kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Cabaran enam PM Malaysia

PADA malam Jumaat lalu (malam 23 Julai), Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Melaka, Datuk Seri Idris Haron baru meninggalkan Seri Perdana setelah menghadiri majlis kesyukuran hari jadi ke-62 Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Bagi Idris yang sempat ditemui penulis di Putrajaya pada malam berkenaan berkata, pendirian Najib yang bertegas tidak akan melepaskan jawatan Perdana Menteri menjadi pil kekuatan kepada UMNO, Barisan Nasional (BN) dan pentadbirannya.

“Itulah ubat mujarab kepada kekuatan kepimpinan hari ini apabila PM menyatakan beliau tidak akan mengalah kepada mana-mana pihak.

“Kekhuatiran utama kita ialah apabila PM kata, 'I surrender’, itu yang kita bimbangkan kerana kita (BN dan Malaysia) berada dalam satu kedudukan yang cukup yakin bahawa 'PM is on the right track’.

“40 tahun beliau berada dalam struktur politik ini (sejak umur 22 tahun) dan berjaya melepasinya, kenapa pula pada waktu ini pelbagai pihak menuduh beliau begitu, begini,” kata beliau.

Kepada Idris, Najib bukan 'pemimpin yang turun dari helikopter’ seperti si polan yang masuk UMNO, terus menjadi timbalan menteri, kemudian melompat tinggi ke jawatan Timbalan Perdana Menteri’.

“Sebaliknya Datuk Seri Najib bermula daripada Ahli Parlimen kosong (biasa). Tuduhan yang dilemparkan kepada beliau itu, lebih selesa untuk saya katakan bahawa ada pihak yang mungkin tidak dapat lagi menikmati keselesaan yang selama ini dikecapi disebabkan oleh kelemahan polisi-polisi terdahulu,” kata beliau, sambil menjelaskan Badan Perhubungan UMNO Melaka secara prinsipnya akan membawa usul sokongan penuh enam bahagian UMNO negeri dalam siri mesyuarat bahagian Ogos depan, kepada kepimpinan Najib.

Dalam pertemuan 'santai’ sejam itu, Idris, 49, akur bahawa setiap Perdana Menteri termasuk Najib, waima Tun Dr. Mahathir Mohamad sendiri pun yang waktu ini begitu agresif mengkritik kepimpinan sedia ada, mempunyai set cabaran masing-masing dalam era pentadbiran mereka.

Berikut pandangan Idris:

1. Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj

- Pernah difitnah dituduh bermacam-macam. Tetapi Tunku tidak mengalah dengan mudah. Bahkan dilaporkan Tunku hanya menjawab secara selamba apabila dituduh membazir wang kerana membina lapangan terbang. “Saya senang nak balik Kedah dengan kapal terbang.”

Pernah juga Tunku dituduh membazir wang kerana membina Stadium Merdeka. Namun beliau sekadar menjawab: “Saya suka tengok bola.”

Beliau dituduh macam-macam tetapi mungkin kerana liputan media yang terhad, tekanan dihadapinya kurang berbanding hari ini. Ketika itu surat khabar pun dicetak dua hari sekali, justeru tidak mendatangkan tekanan yang hebat.

2. Tun Razak Hussain

- Pernah dianggap terlalu liberal apabila berurusan dengan kaum bukan Melayu sehingga mendesak Ketua Pemuda UMNO yang disanjungi orang Melayu ketika itu, Datuk Harun Idris untuk menentang beliau secara terbuka.

Idris diberitahu, Harun pernah ditawarkan jawatan Duta ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) hanya untuk 'menenangkannya’ daripada menentang Razak. Hal ini disahkan kepada Idris oleh anak Harun sendiri, Tan Sri Azman Shah. Tun Razak ketika itu didakwa sebagai 'lemah dan tidak agresif apabila berkaitan dengan isu perkauman’ dan janjinya adalah jika berlaku sesuatu terhadapnya (Razak), Harun boleh pulang (dari PBB) dan mengambil alih peranan Tun Razak. Maknanya, Harun boleh menduduki jawatan Perdana Menteri jika 'apa-apa’ berlaku kepada Razak.

Malangnya, Harun tidak ambil jawatan itu (duta ke PBB) dan dia kekal sebagai Ketua Pemuda. Selepas itu kerana takdir-Nya, Tun Razak meninggal dunia. Bayangkan jika Harun menerima tawaran itu yang kemungkinan beliau telah menjalankan tanggungjawab presiden parti.

3. Tun Hussein Onn

- Ketika baru mengambil alih jawatan Perdana Menteri, Hussein berhadapan dengan isu Bank Rakyat dengan Harun dipenjarakan. Waktu itu kelihatan Harun sepatutnya menjadi Presiden UMNO tetapi apabila Hussein mengambil alih pentadbiran pada tahun 1970-an, Harun masuk penjara. Inilah cabaran yang diharungi Hussein yang mana seorang Ketua Pemuda UMNO Malaysia dipenjarakan.

Tidak cukup dengan itu, timbul desakan daripada kumpulan tertentu yang mahukan timbalannya, iaitu Dr. Mahathir Mohamad segera diangkat menjadi Perdana Menteri. Dan bagaimana Hussein diberikan kata dua jika beliau tidak memilih kalangan tiga Naib Presiden parti sebagai timbalannya. Ini kerana Hussein lebih cenderung untuk memilih seseorang yang mempunyai kepakaran dalam dan luar negara, yakni Tan Sri Ghazali Shafie atau 'King Ghaz’.

Tiga Naib Presiden UMNO semasa itu – Tun Ghafar Baba, Tengku Razaleigh Hamzah dan Dr. Mahathir menegaskan bahawa Timbalan Perdana Menteri mestilah datangnya tidak boleh selain dari tiga Naib Presiden UMNO. Akhirnya, Dr. Mahathir yang dalam kedudukan Naib Presiden tangga ketiga, dipilih. Itulah dilema 'memilih timbalan’ dihadapi Hussein dan akhirnya Hussein menjadi Perdana Menteri yang paling singkat tempohnya sebagai presiden parti.

Tempoh pentadbiran Tunku Abdul Rahman ialah 12 tahun, Tun Razak (tujuh), Hussein (lima), Dr. Mahathir (22), Abdullah Ahmad Badawi (enam). Mengapa tempoh jawatan dipegang Hussein singkat?

Hussein waktu itu dikatakan masih ada kekuatan untuk mentadbir dan memimpin negara. Ini lebih-lebih lagi dengan ilham beliau memperkenalkan Amanah Saham Nasional yang sehingga hari ini telah terbukti mengangkat martabat pegangan ekuiti orang Melayu di seluruh negara. Namun, selepas itu beliau berhenti pula. Mengapa?

4. Tun Dr. Mahathir Mohamad

- Beliau mengambil alih negara dalam keadaan yang sukar diterima oleh rakyat Malaysia apabila menukar waktu yang diawalkan 30 minit mengikut waktu Malaysia Timur, Sabah dan Sarawak.

Hal ini menimbulkan rasa kurang senang sehinggakan masyarakat Melayu beranggapan Perdana Menteri baharu ini cuba menukar waktu sembahyang. Persepsi itu agak diterima disebabkan pengetahuan yang cetek berasaskan waktu sembahyang kepada peredaran bulan dan matahari. Apabila Dr. Mahathir mengubah 'Buy British Last’ kepada Dasar Pandang Ke Timur, ada pihak menyoal 'kenapa tidak kepada al-Quran dan hadis’? Kenapa perlu melihat negara sekular seperti Jepun, sedangkan al-Quran dan hadis mempunyai segala-galanya? Itu cabaran awal ditempuh Dr. Mahathir. Begitu juga dengan gaya kepimpinan Dr. Mahathir dalam parti yang cuba melakukan pelbagai perubahan sehingga sukar diterima parti. Beliau turut dicabar oleh Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) selepas lima tahun menyandang jawatan presiden parti yang pernah dianggap sebagai 'Clash of the Titans’.

Hasil perebutan jawatan Presiden UMNO pada 1987, Dr. Mahathir dikenali sebagai 'one bus load prime minister’ (bas bermuatan 43 penumpang) kerana hanya menang ke atas Ku Li dengan 43 undi.

Banyak cabaran diharungi Dr. Mahathir, antaranya 'Peristiwa Memali sehingga beliau dikatakan sebagai diktator. Juga, dari isu kekebalan (imuniti) Raja-raja Melayu sehingga kepada pemecatan timbalan perdana menteri dalam belum terjadi dalam sejarah negara. Demikian juga ramai memperkatakan tentang 'pentadbiran 2M -Mahathir-Musa (Tun Musa Hitam) yang hanya Musa sahaja tahu cerita sebenar di sebaliknya.

5. Tun Abdullah Ahmad Badawi

- Tempoh singkat Abdullah menjadi Perdana Menteri akibat diasak oleh Dr. Mahathir juga. Apa yang dilalui oleh Abdullah yang mesra dengan panggilan Pak Lah juga termasuk antara cabaran yang ditempuh Dr. Mahathir.

Dr. Mahathir melepaskan jawatan Perdana Menteri pada 2003 dan dalam hal ini antara alasan beliau berbuat demikian kerana sudah tiba masanya. Dan beliau juga merasakan ada banyak perkara yang tidak dapat dilaksanakan, dengan dipersembahkan dalam bentuk sajak 'Melayu mudah lupa’, dalam bentuk deklamasi seloka 'Perjuangan belum selesai’ serta doa.

Ini membayangkan siri cabaran yang dilalui Dr. Mahathir juga bukan sesuatu yang boleh dipandang mudah dan akhirnya menyedari kekurangan itu dengan melepaskan jawatan kepada Abdullah. Walaupun Abdullah mencipta rekod dalam sejarah pentadbirannya dengan menundukkan teruk pembangkang yang hanya meraih 20 daripada 222 kerusi Parlimen pada pilihan raya umum 2004 (BN meraih 90 peratus kekuatan di Parlimen), namun tekanan hebat dihadapinya dengan 'disebut sebagai kelemahan kepimpinan yang membawa kepada ketidakupayaan negara melaksanakan dasar kerajaan’ termasuklah Jambatan Bengkok.

Dan akhirnya, cabaran paling besar Abdullah adalah apabila Dr. Mahathir sendiri keluar parti selepas menyaksikan kekalahan BN di beberapa negeri dan juga kehilangan dua pertiga majoriti di Parlimen. Pak Lah turut terpalit dengan tuduhan 'kaum kerabat dan saudara mara PM menjadi pembuat keputusan kepada dasar-dasar kerajaan’ yang akhirnya mendorong Pak Lah melepaskan jawatan kepada Najib.

6. Najib Tun Razak

- Najib mendapat sokongan daripada segenap masyarakat termasuk daripada Dr. Mahathir sendiri. Ini sehinggakan Najib dikatakan berada di kemuncak keupayaan beliau sebagai pemimpin negara apabila dapat meletakkan Dr. Mahathir dan Pak Lah sebelah menyebelah dengan Najib berada di tengah. Mereka ketika itu dikatakan sedang bertelagah dan Najib berjaya menyatukan mereka.

Akhirnya, Dr. Mahathir kembali ke pangkuan UMNO dan itulah ketikanya ahli UMNO merasakan semangat solidariti yang paling tinggi dalam kalangan kepimpinan parti. Tetapi sayangnya hari ini keadaan sudah berubah. Najib sendiri berdepan asakan kemuncak 'media baharu’.

Apa pun, ketika ini tuduhan yang dilemparkan terhadap Najib dianggap sebagai fitnah yang dilakukan secara sistematik dengan satu tujuan untuk mendesak beliau melepaskan jawatan Perdana Menteri. Sedangkan hakikatnya - Najib mempunyai sokongan kuat daripada struktur parti pemerintah UMNO itu sendiri.

Dalam hal ini, Idris menitipkan rasa syukur kerana UMNO telah mendengar sendiri daripada Najib bahawa beliau akan terus berhadapan dengan cabaran yang mendatang. Iaitu dengan misi hanya untuk membela rakyat dan mengangkat nama negara di persada dunia. -  Zulkifli Jalil Utusan Malaysia Rencana 26 Julai 2015

Tags: pemimpin, pm, politik
Subscribe

Posts from This Journal “pm” Tag

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments