kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Perangi rasuah satu ibadat, Promosi Malaysia hab latihan antirasuah

Promosi Malaysia hab latihan antirasuah

KEMUNGKINAN besar tulisan ini karya saya yang terakhir sebelum berundur dari per­khidmatan awam selepas berkhidmat lebih tiga dekad (bersama Badan Pencegah Rasuah yang kini dikenali sebagai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia atau singkatannya SPRM). Saya akan bercuti sempena persaraan mulai awal Ogos ini.

Akhir tahun lalu, saya berpeluang ke Bhutan untuk mengambil bahagian dalam program kerjasama latihan agensi penguat kuasa negara itu dan SPRM. Bhutan memperlihatkan kebanggaan pihak­nya kerana berpeluang berkongsi penga­laman dengan Malaysia. Negara Asia Selatan yang terletak di hujung pergunungan Himalaya itu sebenarnya berada dalam keduduk­an lebih tinggi dari segi Indeks Persepsi Rasuah (CPI) berbanding Malaysia.

Saya pun hairan. Negara yang tinggi ranking dalam CPI, tetapi berminat mempelajari pengalam­an Malaysia dari segi pembinaan kapasiti dan keupayaan mencegah rasuah. Sepatutnya kita belajar da­ripada mereka. Bukan sebaliknya.

Ketika itu, jawapan yang diberikan pemimpin Bhutan: Mereka gembira kerana Malaysia jujur dan ikhlas dalam berkongsi ilmu dan pengalaman dengan negara itu.

Perkara sama ditekankan oleh Pengerusi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Bhutan, Zeten Zangmo ketika berada di Putrajaya sempena majlis menandatangani Memorandum Persefahaman dengan SPRM pada 11 Mac lalu.

“Bhutan memilih Malaysia kera­na negara ini mengamalkan keterbukaan dan komited dalam perkongsian pengalaman. Malaysia (dan SPRM) mempunyai pengalaman yang luas dalam membendung jenayah rasuah di peringkat antarabangsa serta rantau Asia. Malaysia juga telah mengintegrasikan dan menginstitusikan pendekatan antirasuah yang telah dijadikan contoh di peringkat dunia,” kata Zeten.

Saya terharu dengan kata-kata ini. Bagi saya dan SPRM, ini satu penghargaan dan penghormatan buat Malaysia. Sumbangan Malaysia diiktiraf oleh pihak luar. Perakuan ini harus menjadi satu kebanggaan buat rak­yat Malaysia sementara kita be­kerja keras untuk memerangi rasuah.

Di SPRM, peranan melatih pegawai terletak di bahu Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) yang tahun ini berusia satu dekad.

MACA menyediakan la­tihan se­cara konsisten kepada pe­gawai-pegawai Suruhanjaya Pe­ncegahan Rasuah Bhutan sejak 2011 berkaitan siasatan dan perisikan. Pada 2013, MACA mendapat pengiktirafan Pejabat PBB Berkenaan Dadah dan Jenayah (UNODC). Dalam laporan penilaian berkenaan pematuhan Malaysia, khususnya SPRM ke atas Konvensyen PBB Berkenaan Pencegahan Rasuah (UNCAC), UNODC mengiktiraf peranan MACA sebagai pusat latihan bertaraf antarabangsa.

MACA mengambil pelbagai pendekatan untuk menjadi pusat serantau bagi usaha-usaha me­merangi dan mencegah rasuah.

Pelbagai institusi dan pertubuh­an antarabangsa menyatakan hasrat untuk bekerjasama dengan Malaysia dalam menyediakan tenaga pengajar, pakar untuk merangka dan mengendalikan kursus, latih­an, seminar dan bengkel setiap tahun, terutamanya di rantau Asia Pasifik dalam pembanterasan jenayah rasuah. Ini boleh dilaksanakan melalui hubungan dua hala dan pelbagai hala dengan agensi-agensi penguat kuasa serantau seperti ICAC Hong Kong, Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI), Badan Pencegah Rasuah Brunei Darussalam, Suruhanjaya Bebas Pencegahan Rasuah Korea Selatan, Komisi Pemberantasan Korupsi Indonesia, Biro Siasatan Amalan Rasuah Singapura dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Nasional Thailand.

Dengan adanya pelbagai program yang dirancang, diharapkan MACA akan muncul sebagai pusat pembe­lajaran dan latihan terpen­ting di rantau Asia. Penubuhan MACA ini juga adalah sebagai tanggungjawab untuk meningkatkan kemahiran dan profesionalisme pegawai-pegawai SPRM, melalui penyediaan kursus dalam perkhidmatan untuk modul penyiasatan, pendakwaan, perisikan, pendidikan masyarakat, pemeriksaan dan perundingan, tatacara kerja, peng­urusan dan kewangan, keselamat­an, kepimpinan, latihan kejurulatihan, teknologi maklumat serta pengajian bahasa terutama bahasa Inggeris.

Visi MACA menjadi pusat kecemerlangan pencegahan rasuah bertaraf serantau dan antarabangsa. Kumpulan sasarannya pegawai SPRM, jabatan dan agensi kerajaan, sektor swasta, dan peserta dari negara.

Sejak penubuhannya MACA berusaha gigih memberikan latihan berkaitan penguatkuasaan antirasuah yang signifikan dan efektif di peringkat nasional dan global. Kejayaan MACA meng­anjurkan pelbagai program latihan melalui kerjasama strategik dengan agensi-agensi antarabangsa membuatkannya semakin diiktiraf sebagai peneraju pusat latihan antirasu­ah yang mapan.

Demi mencapai objektif membanteras jenayah rasuah, MACA, Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD), Akademi Antirasuah Antarabangsa dan Interpol telah berganding bahu menganjurkan seminar-seminar teknikal di Malaysia.

MACA ditubuhkan sebelum SPRM lahir sebagai sebuah suruhanjaya bebas pada 2009. Susulan kewujudan SPRM dan selari de­ngan program transformasi, peranan MACA bertambah giat dan luas. Tanggungjawab akademi meningkat bagi membolehkan SPRM memiliki barisan modal insan yang mahir dan berpengetahuan luas. Dalam hal ini, Pusat Latihan Asas (PLA) bertanggungjawab menyelaras dan melaksanakan program latihan untuk pembangunan kerjaya pegawai dan kakitangan sokongan dengan tumpuan utamanya menjalankan kursus asas kepada pegawai-pegawai lantikan baru SPRM. PLA adalah nadi kepada SPRM untuk me­latih pegawai-pegawai baru.

Di sebalik peranan itu, dalam era globalisasi, usaha membanteras rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan menjadi semakin rumit. Kemajuan teknologi, kepesatan pembangunan, nilai kemanusiaan yang terhakis antara cabaran yang menyukarkan lagi inisiatif pencegah­an jenayah rasuah.

Justeru SPRM menjadi tonggak penting dalam membantu memperkasa integriti yang dizahirkan melalui peranan latihan yang dimainkan Pusat Pembangunan Integriti Korporat, MACA.

Penyertaan pegawai penguat kuasa dari luar negara dalam Program Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO), kendalian SPRM menyaksikan peningkatan, sekali gus mening­katkan keyakinan ma­syarakat antarabangsa ke atas mekanisme kawalan dalaman. Pening­katan itu ada kaitan de­ngan impak dan kesan positif yang disumbangkan oleh Program CeIO kepada agensi swasta dan awam.

Ketika Mesyuarat Negara Anggota Asia Tenggara Memerangi Rasuah (SEA-PAC) Ke-10 di ibu negara awal Disember 2014, SPRM telah menawarkan untuk menjadikan MACA sebagai hab latihan serantau bagi memperkukuhkan keupayaan dan kapasiti pencegahan rasuah.

Putrajaya menjadi lokasi Persidangan Antirasuah Antarabangsa (IACC) Kali Ke-16 pada September ini. Diharap pengalaman dan kejayaan seperti ini akan dikongsi, bukan sahaja bagi manfaat Malaysia, bahkan demi masyarakat antarabangsa.

Berdasarkan pengalaman periba­di saya sebagai pegawai antirasuah selama lebih tiga dekad, Malaysia mempunyai amalan baik dan kejayaan untuk dikongsi bersama negara lain. Begitulah sebaliknya.

Perangi rasuah satu ibadat

BANYAK pihak tidak menyedari usaha mencegah rasuah adalah satu bentuk ibadat berpanjangan dalam menentang kebatilan.

Rasulullah SAW memberi me­sej yang cukup jelas kepada umatnya iaitu setiap pelaku rasuah sama ada pemberi mahupun penerima akan menerima azab seksa yang amat pedih di neraka kerana dosanya yang cukup besar di sisi Allah SWT. Ibnu Umar RA meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud; “Pemberi rasuah dan penerima rasuah akan masuk ke dalam neraka.”

Hadis Rasulullah itu menarik minat seorang mahasiswa perakaun­an dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sesi 1977-1981 untuk menyertai Badan Pencegah Rasuah (BPR).

Selamat bersara Datuk Seri!

Datuk Seri Zakaria Jaffar

Baginya, sebarang usaha untuk memastikan umat Islam tidak terjerumus ke lembah kehancuran di­sebabkan rasuah adalah satu bentuk ibadat yang pasti ada ganjaran di sisi Allah SWT sekiranya dilakukan dengan seikhlas hati.

Individu dimaksudkan itu ialah Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Peng­urusan dan Profesionalisme) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malay­sia (SPRM), Datuk Seri Zakaria­ Jaffar yang juga seorang akuntan bertauliah.

Selepas menabur bakti lebih 33 tahun, beliau akan menamatkan perkhid­­matannya dalam SPRM di usia 58 tahun pada 29 Julai ini.

Ketika ditemui di pejabatnya di Putrajaya, baru-baru ini, Zakaria berkata, sebaik sahaja menamatkan pengajian di UKM pada 1981, beliau terus memohon menyertai BPR meskipun mempunyai pilihan kerja yang lebih lumayan setaraf kelulusannya dalam bidang perakaunan.

“Jika hendak diikutkan saya boleh menerima gaji lebih lumayan jika bekerja di tempat lain sebagai akauntan bertauliah. Namun itu bukan keutamaan kerana apa yang lebih penting saya perlu memilih pekerjaan yang membolehkan saya beribadat sepanjang masa,” ujarnya.

Selepas berjaya dalam temuduga beliau diminta melapor diri di ibu pejabat BPR pada 2 Ogos 1982 sebagai pegawai penyiasat di cawangan ekonomi.

“Penempatan saya di cawangan ini mungkin ada kaitan dengan kelulusan saya. Di cawangan ekonomi, kes-kes yang disiasat berprofil tinggi dan amat sensitif,” katanya.

Zakaria berkata, sepanjang berada dalam cawangan itu beliau diberi peluang menyiasat beberapa kes besar antaranya skandal BMF di Hong Kong yang juga anak syarikat Bank Bumiputra Malaysia Berhad (BBMB) ketika itu, di samping kes Perwaja Steel membabitkan tokoh korporat Tan Sri Eric Chia yang memakan masa lebih lapan tahun.

Zakaria turut berkongsi tentang tiga prinsip asas yang perlu ‘digenggam’ oleh semua pegawai penyiasat ketika menjalankan tugas iaitu;

nNeed to know basis yang ber­mak­sud hanya anggota dan pe­gawai terlibat yang tahu me­ngenai satu-satu kes malah ahli keluarga masing-masing pun tidak mengetahuinya. Tujuannya menjaga kerahsiaan kes yang disiasat.

n Kill first explain later. Ungkapan ini bermaksud pegawai pe­nyi­a­­sat akan berusaha mendapatkan dokumen atau bukti dengan apa cara sekalipun tanpa perlu beri penjelasan untuk tujuan siasatan tetapi perlu dilakukan tanpa melanggar undang-undang.

n First light enter pula bermaksud tangkapan dibuat terhadap suspek sebaik sahaja dia baru bangun tidur di waktu pagi. Pada waktu ini kebiasaannya suspek tidak bertindak agresif ketika ditangkap.

“Ketiga-tiga prinsip ini menjadi panduan kepada pegawai penyiasat kita ketika menjalankan siasatan terhadap satu-satu kes sehingga kes berkenaan dibawa ke mahkamah,” katanya lagi.

Berbalik kepada penglibatannya dalam beberapa kes utama Zakaria berkata, antara yang cukup memberi kesan kepadanya satu kes pecah amanah melibatkan seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah syarikat milik kerajaan (GLC).

Setelah mengumpulkan semua bahan bukti beliau mengarahkan sebuah pasukan diketuai oleh seorang pegawai penyiasat ke rumah CEO itu kira-kira pukul 4 pagi untuk mela­kukan tangkapan sesuai dengan prinsip first light enter.

Bagaimanapun, dalam kes tersebut kata Zakaria, tiada tangkapan dibuat sehingga menyebabkan beliau amat marah kepada pasukan tersebut.

“Namun demikian apa yang menghairankan saya pegawai penyiasat pula tiba-tiba yang menangis. Dia kata suspek akan datang ke pejabat pukul 8 pagi ini untuk serah diri.

“Selepas suspek menyerah diri, barulah pegawai penyiasat saya ini bercerita. Katanya semasa tangkapan mahu dibuat, lampu yang mula-mula dibuka adalah di ruang tamu dan bukannya di bilik tidur,” ujarnya.

Selepas lampu dibuka kata Zakaria, pasukan itu menyerbu ke dalam rumah tersebut dan apa yang menyentap perasaan pasukan tersebut, mereka melihat di sisi CEO itu anak-anaknya yang sedang lena tidur di samping seorang nenek.

“Anak yang paling kecil menangis mahukan susu. Pada ketika itu barulah pasukan itu diberitahu bahawa isteri CEO itu baru meninggal dunia dua minggu lalu kerana menghidap barah payu dara manakala nenek itu ibu mertuanya,” ujarnya.

Zakaria melihat kes itu dalam pelbagai sudut antaranya balasan dunia yang mungkin diterima akibat melakukan rasuah. Akhirnya selepas melalui perbicaraan CEO itu dibebaskan.

Kes lain yang turut terkesan di hati Zakaria melibatkan suspek yang akhirnya berubah menjadi insan lebih baik.

“Satu kes berlaku di Sarawak iaitu semasa saya bertugas di sana. Satu hari saya telah mengarahkan satu tangkapan dibuat terhadap seorang pegawai kanan kerajaan dalam bidang media.

“Pegawai penyiasat yang terlibat dalam kes tersebut seorang Iban dan tangkapan dibuat ketika pegawai berkenaan mengadakan kendu­ri untuk ke Mekah. Pegawai yang ditahan ini benar-benar aib. Beliau akhirnya dibenarkan ke Mekah untuk tunaikan haji.

“Beliau kemudian dibicarakan dan dibebaskan. Saya bertemu de­ngan pegawai berkenaan di Pondok Pasir Tumbuh Kelantan dan di saat saya bertemu dengannya beliau benar-benar menghambakan diri untuk mencari ilmu akhirat sehingga meninggal dunia,” katanya lagi.

Inilah antara kes yang memberi kesan kepada Zakaria. Walaupun kesnya kecil tetapi pengajarannya begitu banyak.

Dalam pada itu beliau mengakui kegiatan rasuah di negara ini masih berlaku tetapi dikategorikan sebagai masih terkawal.

Meskipun begitu ujar beliau, usaha untuk membendungnya perlu dilakukan bersungguh-sungguh supaya tiada lagi berlaku pencerobohan tanah secara haram seperti yang terjadi di Cameron Highlands dan beberapa kes lain yang dibongkar oleh pihak media.

“Kita pun dalam proses membuka sebuah pejabat tetap di Ca­meron Highlands. Selepas diluluskan kelak kita akan menempatkan beberapa anggota dan pegawai SPRM di kawasan tanah tinggi itu bagi memantau kes-kes pencerobohan tanah di sana,” katanya lagi.

Beliau turut melahirkan rasa gembira apabila tahap keyakinan rak­yat terhadap keupayaan SPRM menjalankan tugas-tugas pencegah­an rasuah semakin me­ningkat dari setahun ke setahun.

Berdasarkan kajian, beliau ber­kata, berbanding tahap keyakinan orang ramai terhadap SPRM pada 2009 cuma 30 peratus, kemudiannya meningkat 39 peratus (2010); 42 peratus (2011); 54 peratus (2012); 65 peratus (2014) dan tahun ini dijangka mencecah 70 peratus.

“Secara umumnya rakyat semakin percaya kepada kewibawaan SPRM dalam menjalankan kerja-kerja membendung, mencegah dan menyiasat segala kegiatan ber­kaitan rasuah.

“Kita akan balas kepercayaan ini dengan memberikan komitmen menghapuskan kegiatan rasuah yang boleh dianggap salah satu musuh utama negara,” ujar bapa kepada 11 anak ini.

Pada masa sama katanya, 27 juta rakyat Malaysia perlu bersama-sama SPRM memerangi perbuatan jijik rasuah itu supaya kegiatan tersebut akhirnya dapat diben­dung sekali gus meletakkan Malaysia pada kedudukan baik dalam senarai laporan CPI.

Meskipun bakal bersara, beliau tetap komited dengan perjuangannya untuk memerangi rasuah dan sedia menerima jemputan daripada mana-mana pihak khususnya pihak media untuk bercakap mengenai gejala tersebut dan kesannya kepada masyarakat dan negara. Tidak boleh disangkal sayang dan kasih Zakaria kepada SPRM tidak berbelah-bahagi.

“Darah yang mengalir dalam tubuh saya ini hanya tertulis dua perkataan sahaja iaitu BPR dan SPRM,” katanya mengakhiri sesi temu bual ini.

Selamat bersara Datuk Seri!

Tags: rasuah, sprm
Subscribe

Posts from This Journal “rasuah” Tag

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments