kelembai sendiri.

Mana-mana Sang Kelembai harus menyedari bahawa cara parti-parti politik dunia mengendalikan penguasaan politik mereka sudah berbeza, seiring dengan perkembangan semasa.

Suatu ketika Barack Obama memiliki pasukan kempen digitalnya yang cekap sehingga membawa kemenangan besarnya dalam pilihan raya Presiden Amerika Syarikat. Semua anggota kempen digitalnya bukan orang politik, tetapi saintis. Ada kalangannya saintis Matematik, statistik dan termodinamik.

Dulu, kita mungkin memiliki pemidato dan pekerja-pekerja kempen. Sekarang pun kita dikaitkan dengan penceramah yang mene­mui mungkin antara 200 hingga 300 khalayak.

Secara tradisionalnya itu yang berlaku sekarang. Namun dengan Facebook, kita dengan mudah meraih antara 2,000 hingga 5,000 khalayak.

Ia siap lengkap dengan pangkalan data komposisi Cina, Melayu dan India, tetapi perlukan saintis untuk menganalisisnya. Soalnya berapa saintis yang ada dalam UMNO dan Barisan Nasional?

Takkanlah rakyat, UMNO dan BN hari ini masih memerlukan Sang Kelembai yang akan menjadikan apa yang tidak disukai, semuanya batu tanpa berkebolehan membuat penilaian yang berhemah dan tepat.

Dalam era hari ini, aliran maklumat disebut hyperconnectivity. Ini bermaksud segala-segalanya ber­pandukan kepada digital iaitu Internet yang menyebabkan kita saling berhubung begitu banyak. Bercakap, berjalan dan sebagainya dikaitkan dengan hubungan Internet termasuklah dalam mengendalikan kerajaan dan berpolitik. Inilah yang menjadi cabaran UMNO dan cabaran dunia.

Apabila bercakap mengenai hyperconnectivity, kita mesti mengamati apakah peluang-peluang yang dihasilkan daripadanya. Dari segi politik, parti akan mendapat maklumat yang cepat menerusi Facebook, Twitter, WhatsApp dan WeChat. Kalau hendak diatur pertemuan dengan khalayak, parti memerlukan dewan serta penyedia­an pengangkutan. Satu pandangan akan dikongsi beribu-ribu pandangan. Tweet satu perkara, tarikan besar akan menyusul.

Risiko yang akan dihadapi iaitu hasil hyperconnectivity tadi, parti akan melihat segala-galanya ‘bi­sing’. Mereka (dalam laman sosial) ‘menjerit’ untuk meraih perhatian.

Perkara kecil menjadi api yang marak. Viral dan kalau ada yang menghina sesuatu kaum dan agama, ada menjadi emosi dan ini sukar dibendung.

Risikonya cukup besar. Seluruh sistem organisasi kerajaan dan perbankan berisiko. Kalau sistem digodam, pelbagai jenayah siber berisiko melumpuhkan negara.

Orang bercakap dalam Facebook, ia boleh disedut dengan data, tidak perlu ambil sampel 600 orang atau 1,000 orang.

UMNO perlu memperhebatkan pasukan sibernya yang berwibawa. Dengan kempen cara digital ini, apakah perlu lagi poster-poster (calon pilihan raya) dicetak seba­nyak-banyaknya? Adakah perlu lagi bangsal-bangsal panas? Adakah ini masih relevan, mungkinkah cara tradisional yang sudah ketinggal­an?

Bentuk batu-batu aneh dan batu menyerupai manusia yang dikatakan telah ‘ditegur’ oleh Sang Kelembai kelihatan di beberapa negeri. Kata ‘mereka’, ia akibat melanggar pantang-larang orang tua-tua.

Kisah Sang Kelembai dan sum­pahannya kian dilupakan saban hari. Namun namanya masih menjadi cerita legenda yang diperturunkan dari satu generasi ke satu generasi yang lain.

Cuma, hari ini cabaran mengekang Sang Kelembai dalam bentuk moden (dalam Facebook, Twitter dan WhatsApp) perlu ditangani secara berhati-hati.

Ini apatah lagi, bila Sang Kelembai datang dalam bentuk oportunis, tanpa berfakta dan hujah semborono.

- ZULKIFLI JALIL Utusan Malaysia Rencana 21 Julai 2015 12:38 AM
Tags: ict, media, twitter, whatsapp
Subscribe

Posts from This Journal “whatsapp” Tag

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments