kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Bisik Awang Selamat ~ Khianat, Politik, YNWA, PAC, Rasuah, SPRM

Pengkhianatan?
Satu demi satu fakta muncul yang menjelaskan lagi hakikat bahawa wujud konspirasi mahu menggulingkan Perdana Menteri, Najib Tun Razak di luar proses demokrasi.

Beberapa pengakuan bekas eksekutif PetroSaudi, Xavier Andre Justo tentang dokumen 1MDB yang diubah suai dan ditawarkan AS$2 juta bagi curi data oleh taikun dan pemilik akhbar The Edge, Tong Kooi Ong - mengejutkan.

Malah ada lagi. Terdapat pengakuan individu yang bertemu Justo mahu menggunakan dokumen yang diubah suai bagi menjatuhkan kerajaan. Ia turut terdedah menerusi wawancara akhbar The Straits Times Singapura selain hasil daripada siasatan awal pihak berkuasa Thailand ekoran penahanan Justo.

Banyak perkembangan dalam tempoh dua minggu ini termasuk pengakuan bekas Editor Sarawak Report (SR) Lester Melanyi yang mempunyai bukti apa yang ditulis oleh pengasas SR, Claire Rewcastle Brown adalah rekaan semata-mata.

Kini reputasi Brown dan Kooi Ong semakin buruk. Kedua-dua pihak cuba nafi tetapi bangkai gajah tidak boleh ditutup dengan nyiru. Sebelum ini, Kooi Ong pernah menggemparkan negara atas dakwaan cuba mensabotaj ekonomi Malaysia.

Brown pula sudah tidak asing dengan melakukan serangan peribadi ke atas Abdul Taib Mahmud bagi menjatuhkan kerajaan negeri Sarawak dengan kerjasama parti pembangkang tertentu. Biarpun gagal selepas tidak disokong oleh rakyat Sarawak, sasarannya bertukar kepada Najib.

Selain Kooi Ong dan editor The Edge, Ho Kay Tat, pemimpin DAP, Tony Pua juga terpalit kerana ada bukti beliau menemui Brown di luar negara berkaitan dokumen 1MDB.

Pada Awang semuanya berbaur - konspirasi, jenayah pengubahan wang haram dan pengkhianatan. Jika tidak disebabkan konspirasi ini terbongkar lebih awal, negara pasti sudah menerima padahnya. Bayangkan berapa ramai sudah tertipu dan mudaratnya kepada kestabilan dan ekonomi Malaysia. Maka jelaslah bahawa kenyataan Ketua Polis Negara, Khalid Abu Bakar bahawa polis tidak menolak wujudnya konspirasi untuk menggulingkan Perdana Menteri - adalah benar. Yang kabur dan kelam makin terang. Skandal Justogate (ekoran pengakuan Justo) ini menuntut siasatan dan tindakan pihak berkuasa. Di China, pengkhianatan seperti ini pasti dikenakan hukuman paling berat. Dalam konteks konspirasi menjatuhkan kerajaan dan Najib, Awang lihat cabarannya apa lagi yang kita tidak tahu kerana konspirator tidak akan berdiam dan menyerah begitu sahaja.

Tony Pua, PAC

Dengan perkembangan terbaharu termasuk pengakuan pemimpin DAP, Tony Pua menemui Clare Rewcaste Brown berhubung dokumen 1MDB, apakah beliau layak duduk dalam Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bagi menjalankan siasatan ke atas syarikat pelaburan tersebut?

Dengan kata lain, dakwaan pembabitan beliau dilihat serius. Sepatutnya Tony Pua dengan rela hati atas nama integriti dan demi menjaga reputasi PAC, perlu berundur.

Malah DAP sewajarnya mengambil pendirian yang budiman mengarahkan Tony Pua mengecualikan diri bagi mengelakkan cacat cela kepada PAC. Orang yang sudah tercemar nama dan mencetuskan keraguan besar serta mempunyai motif tertentu tidak layak terlibat soal siasat PAC. Beliau adalah wakil DAP dalam jawatankuasa itu. Tolong jangan bagi malu parti itu seolah-olah tidak faham definisi integriti. Dalam pada itu, masyarakat masih menunggu kenyataan rasmi penasihat DAP Lim Kit Siang dan anaknya, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng. Apakah DAP terbabit dalam gerakan menggulingkan kerajaan di luar proses demokrasi melalui kerjasama dengan individu dan media asing? Awang sekadar bertanya.

Musang berbulu...

Penubuhan parti politik baharu biasanya mendapat sambutan tetapi berlainan dengan Gerakan Harapan Baharu (GHB) yang menerima gelombang negatif daripada umat Islam dan orang Melayu.

GHB adalah parti serpihan yang digerakkan oleh sekumpulan pemimpin Pas yang kecewa selepas tewas pada pemilihan parti itu dan tidak mahu menerima hakikat akar umbi menolak mereka.

Ramai melihat GHB yang diketuai oleh bekas Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu sebagai pro DAP selain PKR. Pada Awang, lebih daripada itu, ia tidak ubah sayap Melayu dalam DAP.

Tahniah kepada DAP kerana berjaya memecahkan perpaduan Pas. Namun mujur kepimpinan Pas bertindak pantas menangani isu itu sebelum anasir DAP meresap lebih jauh ke dalam memusnahkan parti tersebut sebagaimana yang berjaya dilakukan oleh PKR.

Awang percaya GHB yang akan menyertai pakatan baharu pembangkang bersama DAP dan PKR akan dikhianati dan dikecewakan akhirnya. Hubungan DAP dan Parti Semangat 46 terkubur dan terbaharu Pas jadi mangsa.

Bukan itu sahaja, sudah puluhan pemimpin Melayu dalam DAP meninggalkan parti itu dengan penyesalan. Bagi menjayakan agendanya, pemimpin DAP sanggup lakukan apa sahaja - bersongkok, masuk surau, menangis dan merayu. Tetapi apabila impian tercapai, etnik lain terutama Melayu tiada nilai lalu disisih dan dibiar lemah. Agenda agungnya hanya untuk satu kaum. Betul kata Presiden Pas, Hadi Awang tentang bahaya parti cauvinis seperti DAP. Pengalaman Pas membuktikan.

Awang sudah lama berwaspada dengan musang berbulu ayam.

Tahniah SPRM, MKN

Antara kes mahkamah yang begitu signifikan minggu ini ialah hukuman denda RM50,000 terhadap seorang petani, Pang Lian Por, 47, kerana didapati bersalah melakukan aktiviti pertanian tanpa kebenaran di Cameron Highlands.

Ia merupakan kes pertama pencerobohan di kawasan peranginan itu yang dijatuhi hukuman. Bukan itu sahaja, jumlah denda tersebut adalah maksimum memandangkan implikasi perbuatan tertuduh terhadap alam sekitar dan masyarakat.

Berikutan pendedahan beberapa siri laporan Utusan Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan 21 individu. Isu penerokaan haram dan pemerkosaan alam sekitar di Cameron Highlands menggemparkan negara apabila mencetuskan bantahan orang ramai dan aktivis alam sekitar, memaksa campur tangan kerajaan dan agensi-agensi berkenaan.

Persoalannya kini siapa lagi akan didakwa? Apakah penjawat awam yang menyalahgunakan kuasa turut dikenakan tindakan? Apa pun, Awang bersyukur kerana kebenaran akhirnya terzahir. Tindakan tegas SPRM dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) membuktikan bahawa gejala tersebut adalah benar-benar berlaku dan serius. Ia juga dengan sendirinya menolak sindrom penafian oleh pemimpin tertentu, yang enggan menerap prinsip akauntabiliti. Maka Awang ingin ucapkan tahniah sambil bersyukur kerana SPRM dan MKN meletakkan kepentingan negara, awam dan alam sekitar jauh lebih tinggi biar apa pun cabarannya. Bayangkan, tanpa ketegasan tersebut, Cameron Highlands tidak mampu diselamatkan. Malah permasalahannya akan lebih parah, yang terus menjadi cerita duka buat rakyat dan negara.

YNWA

Minggu ini, Malaysia dilanda demam Liverpool sempena kunjungan pasukan itu ke negara ini. Kemuncaknya kelmarin, apabila berlangsungnya perlawanan persahabatan yang mencuri perhatian peminat sukan terutama penyokong Liverpool. Tahniah kepada pilihan Malaysia kerana prestasi yang tidak mengecewakan.

Pada Awang, ia bukan semata-mata soal kemampuan skuad negara di bawah bimbingan jurulatih Dollah Salleh mengekang Liverpool dengan keputusan seri 1-1. Lebih daripada itu ialah pengaruh Liverpool di negara ini, ternyata terus subur. Biarpun prestasi pasukan itu dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) merudum pada musim lalu, para peminat tidak kisah. Stadium Bukit Jalil dibanjiri para peminat sebagaimana sambutan hangat pada perlawanan persahabatan 2011. Kempen untuk memboikot perlawanan itu oleh pihak tertentu yang marahkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) juga bukan penghalang. Ternyata kesetiaan peminat kepada pasukan atau kelab tetap teguh, termasuklah Liverpool. Lebih-lebih lagi pasukan berkenaan mempunyai tradisi kecemerlangan bola sepak yang disegani.

Paling menarik ia mempunyai slogan yang Awang anggap hebat, You'll Never Walk Alone (YNWA). Jatuh, bangun, menang atau kalah, anda tidak bersendirian. Juga biarpun tanpa legenda atau tonggak seperti Steven Gerrard. Semangat kekitaan dan kebersamaan adalah tinggi. Pasukan lain juga ada budaya sebegitu tetapi tidak mampu menyaingi Liverpool. Mengapa? ...YNWA sentiasa menyala di hati.

Terima kasih Dr.

Doktor pakar biasanya tidak selesa diberi pujian dan penghargaan menerusi media, bimbang boleh disalah ertikan.

Tapi Awang tetap mahu merakamkan terima kasih kepada kardiologis Institut Jantung Negara (IJN), Dr. Emily Tan Lay Koon.

Ini berdasarkan maklum balas beberapa kenalan dan pesakit yang menerima rawatan serta kaunseling daripada beliau. Sikapnya yang menghormati pesakit, sabar melayani kerenah terutama warga emas, khidmat yang memuaskan dan penerangan yang mudah difahami antara komen ramai terhadap Dr. Emily.

Dalam pada sebahagian kita mudah merungut dan komplen terhadap khidmat doktor dan petugas hospital yang tidak memuaskan maka apabila mendapat layanan yang baik, ia terasa istimewa.

Inilah yang Awang mahu zahirkan.   - Awang Selamat Utusan Malaysia Rencana 26 Julai 2015

Tags: politik, rasuah, sprm
Subscribe
  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments