kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Wibawa pemberi maklumat bernama Deep Throat

Kepada yang pernah membaca buku All The President's Men (1974) atau filem All The President's Men (1976), pasti akan menemui satu watak misteri yang dirujuk sebagai ‘Deep Throat’. Ini adalah nama samaran yang diberikan kepada individu penting yang memberi maklumat hingga tumbangnya Presiden Richard Nixon dalam skandal Watergate yang menggegarkan Amerika Syarikat (AS) pada awal 1970-an.

Saya menonton filem All The President's Men tahun 1984 ketika baru bekerja di Utusan Melayu sebagai wartawan. Ketua Pengarang Kumpulan ketika itu, Zainuddin Maidin (ZAM) mengarahkan saya menonton filem yang diadaptasi daripada buku yang ditulis oleh dua wartawan akhbar The Washington Post, Bob Woodward dan Carl Bernstein.

Kata ZAM, semua wartawan patut menonton filem yang memaparkan galur cabaran kewartawanan penyiasatan yang mendedahkan penyelewengan dan skandal kewangan yang melibatkan Nixon. Selepas menonton, kedua-dua wartawan itu menjadi idola saya dan terlupa bahawa watak-watak itu digerakkan dengan begitu realistik oleh pelakon Dustin Hoffman dan Robert Redford. Secara umumnya kedua-duanya adalah penggerak filem berkenaan. Tetapi di sebalik kelicikan mendapatkan maklumat-maklumat sulit, watak Deep Throat ternyata lebih penting. Dia yang memberikan maklumat sulit yang berwibawa mengenai skandal Watergate dan seterusnya didedahkan oleh The Washington Post.

Tersingkir

Deep Throat adalah watak utama dalam drama sebenar skandal Watergate hingga Nixon yang begitu hebat dasar luar negaranya dan antara presiden yang paling popular boleh tersingkir daripada kerusi presiden. Selepas disingkirkan, Nixon menjadi bahan ejekan dalam banyak filem yang diterbitkan di AS antaranya menggambarkan dia sebagai kaki perempuan dan penyangak. Sudah tentu tanpa keputusan sukar Deep Throat untuk memperjudikan kerjaya, masa depan dan nyawanya, sisi hitam Nixon akan terus terlindung daripada pengetahuan umum.

Selepas kejatuhan Nixon, Deep Throat boleh sahaja muncul di media, setidak-tidaknya membuat pendedahan eksklusif di akhbar The Washington Post bahawa dialah yang menyalurkan maklumat sulit kepada media hingga menjatuhkan presiden. Tetapi Deep Throat tidak berbuat demikian dan tidak memilih untuk menjadi pemberi maklumat murahan yang gila publisiti. Maklumat yang diberikan terbukti berwibawa dan walaupun dia tidak beretorik kononnya mahu menyelamatkan negara, insaf dan macam-macam lagi.

Saya berulang kali menonton filem All The President's Men selepas muncul dalam format cakera video digital (DVD). Tetapi masih bungkam kerana watak Deep Throat tidak dapat dirungkai. Difahamkan semasa perjanjian antara dua wartawan The Washington Post itu dengan pengarah Alan J. Pakula, identiti Deep Throat tidak akan didedahkan.

Bagaimanapun majalahVanity Fair pada edisi 31 Mei 2005 menyiarkan pengakuan Pengarah Bersekutu FBI era Nixon, W. Mark Felt berusia 91 tahun bahawa dia adalah Deep Throat. Pengakuan menggemparkan itu tidak dinafikan oleh kedua-dua wartawan The Washington Post sekali gus menamatkan misteri yang berlegar lebih tiga dekad dalam politik dan kewartawanan di AS. Oleh yang demikian tidak hairanlah kalau The Washington Post dikatakan berjaya mengembalikan kepercayaan rakyat kepada akhbar dengan pendedahan skandal Watergate kerana mempunyai wartawan yang berwibawa, berpegang kepada janji sekalipun tidak disukai oleh Nixon.

Yang tragisnya banyak individu berpengaruh disyaki sebagai Deep Throat dan meninggal dunia sebelum Mark Felt mendedahkan penyamarannya. Antara mereka ialah Penasihat Nixon, John Ehrlichman meninggal dunia pada 1999, Setiausaha Akhbar Nixon, Ron Ziegler meninggal dunia pada 2003, Ketua CIA, William E. Colby meninggal dunia pada 1996 dan Pemangku Pengarah FBI, L. Patrick Gray yang tinggal hanya empat blok dari tempat tinggal Woodward meninggal dunia pada 2005. Mereka dan Nixon yang meninggal dunia pada 22 April 1994 tidak tahu siapa sebenarnya Deep Throat.

Penulis J. Anthony Lukas dalam bukunya Nightmare: The Underside of Nixon Years (1976) mengesyaki bahawa Deep Throat ialah Mark Felt. Bagaimanapun Mark Felt bertindak bijak, dia tidak memberikan apa-apa reaksi seolah-olah andaian Lukas itu tidak ada kena mengena dengan dirinya. Ini membuatkan pembaca menganggap itu tidak lebih andaian liar pengarang semata-mata. Itulah yang membezakan antara pemberi maklumat yang gila publisiti dengan yang berwibawa.

Budak Melayu sudah didakwa, yang lain bagaimana?

Berikutan tragedi rusuhan di Plaza Low Yat pada 13 Julai lalu, seorang remaja Melayu telah ditahan dan seterusnya didakwa di Mahkamah Jalan Duta Kuala Lumpur pada 14 Julai lalu. Remaja yang dituduh mencuri telefon itu mengaku tidak bersalah dan dibebaskan dengan ikan jamin RM3,000. Pihak polis mengkelaskan rusuhan itu sebagai ‘kes curi telefon’ tetapi beberapa pihak lain termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mendesak siasatan dibuat dari pelbagai sudut termasuk kegiatan peniaga penipu pelanggan dan gengsterisme.

Tanpa mempertikaikan tindakan pantas polis mendakwa tertuduh, tetapi banyak pihak juga bertanya apakah tindakan polis kepada ‘berbelas-belas’ yang lain yang khabarnya telah ditahan ekoran rusuhan itu? Mereka bertanyakan tindakan ke atas kumpulan yang memukul tertuduh. Adakah mereka dilepaskan atau apa?

Ketangkasan polis mengambil tindakan wajar diberi pujian. Tetapi isunya sehingga kini hanya seorang remaja Melayu sahaja yang dilihat sebagai punca. Macam ada yang tidak kena. Sebenarnya inilah yang memberikan gambaran tidak tepat seolah-olah wujud tindakan pilih bulu. Persepsinya banyak yang ditahan tetapi hanya seorang remaja Melayu sahaja yang didakwa. Yang lain macam mana?

Adalah diharapkan tidak ada pihak dijadikan dikambinghitamkan semata-mata untuk menunjukkan ketegasan pihak berkuasa menangani rusuhan yang boleh membawa kepada sentimen kaum. Tetapi membiarkan rakyat tertanya-tanya akan membuka ruang kepada pelbagai persepsi liar bukan satu pendekatan bijak mengekang menularnya sentimen perkauman.

Oleh kerana itu adalah sukar untuk mengekang pertanyaan nakal, sampai bila orang Melayu harus dipergunakan untuk menyedapkan hati pihak tertentu? Kalau tidak, kata mereka, segeralah tunjukkan tindakan ke atas ‘berbelas-belas’ lagi. Kalau remaja Melayu itu seorang sahaja, itu bukan rusuhan namanya. Kerana faktanya berlaku rusuhan dan melibatkan jumlah yang besar. Tidak ada salahnya pihak berkuasa mahu meredakan ketegangan tetapi janganlah ada yang jadi kambing putih dan ada yang jadi kambing hitam. Satu lagi berpada-padalah mengugut dengan Akta Hasutan, nanti kurang bisanya.

- Ku Seman Ku Hussain Utusan Malaysia Rencana Anekdot Ahad 26 Julai 2015
Tags: whistleblower
Subscribe

Posts from This Journal “whistleblower” Tag

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments