Kerajaan dengan penuh kesungguhan sentiasa memastikan agar keadaan terus stabil dan sejahtera. Namun, insiden Plaza Low Yat yang berlaku pada 13 Julai lalu mencatatkan satu lagi titik hitam dalam sejarah kesepaduan sosial di Malaysia.
Sebagai warganegara Malaysia yang mampu berfikir dengan waras, tiada seorang pun yang ingin keadaan sedemikian terjadi.
Namun, itulah realiti bagi menterjemahkan keadaan sebenar bahawa akan ada saat dan ketika ketegangan tersebut tidak berjaya distabilkan, dan mencetus kemarahan serta kekecohan.
Walau apapun terjadi, dek kerana kerapuhan kesepaduan sosial di Malaysia, sebarang insiden membabitkan kaum perlu diatasi dengan secepat mungkin dan secara bijaksana.
Kegagalan untuk menyelesai secara bijaksana dalam masa singkat mampu mengundang keadaan lebih kronik lagi.
Perlu faham nilai induk
Orang Melayu yang mempunyai kedudukan ekonomi yang tidak sama tahapnya dengan etnik Cina khususnya, perlu faham dan sedar tentang nilai induk dan rukun teras dalam kehidupan mereka.
Bagi mereka, kecinaan yang tegar dan semangat kepuakan yang kental, berasaskan kepada penghormatan anak kepada ibu bapa atau disebut sebagai fillial piet adalah nilai induk yang perlu dijaga.
Mereka juga memiliki sikap pragmatis untuk mencapai matlamat sebagai etnik yang unggul. Manakala bahasa, pendidikan dan ekonomi menjadi rukun teras dalam kehidupan mereka.
Agak berlainan dengan Melayu yang nilai induk mereka berasaskan Islam yang cukup memberati aspek tolak ansur atau toleransi, tolong-menolong dan kerjasama.
Manakala rukun teras Melayu ialah nilai ketuanan politik Melayu, agama Islam, bahasa Melayu dan adat resam Melayu.
Kefahaman dan kesedaran tentang hal ini akan membantu Melayu mengemudi kehidupan dalam kepelbagaian etnik dengan cara yang terbaik.
Dalam konteks ekonomi sebagai contoh, memang Cina terkenal sebagai peneraju dalam apa jua bidang perniagaan.
Perniagaan teknologi maklumat (IT) sebagai contoh, memang didominasi dan dipegang kuat oleh mereka sehingga amat sukar untuk Melayu turut sama menceburi bidang ini.
Justeru insiden 13 Julai seharusnya menjadi wake up call untuk kita sebagai kaum Melayu mengatur strategi, melihat kembali kekurangan diri agar dapat diganti dengan sesuatu yang lebih baik, dan bukan terus melihat apa yang tidak betul dengan pihak sana.
Kegagalan Melayu untuk memperbaiki diri, membina kekuatan di atas kelemahan akan mengakibatkan kita akan kembali 'dijajah'.
Kebangkitan bangsa Melayu sebenarnya telah tertangguh terutama apabila melihat keupayaan bangsa lain yang berjaya meraih begitu banyak, berbanding dengan bangsa asal tanah air ini.
Dalam hal ini Melayu tidak punya masa lagi, tidak boleh toleh ke belakang lagi, melainkan terus mara, bekerja kuat, tidak menggantungkan harapan kita kepada orang lain, melainkan diri sendiri.
Perubahan cara berfikir
Perkara asas untuk sesuatu kebangkitan ialah perubahan cara berfikir. Dengan kata mudah, selagi manusia tidak berusaha untuk mengubah diri selagi itulah keberhasilan sukar untuk dicapai.
Perlu diingatkan bahawa pembentukan cara berfikir yang diterjemahkan dengan perbuatan yang menjadi amalan dan akhirnya menjadi budaya adalah satu usaha yang mengambil masa agak lama.
Namun, dengan keazaman yang kuat tempoh keberhasilan boleh disingkatkan. Walau apapun, perubahan ke arah yang lebih baik perlu dimulakan sekarang, pada saat ini.
Jika disingkap bagaimana penganut fahaman Bushido di Jepun, Hwarang di Korea Selatan dan Jinsheng di Taiwan bangkit menjadi bangsa yang maju dalam tempoh begitu singkat, ternyata mereka menguasai ilmu dan diterjemahkan pula dengan penghayatan nilai murni seperti tahap integriti dan daya juang yang tinggi di samping tegas dalam bertindak.
Perkara yang sama juga dilihat amat perlu untuk memastikan kesepaduan sosial di Malaysia berada dalam keadaan sejahtera, dalam hal ini semangat tolak ansur lebih tertonjol dalam bangsa Melayu.
Untuk memastikan sifat tolak ansur dan toleransi ini akhirnya tidak mencairkan bangsa Melayu itu sendiri, kekuatan dan ketegasan amat perlu untuk dimiliki.
Miliki jiwa hebat
Tiada yang menafikan bahawa kebanyakan Melayu miskin dari segi kewangan dan pemilikan harta. Setengah pihak beranggapan bahawa faktor wang ringgit inilah menyebabkan seseorang mundur.
Namun, ingin dijelaskan bahawa kemiskinan seseorang bukan terletak kepada keupayaan memiliki wang atau harta benda, namun lebih kepada pemilikan jiwa hebat berasaskan nilai murni yang tinggi.
Memang benar kemiskinan harta boleh menjadi rintangan, tetapi bukanlah penghalang sebenar. Jika ditelusuri kalangan mereka yang berjaya, ramai bermula dengan kesusahan.
Namun, mereka berjaya kerana dapat menjadikan pengalaman kesusahan sebagai pendorong untuk bangkit dan mencipta kejayaan.
Kemiskinan material hanya bersifat sementara namun kemiskinan jiwa akan menjadikan seseorang itu terus kekal miskin jiwa dan material untuk selamanya.
Justeru, bangsa Melayu perlu meruntuhkan tembok kemiskinan jiwa yang masih menghalang mereka untuk bergerak maju, seiring dengan bangsa lain.
Perasaan malas
Kemiskinan jiwa kebiasaannya didasari dengan perasaan malas. Hal ini termasuk malas berfikir, berusaha, belajar dan membaca, bersifat negatif dalam banyak perkara, tidak jelas tujuan hidup dan tidak berdisiplin.
Perkara ini juga boleh membawa kita kepada sejarah awal tanah air untuk memahami alasan kenapa pihak British membawa masuk pekerja dari China dan India untuk mengusahakan pelbagai hasil bumi Tanah Melayu yang akhirnya membawa kesan besar terutama dalam aspek pemilikan harta dan kekayaan.
Mungkin Melayu agak sensitif apabila disinonimkan dengan sifat malas.
Namun sebagai bangsa berjiwa besar, bangsa yang berada pada alaf 21, biarpun apa jua yang diperkatakan, apa yang penting adalah usaha untuk membuktikan apa yang difikirkan atau anggapan mereka itu tidak tepat sama sekali.
Melayu dahulu tidak sama dengan Melayu hari ini. Bangsa Melayu hari ini mampu untuk memiliki kekuatan dan kekayaan jiwa, disertai dengan kekuatan daya juang.
Dengan berbekalkan cara berfikir yang baharu, bangsa Melayu mampu untuk maju biarpun pelbagai cabaran mendatang. Dengan kehebatan teknologi komunikasi pada hari ini juga pastinya tiada alasan lagi untuk Melayu terus berada di bawah berbanding dengan etnik lain.
Islam galak terus usaha
Berbekalkan dengan ajaran Islam yang menuntut umatnya untuk sabar dan terus berusaha dalam menghadapi sebarang ujian dan menganggap itu sebagai satu rahmat untuknya terus dekat dengan Pencipta yang memiliki sifat Maha Pemurah lagi Maha Pengasihani.
Islam juga dengan jelas menekankan bahawa segala cabaran yang diberikan kepada hambaNya bukanlah untuk membinasakan tetapi lebih untuk melihat hamba-Nya yang mana mempunyai tahap kesabaran tinggi dengan terus berusaha dan mengharapkan pertolongan hanya dariNya.
Persoalannya kini adakah bangsa Melayu sebahagian besarnya bersikap seperti itu ataupun sebaliknya.
Dr Ratna Roshida Ab Razak Berita Harian Kolumnis 18 Julai 2015