kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Beraya di kampung jangan malas-malas

DALAM banyak-banyak posting pengguna laman sosial tentang keseronokan menyambut Hari Raya Aidilfitri, penulis tertarik dengan status yang dimuat naik oleh tukang masak profesional bertaraf selebriti, Redzuawan Ismail atau popular dengan panggilan Chef Wan.

Bukan resipi rendangnya, lemang atau kek yang membuatkan penulis tiba-tiba menjadi ‘pengikut’ akaun Instagram (IG) chef terkemuka ini namun teguran ‘laser’ beliau kepada saudara-mara yang bersikap pemalas ketika berada di kampung berhari raya, yang mencuit hati.

Walaupun penulis kurang setuju dengan cara Chef Wan membuka aib saudara-mara sendiri di laman sosial apatah lagi apabila posting beliau itu lengkap dengan gambar mereka yang ditujukan kemarahannya itu masih nyenyak berselimut ketika matahari sudah pun meninggi iaitu jika mengikut statusnya sudah pun pukul 9 pagi, punca atau penyebab panas hatinya itu memang boleh difahami.

Malah seperti katanya, penulis percaya memang ramai kalangan rakyat Malaysia yang menghadapi isu sama, yang boleh memahami apa yang dialami dan dirasai oleh Chef Wan.

Balik kampung setiap kali hari raya memang sudah menjadi budaya orang Malaysia. Memang juga sudah menjadi sebahagian budaya atau adat orang Malaysia apabila saudara-mara balik kampung, tidur ramai-ramai di ruang tamu. Maklumlah rumah orang tua di kampung lazimnya tidak cukup bilik untuk semua. Jadi masing-masing bagaikan sudah faham apabila tiba waktu tidur, bentang comforter atau Toto, pejamkanlah mata.

Bukan lama pun. Selalunya tidak sampai pun berapa jam kerana malam raya perlu mere­bus ketupat, membakar lemang atau mengacau rendang segala sehingga lewat malam bahkan ke awal pagi. Esoknya sebelum su­buh kena bangkit awal untuk menyiapkan juadah dan bersiap-siap ke madrasah atau masjid menunaikan solat sunat hari raya.

Itulah rutin yang sepatutnya apabila berhari raya di kampung.

Bagi orang kaya yang mempunyai rumah agam mungkin tidak merasai suasana seperti itu. Namun bagi golongan marhaen macam penulis, memang seronok dapat berkumpul adik-beradik, membuat persiapan apa yang patut sambil berlabun sampai pagi mengimbau kisah-kisah lama.

Yang tidak seronoknya, apabila adik-beradik masing-masing sudah besar, berkelamin dan beranak-pinak, apatah lagi ada ‘orang yang balik kampung berhari raya’ tidak faham atau buat-buat tidak faham rutin itu sehingga mengundang rasa tidak puas hati ahli keluarga lain. Jadi timbullah komen hilang sabar seperti yang dimuat naik Chef Wan di akaun IG miliknya.

Sepatutnya kalau sudah berkumpul adik-beradik dan saudara-mara ramai-ramai bersama-samalah ringankan tulang tolong-menolong. Bahagi-bahagikan tugas. Bak kata pepatah, yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing.

Janganlah yang ringan saja kita hendak buat sedangkan kerja-kerja berat seperti memasak, membasuh pinggan mang­kuk dan periuk belanga serta mengemas rumah kita lepaskan kepada orang lain, yang selalunya orang yang sama juga saban tahun.

Muka-muka itu juga yang terperuk di dapur memotong da­ging, memarut kelapa, menumis dan mengacau rendang sampai siap, sedangkan muka-muka ‘tunjuk lawa’ ini hanya muncul apabila tiba masa hendak menyenduk lauk ke mangkuk atau lebih teruk lagi apabila sudah hendak disuap ke mulut.

Walaupun ramai yang seperti penulis, tidak bersetuju dengan cara Chef Wan membuat teguran secara terbuka di laman sosial, ramai juga yang menyokong status beliau itu, mungkin kerana mereka juga menjadi ‘mangsa buli’ di hari raya.

Penulis percaya mereka yang menyokong mempunyai peng­alaman sama terpaksa bertungkus-lumus memasak bagi menyiapkan juadah hari raya sedangkan ada ahli keluarga yang tahunya hanya duduk tercongok depan televisyen menonton program hari raya. Lepas satu, satu. Maklumlah hampir semua saluran menayangkan program istimewa hiburan, drama dan filem Blockbuster sempena hari raya.

Tambah menyakitkan hati apabila lapar, mereka ini tahu pula ke meja makan. Dan tanpa rasa bersalah pun, menjamah makanan, letak pinggan dan gelas di dalam sinki kemudian sambung mengadap TV.

Walaupun mungkin ada yang mengatakan keadaan ini bukan berlaku selalu pun, hanya sekali setahun... kadang-kala gara-gara insiden setahun sekali itulah boleh mengeruhkan hubungan baik adik-beradik dan saudara-mara.

Apalah salahnya setahun sekali setiap ahli keluarga merajin-rajinkan diri menolong apa yang patut agar sama-sama dapat menyambut hari raya dengan ceria.

Walaupun tidak biasa kita lakukan mengemas tempat tidur di rumah sendiri, takkanlah kita tidak boleh mengemasnya ketika berada di kampung?

Walaupun kita tidak biasa membasuh pinggan selepas makan (kerana semuanya dilakukan oleh pembantu rumah, emak atau isteri sendiri yang sudah macam amah), takkanlah ketika balik kampung pun kita masih mahu berlagak macam tuan besar?

Biarlah sama-sama merasai keseronokan berhari raya di kampung. Kalau tak tahu menganyam ketupat, tolong-tolonglah merebusnya. Kalau tak pandai membuat dodol, bantu-bantulah mengacaunya. Kalau tak biasa menggulai rendang, biasa-biasakanlah menyental kuali dan periuk belanga.

Sekali lagi, berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Hari raya adalah hari untuk bergembira dan bukannya bermasam muka.

Selamat Hari Raya Aidilfitri dan Maaf Zahir Batin.

- Coretan Marhaen  Utusan Malaysia Rencana 21 Julai 2015
Tags: aidilfitri, raya
Subscribe

Posts from This Journal “raya” Tag

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments