kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Menanti cerita September 2.0

Tanggal 16 September 2008 diingati dalam sejarah politik Malaysia sebagai hari penuh drama dan harapan palsu yang dicetuskan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim. Pada tarikh itu, sejarah mengingati temberang Anwar yang mengetuai pakatan pembangkang telah gagal menunaikan janjinya sendiri untuk membentuk kerajaan.

Barangkali kerana bulan September terus dimanipulasi, 16 September boleh diingati sebagai Hari Pembohongan Pakatan Pembangkang. Kali ini, timbul pula tarikh 14 September, hari pembentukan parti baharu yang dicetuskan oleh pemimpin 'terbuang’ Pas yang kini bergabung di bawah Gerakan Harapan Baru (GHB). Parti baharu itu diuar-uarkan bakal mengadakan konvensyen pada 16 September.


Mungkin satu kebetulan, mungkin juga tidak. GHB memilih 14 September untuk membuat perisytiharan kononnya bagi memberi waktu kepada kepemimpinan baharu Pas yang genap 100 hari memimpin parti itu untuk membuat perubahan mengikut kemahuan DAP dan PKR. Begitu sekali amuk asmara kumpulan kecewa GHB ini menggilai bayang bekas rakan sekutu yang telah diceraikan itu.

Tarikh 16 September rupa-rupanya diidam-idamkan banyak politikus. Tarikh yang membawa penyatuan Malaysia sebagai sebuah negara berdaulat. Tarikh yang menyatukan Sabah dan Sarawak, dua negeri yang kini menjadi rebutan parti politik untuk menggapai kekuasaan Putrajaya.

Selepas 16 September Anwar yang palsu dan mengecewakan, September muncul lagi menjadi bulan yang digunakan oleh politikus untuk menjanjikan harapan. Seperti dirasuk jembalang September, GHB begitu yakin bakal mendapat sokongan rakyat sedangkan sejarah nasib serpihan Pas berkata sebaliknya.

Seperti sudah ada skrip yang disediakan, Anwar, banduan di Penjara Sungai Buloh itu tiba-tiba mengeluarkan kenyataan melalui peguam beliau. Media propembangkang pun berebut-rebut menyiarkan ‘perutusan’ itu dengan tajuk ‘Anwar umum rancangan gabungan baharu pembangkang’.

GHB turut disebut dalam pakatan baharu pembangkang yang akan ditubuhkan tidak lama lagi yang kata Anwar bagi menyelamatkan negara. Kini jelaslah pakatan baharu yang dijelmakan semula sebagai Pakatan Rakyat 2.0 itu hanya melibatkan PKR, DAP, GHB dan beberapa NGO lain.

“Semuanya tanpa Pas,” tegas supremo DAP, Lim Kit Siang dalam reaksi segera susulan perutusan Anwar. DAP dan PKR menyingkirkan Pas dan kemudian menghukumnya atas alasan “gagal untuk mengotakan janji dan tidak boleh dipercayai”.

Janji apa yang tidak dikota dan siapa yang tidak boleh dipercayai? September 2008 telah bercerita. Mungkin saja cerita September kali ini juga sama - hanya harapan palsu.

Dalam penjara

Hiruk-pikuk pakatan pembang­kang ini mudah djangka. Hari Isnin, Ahli Jawatankuasa GHB, Khalid Samad umumkan GHB bakal di­lancar 14 September kemudian pa­da Rabu, Anwar keluar perutusan da­ri dalam penjara yang terus men­dapat reaksi pantas Kit Siang.

Lengkaplah aliran skrip GHB yang kini sedang menjelajah ke se­luruh negara. Jelajah GHB ini pun tidak ubah seperti gegak-gem­pita yang direka-reka sema­sa September 2008 dahulu. Dikha­barkan GHB mendapat sambutan di luar jangkaan. Pendek kata, GHB ini penuh luar biasa. Benarkah, atau sekadar gempak pak lawak?

Daripada reaksi kepemimpinan baharu Pas yang nampak cool dan seperti tidak mahu berbuat apa-apa, kewujudan GHB ini dipandang remeh oleh mereka. Hanya ada satu dua suara keras memprotes, yang lainnya bersikap budiman mendepani kemarahan rakan-rakan bekas pemimpin Pas itu.

Ahli-ahli Pas tidak dilarang meng­hadiri program jelajah GHB. Para pimpinan peringkat negeri dan kawasan diberi kebebasan un­tuk menyertai GHB. Pas tetap tersenyum menghadapi provokasi dan arogansi sebahagian mereka yang terikut-ikut dengan rentak DAP,

Alasan Pas, ahli-ahli mereka cerdik menilai yang mana permata dan yang mana kaca. Yang mana pengkhianat, yang mana pejuang dasar Islam.

Struktur parti yang bertunjangkan ulama sudah be­gitu kuat untuk menangkis ancaman adu domba dan perpecahan. Pimpinan Pas yang menyertai GHB bahkan di­alu-alukan menyertai semula Pas apabila kelak mereka muak dengan parti baharu yang akan ditubuhkan itu.

Begitu sekali sikap bersahabat Pas ini. Mungkin sahaja ini strategi Pas untuk membersihkan parti Islam ini daripada anasir jahat - parasit, liberal dan pengaruh Syiah - yang selama ini telah menggelincirkan Pas daripada landasan asas perjuangannya.

Mereka mahu lakukan secara bergaya. Tak perlu susah payah dan ribut-ribut menghukum pengkhianat parti. Biarkan mereka mereput secara semula jadi, mengikut hukum alam.

Pas sepertinya cukup berkeyakinan parti baharu bawaan GHB itu tidak akan dapat memuaskan syahwat tinggi DAP dan PKR untuk menguasai Putrajaya. Kelak, setelah masanya tiba, Pas juga yang akan dicari, Pas masak dengan kelemahan DAP dan PKR ini.

Memang, yang terlihat sekarang ini geng GHB yang jahat, Geng GHB yang merosakkan Pas. Geng GHB yang pula terkesan ekstrem dan tidak progresif. Dengan sikap Pas yang sebegitu, parti ini telah meletakkan dirinya di pihak yang sedang dianiaya dan ditindas. Secara tidak langsung, simpati jatuh kepada Pas.

Yang lebih ketara, pimpinan baharu Pas seperti dapat melihat GHB tidak lebih hanya temberang 16 September 2008. Yang umum nampak pakatan baharu tidak akan ke mana, seperti juga Angkatan Perpaduan Ummah, Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat kerana sifatnya yang rapuh dan prinsip berbeza. Mereka membina gabungan hanya atas rasa benci kepada pihak lain.

Pada pihak satu lagi ada yang sudah bermimpikan jawatan bahkan tak kurang yang ragu-ragu dengan kemampuan sebenar GHB. Masanya masih panjang, jadi sama-samalah kita tunggu apa sudahnya cerita September 2.0 ini.

Tags: ekonomi, rasuah
Subscribe
  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments